Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Khamis, Januari 21, 2010

Doa bala Nik Aziz dimakbul, Khalid Ibrahim mangsa terbaru...

Selepas YB Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin terkena sumpahan politik dalam bentuk "doa bala" oleh Mursyidul Am PAS YAB Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu apabila kereta jenis Toyota Camry yang plat nombornya 8851 tiba-tiba terbalik menjadi 1588 diatas sebatang jalanraya iaitu Jalan Raja Nazrin Shah di Perak, kini sumpahan itu berjangkit kepada yang lain pula dan semakin menjadi serta merebak.

Ya! ia semakin merebak dan kini sedang menular ke Selangor pula. Mangsa terbarunya ialah Menteri Besarnya YAB Tan Sri Khalid Ibrahim apabila beliau hilang kelayakkan sebagai Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor setelah PKR bahagian tersebut dibubarkan apabila perletakkan jawatan secara bersiri ketua-ketua cawangan PKR sehingga menjadi ramai telah berlaku.

Bukan setakat itu saja, tetapi kini Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid sedang berdepan dengan krisis keyakinan rakyat apabila pegawai-pegawai SPRM kerap melakukan kunjungan hormat ke atas pegawa-pegawai Kerajaan Selangor pada waktu pejabat... lawatan pada waktu pejabat adalah pilihan terbaik bagi para pegawai SPRM ini untuk mengelak keadaan yang berdebu sepanjang jalan raya akibat dari kegiatan lori-lori yang mengangkut pasir untuk dibawa ke Singapura... he he he...

Kita hanya menunggu dan menanti siapa lagi dikalangan mereka dalam Pakatan Pembangkang yang akan dijangkiti virus doa bala itu... adakah Almenantunya, atau pemegang saham berjuta-juta... tak pe, sementara itu kita kena layan dulu lagu "Di sini menanti, di sana menunggu" sedap didengar lebih-lebih pada waktu lepas pejabat...

Syabas kepada seluruh warga SPRM ! kerana "tidak teragak-agak" untuk bertindak tanpa mengira bulan ke, matahari ke, pelangi ke, bintang ke, lautan dalam ke, hutan rimba ke, gunung ke, bukit ke...semuanya kena cekup janji ada bukti kukuh kerana suka menyuap dan disuap.

Rabu, Januari 20, 2010

Kod ACOG4X32JN8:12 - Menjadi kontroversi di Amerika Syarikat !

Apa yang telah didedahkan oleh sebuah stesen penyiaran di Barat iaitu abc NEWS mengenai satu kod atau siri nombor yang terdapat pada setiap laras senjata milik askar Amerika Syarikat telah menimbulkan satu tandatanya sehingga menarik perhatian pemimpin agama Kristian dan Islam di negara tersebut.

Yang dimaksudkan ialah kod nombor serta huruf yang didapati agak tersorok di sebelah tepi setiap senjata ianya seperti berikut, ACOG4X32JN8:12. Jika kita melihat siri nombor ini, ianya bagi kita mungkin sesuatu yang biasa saja atau hanyalah siri nombor yang berkaitan dengan syarikat-syarikat pembekal senjata kepada pasukan tentera Amerika.

Sebenarnya huruf JN serta diikuti dengan nombor 8:12 itu adalah merujuk kepada satu ayat yang terdapat di dalam Kitab Injil atau Bible. Rujuk kepada Yohanes/John 8 ayat 12 'Maka Yesus berkata pula kepada orang banyak: "Akulah terang dunia; barangsiapa mengikut Aku, ia tidak akan berjalan dalam kegelapan, melainkan ia akan mempunyai terang hidup."

Dan perkara ini juga merujuk kepada II Korintus/II Corinthians 4 ayat 6 'Sebab Tuhan yang telah berfirman: "Dari dalam gelap akan terbit terang!", Ia juga yang membuat terangNya bercahaya didalam hati kita, supaya kita beroleh terang dari pengetahuan tentang kemuliaan Tuhan yang nampak pada wajah Kristus."

Oleh itu kepada Kementerian Pertahanan Malaysia seandainya Malaysia ada terbeli sebarang kelengkapan khas untuk kegunaan anggota tentera Malaysia terutamanya senjata sepertimana gambar yang diatas dari kerajaan Amerika, adalah elok untuk memeriksa semula berkenaan dengan tulisan-tulisan yang sekiranya terdapat pada setiap senjata itu bagi mengelak ianya akan menimbulkan sebarang kekeliruan semua pada masa hadapan.

Selasa, Januari 19, 2010

Maruah bolasepak Sarawak tidak tertebus !

Disaat hampir kesemua kelab-kelab bola sepak yang terdapat di negeri Sarawak ini sedang giat menganjurkan berbagai perlawanan bola sepak sesama mereka dengan menyediakan kejuaraan tertentu untuk direbut namun lain pula dengan nasib malang yang terus menerus menimpa pasukan bola sepak negeri Sarawak sendiri apabila mengalami kekalahan demi kekalahan kepada pasukan lawan baik di tempat sendiri mahu di tempat mana mereka berkunjung untuk mengadakan perlawanan.

Apakah masalah berlanjutan selama ini seperti kes gaji tertunggak yang dialami oleh para pemainnya sebelum ini banyak mempengaruhi minda pemain-pemain yang mewakili skuad negeri pada ketika sehingga menyebabkan mereka gagal untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada tanggungjawab mereka untuk menaikkan semula imej pasukan negeri sebagaimana yang pernah dikecapi oleh pasukan bola sepak Sarawak suatu masa dahulu.

Dalam perlawanan TM Liga PREMIER misalnya baru-baru ini iaitu pada Jumaat, 15 January 2010 ketika menentang satu pasukan yang hanya bertaraf kelab di Cheras Kuala Lumpur, skuad Sarawak telah kecundang apabila dimalukan dengan hanya mampu menjaringkan satu gol berbanding empat gol oleh Felda United yang berjaya menembusi gawang Sarawak.

Yang tidak sedap didengar ialah apabila jurulatih Sarawak sendiri iaitu Mohd Zaki Shaikh Ahmad telah mengakui bahawa tiga gol yang berjaya membolosi pintu gol Sarawak pada perlawanan menentang Felda United itu sebenarnya mudah untuk ditangkap, tetapi kenapa pula keadaan yang sebaliknya telah berlaku apabila penjaga gol Sarawak gagal untuk menyelamatkan gawang pintu gol skuad negeri daripada ditembusi.

Sebelum ini, sewaktu ini juga dan pada masa depan apabila kemorosotan mutu permainan bolasepak Sarawak tidak mendapat perhatian segera oleh pihak kementerian yang berkaitan atau badan-badan sukan serta pihak kerajaan negeri Sarawak sendiri, apakah adil tindakan jika hanya mengharapkan kemenangan disumbang oleh para pemain Sarawak tetapi soal kebajikkan mereka diabai dan tidak diurus dengan betul dan sempurna.

Saya sangat sedih apabila mendapati yang pasukan Sarawak yang satu ketika dulu begitu gah dan sentiasa digeruni oleh pihak lawan terutamanya sewaktu Persatuan Bolasepak Sarawak ketika itu diterajui oleh Allahyarham Tan Sri Haji Mohd Taha Ariffin dan juga ketika itu Alan Vest selaku pengurus serta sebagai jurulatih namun semua itu dulu tetapi kini nasib pasukan Sarawak tidak ubah hanya seperti melukut di tepi gantang.

Belum pernah berlaku dalam sejarah sukan bolasepak negara atau dengan mana-mana pasukan bolasepak negeri lain di Malaysia ini apabila berbagai pihak telah tampil menganjurkan perlawanan amal untuk mengutip derma bagi membantu Persatuan Bolasepak Sarawak(FAS) bagi membayar gaji tertunggak para pemainnya yang sehingga kini belum lagi dijelaskan.

Bagi saya adalah sangat tidak adil apabila adanya pihak-pihak yang berkaitan dengan sukan bolasepak negeri hanya tahu dan mahu memerah keringat para pemain bagi mengejar kejayaan yang diimpikan namun dalam masa yang sama juga soal keperluan asas para pemain, soal kemampuan fizikal mereka, kecergasan, kemahiran dan sebagainya seolah-olah tidak diberi perhatian yang sewajarnya dan oleh itu adalah tidak adil untuk meletakkan semua kesalahan ke atas bahu para pemain apabila pasukan negeri seringkali mengalami kekalahan dalam setiap perlawanan yang diadakan.

Isnin, Januari 18, 2010

Kristian di Malaysia harus mencontohi pengorbanan Jesus Kristus

Pendirian saya selaku rakyat biasa yang tak punya apa-apa ini mengenai isu kalimah ALLAH yang berterusan entah bila lagi akan tamatnya adalah tetap sama iaitu saya rasa memang wajar bagi umat Islam untuk membantah perkataan itu daripada digunakan oleh penganut agama lain selain daripada Islam.

Setelah isu ini menjadi satu isu berpanjangan yang jika tidak ditangani dengan secara teliti serta bersungguh-sungguh, kebimbangan berbagai pihak mengenainya mungkin sukar untuk diredakan malah apa yang lebih merisaukan sekiranya ia akan membawa kepada isu yang lain pula.

Dalam keadaan yang sekarang ini, saya tetap untuk tidak memihak walaupun dilihat tulisan saya lebih memihak kerana dalam soal ini saya melihat isu ini dari sudut kewajarannya dan sudah pasti telah timbul tandatanya dalam hati saya; wajarkah orang Islam menentang penggunaan kalimah ALLAH ini oleh orang bukan Islam atau wajarkah orang Kristian mempertahankanya dan jika wajar maka dari segi manakah orang Kristian mempunyai sebab untuk mempertahankannya ?

Oleh kerana itu saya ingin sekali untuk mengajak saudara-saudara Kristian saya yang ada di seluruh Malaysia untuk menyelami sedalam-dalamnya berkenaan dengan isu bantahan dan tuntutan terhadap satu perkara yang sangat penting ini sehingga di lihat boleh mengancam keharmonian bermasyarakat di negara kita.

Orang Kristian harus melihat apa yang diperjuangkan oleh orang Islam berhubung dengan isu yang sedang berbangkit kini merupakan satu masalah yang harus dikaji semula. Apabila kita berpendapat bahawa ianya perlu untuk dikaji bagi menentukan samada isu yang diperkatakan iaitu kalimah ALLAH itu wajar bagi kita sebagai orang Kristian untuk mempertahankannya ataupun tidak.

Dan jika kita rasa adalah wajar untuk kita mempertahankannya maka kita perlulah untuk kembali semula kepada asas ajaran asal agama Kristian itu sendiri misalnya Kristian itu bermula bila, berasal darimana dan sebagainya dan oleh itulah kita mesti menyelidiki setiap apa yang berkaitan dengan ajaran Kristian itu secara menyeluruh dan bukannya hanya separuh maka apabila kita telah berjaya mendapat jawapan melaluinya maka seharusnya kita perlu jujur untuk berkata tentang hakikatnya.

Secara ringkasnya saya ingin mengajak seluruh orang Kristian di Malaysia ini untuk cuba menghayati erti sebenar akan pengorbanan Jesus Kristus dalam sepuluh peristiwa perjalanan kesengsaraanNya sehingga membawa kepada peristiwa Jesus di salib demi kesejahteraan seluruh umat manusia ketika itu termasuk untuk penebusan dosa mengikut kepercayaan Kristian sendiri.

Maka, dalam hubungan pada waktu ini, jika pada zaman Jesus Kristus sendiri misalnya, Dia dengan rela menyerahkan diriNya sendiri untuk disalib dan bersedia dikorbankan demi untuk kebaikkan umat manusia keseluruhan terutamanya orang Kristian sendiri, jadi apakah peristiwa penyaliban Jesus Kristus itu tidak boleh diambil sebagai suatu iktibar oleh umat Kristian bagi melakukan pengorbanan untuk mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak dibenarkan oleh agama ?

Sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia, orang Kristian juga harus berkorban sesuatu untuk negara ini. Jangan jadikan kita sebagai satu kumpulan yang menggagal serta memundurkan Malaysia. Jangan nanti dikemudian hari pula kita orang Kristian akan dilabelkan oleh generasi kita sendiri pada masa depan sebagai kumpulan yang tidak menyumbang sesuatu yang berguna kepada Malaysia. Kita harus bergerak seiring dengan kumpulan lain di negara ini untuk membawa Malaysia lebih aman, maju dan berjaya. Terima Kasih.

Ahad, Januari 17, 2010

Sabah tidak perlu eksploitasi nilai budaya kaum di Sarawak untuk tarik pelancong ke Bumi Dibawah Bayu...



Apabila anda berkunjung sebagai pelancong untuk pertama kali ke negeri Sabah dan setelah itu pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu misalnya ataupun di Lapangan Terbang Sandakan dan turun dari pesawat lalu berjalan menuju ke balai ketibaan pasti anda akan di sambut dengan tarian tradisi kaum tertentu di Sabah.
Malangnya, beberapa tahun sejak kebelakangan ini apabila saya memerhati dengan penuh minat berkenaan dengan promosi yang dibuat oleh agensi pelancongan negeri Sabah, apa yang berlaku ialah tanpa mereka sedari bahawa secara perlahan-lahan pihak agensi yang bertanggungjawab didalam usaha memajukan industri pelancongan di Sabah telah melenyapkan identiti sebenar budaya kaum di Sabah dengan keghairahan mereka cuba untuk memperkenalkan identiti baru bagi memperkenalkan Sabah kepada pelancong luar.
Ini boleh anda lihat sendiri apabila sewaktu kehadiran anda dipintu utama Lapangan Terbang tertentu di Sabah pasti anda akan disambut oleh mereka yang bertindak dibarisan hadapan sebagai penyambut pelancong mengenakan pakaian tradisional yang menyerupai pakaian masyarakat Iban di Sarawak sepertimana gambar yang terdapat diatas. Pada hal, seingat saya sebelum inipun atau lebih kurang sepuluh tahun yang lalu bahawa pakaian tradisional seperti itu tiada pun wujud didalam galeri budaya ataupun arkib-arkib kebudayaan di Sabah. Tetapi mengapa kini ianya semakin menjadi suatu kebiasaan pula di Sabah.
Bagi saya, negeri Sabah yang sudah dikurniakan dengan alam semulajadi tercantik didunia dengan wujudnya pulau-pulau yang paling indah, Pusat menyelam terbaik di Malaysia, pantai yang bersih, Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara, Taman Hidupan Liar yang memiliki berjenis-jenis hidupan didalamnya baik haiwan ataupun tumbuh-tumbuhan dan sebagainya lagi sudah memadai untuk membuat para pelancong asing dan tempatan terpegun dan terpesona.
Oleh itu saya berpendapat adalah tidak perlu bagi Kementerian Pelancongan di Sabah untuk memberi kebenaran kepada agensi dibawahnya mempergunakan ciri-ciri budaya yang terdapat di negeri Sarawak untuk tujuan menjayakan industri pelancongan di Sabah. Di Sabah, penduduknya yang terdiri dari berbagai kaum sudah pasti ada budaya serta pakaian tradisional mereka sendiri maka adalah lebih baik kekalkan budaya yang mereka ada dan pamerkannya kepada para pelancong yang melawat Sabah tanpa perlu mengubah apa yang sudah ada.
Walaupun saya sedar bahawa di Sabah juga terdapat masyarakatnya terdiri dari kaum Iban, namun jumlahnya adalah kecil dan mereka adalah kaum minoriti di sana berbanding dengan di Sarawak mereka adalah kaum yang terbesar. Saya rasa jika perkara ini tidak diambil perhatian serius oleh Kementerian Pelancongan Sabah ataupun agensi berkaitan, adalah tidak mustahil suatu hari nanti apabila budaya baik tarian atau pakaian tradisi kaum yang ada di Sabah seperti kaum Kadazan, Bajau, Sulu, Tidong dan lain-lain lagi akan hilang akibat dari penyisihan terhadap budaya yang ada di Sabah sendiri.
Pihak Kementerian Pelancongan di Sabah harus peka dengan perkara ini kerana jika di sentuh dari segi pakaian sesuatu kaum itu, pakaian seperti mengenakan topi yang dihiasi dengan bulu burung ruai atau burung merak hutan, baju tradisional yang berwarna-warni dengan biji-biji manik adalah sinonim dengan kebudayaan yang ada di negeri Sarawak sejak dulu lagi tetapi ianya tidak terdapat di Sabah. Maka inilah yang mengelirukan, percayalah apabila pelancong asing disajikan dengan tarian ataupun disambut oleh penyambut pelancong yang memakai pakaian tradisi kaum serupa dengan yang ada di Sarawak tentu sekali mereka akan keliru berfikir, apakah saya berada di Sabah atau di Sarawak ?
Perkara ini tidak sihat sebenarnya untuk industri pelancongan di Sabah ataupun Sarawak kerana apa yang perlu ialah kedua-kedua negeri ini haruslah menawarkan sesuatu yang berbeza kepada para pelancong baik yang datang dari dalam Malaysia sendiri mahupun pelancong dari luar. Sarawak dan Sabah perlu memperlihatkan kepada pelancong serta masyarakat luar bahawa keduanya mempunyai kepelbagaian kaum serta budaya kerana jika tidak, pasti salah satu daripada dua negeri ini akan mengalami kemerosotan dari segi kedatangan pelancong dan yang pasti akan memberi kesan yang sangat tidak baik kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat yang bergantung kepada industri pelancongan sebagai sumber rezeki mereka.

Sabtu, Januari 16, 2010

Kisah burung layang cuba menyelamat Nabi Ibrahim

Ketika ramai pengusaha sarang burung layang-layang bersaing sesama sendiri membuka perusahaan mereka dalam industri tersebut di negara ini, saya mula terfikir akan satu perkara iaitu tentang kesannya terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang pada diri mereka yang terlibat secara langsung didalam industri sarang burung ini.

Apa yang mula bermain didalam benak fikiran saya ialah apakah perusahaan ini tidak bertentangan dengan etika beragama atau juga dengan norma-norma kehidupan manusia itu sendiri jika nilai sejarah awal burung layang-layang yang menyimpan rahsia tersendiri termasuk hubungannya dengan manusia sejak dari awal kejadian manusia seperti ketika zaman para Nabi diambil kira.

Sebagai rujukan, cuba kita baca cerita burung layang-layang yang berusaha untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s dari dibakar sepertimana cerita yang saya petik dari satu laman web http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=103&t=37649.htm

Tersebut kisah mengenai burung layang-layang yang melihat Nabi Ibrahim a.s dibakar lalu mengambil air diparuhnya lalu dicurahkan keatas unggun api tersebut. Walaupun dia tahu bahawa perbuatannya tidak akan dapat memadamkan api tersebut, namun dia berusaha menegakkan kebenaran. Cerita ini secara tersendirinya tidak dapat dikesan kesahihannya. Wallahu'alam.

Begitu juga didalam cerita yang menceritakan bahawa burung-burung turut menangis tanda protes diatas peristiwa Nabi Ibrahim a.s dibakar. Terdapat seekor burung yang paling lemah dikalangannya telah terbang menuju kepada Nabi Ibrahim a.s dan dihalang oleh malaikat. Lalu burung tersebut berkata: "Tidakkah engkau tahu bahawa sahabat Allah sedang dibakar ? Walaupun aku tidak dapat menyelamatkannya, aku ingin menunjukkan simpatiku dengan bersamanya didalam api."

Namun demikian, kisah Nabi Ibrahim a.s dibakar ini dapat dilihat didalam kitab-kitab tafsir dengan merujuk kepada ayat 69 Surah al-Anbiya Ibn Kathir rh didalam kitabnya. Tafsir al-Quran al-Azhim (Jilid 3/225) menjelaskan bahawa semua binatang-binatang yang melata dimuka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s kecuali cicak, sebagaimana hadith riwayat ibn Hathim dari A'isyah ra. bahawa Rasullulah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan kedalam api, semua binatang yang melata dimuka bumi ini cuba memadamkan api, kecuali cicak, kerana sesungguhnya dia(cicak) meniupkan api keatas Nabi Ibrahim..."

(Lihat juga Tafsir al-Munir, Wahbah al-Zuhaili, 9/93)

Riwayat ini menunjukkan bahawa setiap makhluk dimuka bumi ini, termasuk binatang, yang beriman dengan Allah SWT dan Nabinya Ibrahim, telah cuba berikhtiar menyelamatkan Nabinya. Yakin diatas kebenaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan kekalutan serta kezaliman yang dibawa oleh Namrud, mereka berusaha memadamkan api tersebut, walaupun pada hakikatnya mereka tidak berupaya memadamkannya.

Usaha ke arah menegakkan kebenaran ini walau sedikit pengorbanannya, mempunyai impak yang bernilai apabila kita bertemu Allah SWT dihari kiamat kelak. Wallahu'alam.

Cerita ini juga amat baik bagi dijadikan sebagai satu kisah untuk renungan kita semua. Kita lihat watak antara cicak dengan burung layang-layang dalam kisah ini yang paling jauh sekali berbeza.

Sebenarnya apa yang ingin saya hendak sampaikan disini ialah berupa satu pertanyaan, perusahaan ini satu perusahaan yang kelihatannya seolah-olah tidak adil kepada sumber yang memberikan keuntungan kepada pengusahanya.

Cuba fikir baik-baik, burung layang-layang ini memang tabiat semulajadinya ialah suka terbang dan tidak akan memerap didalam sarang untuk tempoh atau jangka masa yang lama sebagaimana haiwan peliharaan lainnya ini kerana ia akan sentiasa terbang semula untuk mencari makanannya sendiri. Jadi maknanya ialah dari segi pemakanannya burung ini tidak pernah membebankan pemilik rumah sarang burung mengenai bekalan makanan.

Oleh yang demikian, adakah adil pada pandangan kita apabila hanya hasil dari burung layang-layang itu saja yang diharapkan, sedangkan jika dikira dari segi makanan burung layang-layang itu, pengusaha atau pemilik rumah sarang burung layang-layang ini tidak pernah memikirkan soal untung ruginya kerana apa yang ada didalam fikiran pengusaha industri ini hanyalah hasil lumayan yang akan diperolehi dari sarang-sarang burung yang membuat sarang dirumah yang mereka bina.

Jumaat, Januari 15, 2010

Persefahaman antara kaum asas kemakmuran Negara

Setiap apa yang pernah dan mungkin akan saya tulis terutama sekali berkaitan dengan isu-isu semasa seperti isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam serta bantahan mengenainya oleh umat Islam sendiri di negara ini mengenainya adalah bertujuan untuk mengajak semua pihak berfikir secara matang dan bukan bermaksud untuk menyemarakkan lagi rasa kebencian di antara penganut agama tertentu dengan penganut agama yang lain.

Saya sedar walaupun cara penyampaian yang saya bawa kurang disenangi oleh sesetengah pembaca terutamanya dari kalangan saya sendiri, ini mungkin kerana kegagalan saya untuk membuat pembaca faham dengan apa yang cuba saya sampaikan atau juga mungkin pembaca sukar untuk memahami apa yang telah saya ketengahkan pada artikel-artikel yang terdahulu. Tetapi bagi yang berfikiran terbuka atau yang sedia menerima apa jua hakikat maka ianya akan mudah untuk difahami sebenarnya.

Apabila kita bernafas lega di bumi bertuah seperti Malaysia ini dan disaat yang sama juga cuba kita menoleh untuk melihat apa yang sering berlaku dinegara-negara lain contohnya seperti di Thailand, Palestine, Iraq, Pakistan, Filipina, Myanmar dan lain-lain lagi, jadi apabila kita membandingkan suasana semasa didalam negara kita dengan negara-negara yang tersebut diatas maka persoalannya apakah kewajipan yang harus kita lakukan untuk Malaysia ?

Jawapannya mudah, letakkan kepentingan negara kita lebih utama dari sesuatu perkara yang sedang atau yang akan kita pertahankan. Kita harus meletak perkara pokok sebagai keutamaan untuk dijadikan asas kejayaan sebelum kita berhasrat untuk mengambil keputusan samada kita hendak meneruskannya ataupun tidak kerana setiap kejayaan jangka panjang untuk dicapai sebagaimana yang kita harapkan semuanya bergantung kepada kesan dan akibat daripada tindakan kita sendiri terhadap kemakmuran dan kestabilan negara kita.

Bagi pandangan saya secara peribadi, biarpun mungkin kita akan menggapai kemenangan walaupun setinggi gunung tetapi semua itu tidak akan membawa apa-apa makna jika dalam masa yang sama apabila hati, jiwa serta perasaan kita sentiasa berada didalam keadaan yang ketakutan, resah, bimbang, tidak tenang dan tidak tenteram apabila keselamatan negara sukar dikawal dan keamanan negara yang kita kecapi selama ini semakin tergugat kerana perpaduan serta persefahaman antara rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya selama ini gagal untuk dipertahankan.

PM & TPM tiada dalam negara, saya setuju dengan pandangan Datuk Mahfuz Omar

Saya baru saja melayari laman blog Ahli Parlimen Pokok Sena YB Datuk Mahfuz Omar dan membaca apa yang telah beliau tulis pada posting terbaru yang bertajuk "Rakyat ditinggalkan, Malaysia tanpa PM dan TPM" dan saya ada meninggalkan satu komen disitu untuk menyatakan setuju dengan ulasan beliau yang memang berasas mengenai perkara tersebut.

Semua rakyat Malaysia tahu bahawa YAB Perdana Menteri kini sedang berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi selama dua hari manakala YAB Timbalan Perdana Menteri pula sedang berada di United Kingdom juga atas sebab lawatan serta urusan rasmi negara.

Perkara seperti ini tidak pernah terjadi ketika pentadbiran YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad serta YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu. Biasanya ketika itu jika PM membuat lawatan keluar negara pasti TPM akan sentiasa berada dalam negara selagi PM belum kembali dan begitu juga seandainya TPM keluar negara PM tidak akan meninggalkan negara walaupun dalam keadaan macamana sekalipun.

Bila keadaan seperti sekarang ini berlaku, siapakah yang harus kita persalahkan dalam hal ini? Adakah mereka-mereka yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengatur jadual seharian PM serta TPM ? Kita semua mungkin kurang pasti, tetapi kita semua sedar perkara seperti ini sepatutnya tidak terjadi, kita mesti ingat tragedi 14 Disember 2009 lepas... apakah mereka-mereka ini belum sedar lagi ?

Dalam negara ketika ini masih ada sesuatu masalah yang perlukan perhatian serius pemimpin, jadi memang tidak sesuai bagi kedua-dua PM serta TPM untuk tidak berada didalam negara buat masa ini. Negara kita terus bergerak sama seperti sebuah bas atau kenderaan lainnya, jika pemandu serta pembantu pemandunya tidak berada dikerusi pemandu siapa pula yang nak mengawal pergerakkan bas atau kenderaan. Mustahilkan jika kita nak membiarkan saja kederaan untuk bergerak sendiri tanpa pemandu dengan para penumpang ramai didalamnya.

Fikir-fikirkanlah...

Wujudkan satu Pertubuhan Antara Agama di Malaysia

Saya rasa sudah tiba masanya untuk Kerajaan Malaysia serta seluruh pemimpin-pemimpin parti politik serta pemimpin masyarakat untuk memikirkan supaya segera di wujudkan satu pertubuhan yang menggabungkan setiap satu sehingga dua orang pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang terdapat di negara ini dalam satu persatuan atau pertubuhan.

Pertubuhan itu nanti hendaklah mempunyai suatu struktur yang sangat meyakinkan dan semua tokoh-tokoh agama tertentu yang dipilih untuk menganggotai pertubuhan itu haruslah diberikan dengan satu jawatan yang mempunyai peranan khas.

Saya fikir langkah ini adalah antara langkah yang boleh diambil kira kerana apabila timbul apa-apa juga isu berhubung dengan isu antara agama maka mereka yang menduduki jawatan-jawatan tertentu didalamnya mesti dipertanggungjawabkan untuk menanganinya dan tidak perlu melibatkan pihak lain untuk memutuskan apa-apa juga isu yang berbangkit.

Dalam cadangan saya ini, kita boleh ambil dari banyak pertubuhan-pertubuhan sebagai contoh misalnya parti-parti politik. Kita lihat Barisan Nasional atau lain-lain parti seperti parti PAS, DAP dan PKR dan lain-lain pertubuhan lagi lalu apabila timbul masalah antara ahli didalamnya mereka akan mencari jalan penyelesaian cara mereka tanpa perlu membawa masalah yang timbul kepada pihak yang lain dan perbincangan dari hati ke hati adalah formula yang paling berkesan didalam menyelesaikan sebarang masalah berbanding dengan cara cabar-mencabar antara satu dengan yang lain di tempat yang tertentu.

Khamis, Januari 14, 2010

Utamakan keselamatan diri, orang lain dan negara...

Dulu berbaring diatas jalanraya dihadapan kenderaan yang sedang bergerak. Ini adalah satu perbuatan yang sangat merbahaya dan boleh mengundang maut. Andaikata kenderaan tersebut breknya tiba-tiba gagal berfungsi, apakah agaknya yang akan berlaku...

Namun, oleh kerana berkat doa yang dilakukan maka kejadian yang tidak diingini seperti bala dapat dihindari...

Selain itu, sebelum memandu kita juga harus periksa semua keadaan kenderaan yang akan kita bawa adakah ianya berada dalam keadaan yang selamat untuk dipandu dan yang penting sekali semasa memandu haruslah patuh kepada peraturan jalanraya dan memandu mengikut had laju yang ditetapkan... dan yang paling mustahak, janganlah memandu kenderaan ketika diri masih dalam keadaan yang sedang mabuk...

...dan jika kita gagal untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), maka beginilah jadinya. Hati-hati dijalaraya, utamakan keselamatan anda dan orang lain juga. Pandu cermat jiwa selamat !

Salah menyebar ajaran Kristian kepada umat Islam...

Saya selalu teringat akan satu pesanan yang pernah dibuat oleh seorang Paderi yang paling lama berkhidmat memimpin masyarakat Roman Katolik di Bahagian Mukah serta sekitar Daerah Dalat Sarawak suatu ketika dulu iaitu Rev. Father Henry Vollenberg seorang warga Belanda.

Antara pesanan beliau yang sentiasa saya ingat hingga ke hari ini ialah "jangan sesekali menyebar atau cuba mengembang ajaran agama Kristian kepada orang yang beragama Islam" ...menurut beliau lagi "adalah salah berbuat sedemikian dan ianya jelas melanggar undang-undang negara(Perlembagaan)" dan beliau juga sering mengingatkan semua penganut Katolik dibawah seliaan beliau agar sentiasa patuh dan hormat kepada pemimpin negeri Sarawak serta Malaysia keseluruhannya.

Rev. Father Henry jujur dengan kata-kata beliau apabila saya sering melihat beliau selalu hadir pada mana-mana majlis yang di rasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak YAB Tan Sri Hj. Abdul Taib Mahmud sekitar Bahagian Mukah walaupun ianya merupakan hanya satu perjumpaan antara rakyat dengan pemimpin politik yang tidak melibatkan kepentingan agama namun beliau tetap hadir sebagai tanda hormat kepada pemimpin negeri.

Tetapi keadaan seperti itu tidak lagi berlaku selepas Father Henry kembali ke negara asalnya di Belanda dan hubungan antara pemimpin Gereja Katolik pemimpin Kerajaan Negeri mulai dingin dan terus tidak mesra setelah tugas beliau diambil-alih oleh Paderi-paderi yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Perkembangan ini telah menyebabkan Ahli Parlimen Mukah iaitu YB Datuk Sri Dr. Leo Micheal Toyad menjadi semakin tidak selesa dengan pihak Gereja sehingga membawa kepada keputusan beliau untuk meninggalkan agama Kristian dan memilih Islam sebagai pegangan hidup beliau yang baru.

Keadaan hubungan antara pihak Paderi dengan kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri menjadi semakin tidak baik malah lebih teruk apabila pada satu majlis pecah tanah untuk tapak Gereja St. John and Paul di Mukah telah di pulau oleh Paderi baru itu iaitu seorang Paderi yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Mereka bukan saja tidak mahu menghadirkan diri malah pada ucapan di Missa Kudus hari Ahad selepas itu mereka telah mengambil sikap yang sangat bertentangan dengan ajaran Kristian sendiri dengan memperlekehkan orang Kristian yang hadir pada upacara tersebut termasuk YB Dr. Leo, Ketua Menteri Sarawak, Arch. Bishop Dominic Su serta seorang paderi anak watan Sarawak sendiri.

Malah dalam urusan Gereja yang melibatkan soal perbelanjaan atau peruntukkan Gereja mereka telah berani membelakangkan pandangan pihak Catholic Mission yang berpusat di Kuching Sarawak dengan terus berurusan sendiri dengan pihak Mission yang berada di negara Singapura. Dan inilah antara sebab yang telah menjejaskan hubungan bukan saja setakat antara Gereja dengan kerajaan negeri malah antara Gereja dengan Gereja tertentu juga. Namun apa yang saya dapat tahu kini bahawa hubungan antara Gereja di bahagian Mukah dengan pihak Kerajaan Negeri kembali mesra kembali setelah paderi tersebut ditukar ke tempat lain.

Oleh itu, berbekalkan kepada nasihat yang pernah diberikan oleh Rev. Father Henry itulah maka saya berani mengatakan bahawa dalam mana-mana ajaran Katolik tidak pernah merestui untuk pemimpinnya mengembangkan agama Kristian kepada orang Islam terutamanya kerana jika ini berlaku atau ada sesiapa yang ada usaha ke arah itu bermakna pihak-pihak ini harus dipertanggungjawabkan dan harus diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan. Walaupun perkara ini(menyebar ajaran Kristian dikalangan orang Islam) belum lagi pernah terjadi di Sarawak, namun semua pihak harus sedar akan apa yang kita hadapi jika ianya terjadi.

Rabu, Januari 13, 2010

Sedikit penjelasan berhubung artikel terbaru Yanggambi

Gambar diatas diambil dari blog rakan iaitu milik blogger Yanggambi. Terima kasih Yanggambi kerana telah menyiarkan gambar ini diblog anda. Adakah gambar ini menggambarkan perkara sebenar sebagaimana yang dijelaskan atau hanya sebagai hiasan semata namun semuanya walaupun perlukan jawapan tetapi saya tidak cuba untuk mempertikaikannya dan biarlah saja kita berteka-teki sesama kita mengenainya.

Sebenarnya saya sangat terkejut melihat pendedahan oleh saudara Yanggambi mengenai perkembangan yang terbaru membabitkan amalan yang dilakukan oleh pihak Protestant dalam Kristian yang jika menurut apa yang ditulis telah lama berlaku di negara jiran tetangga kita iaitu Indonesia sebuah negara yang paling ramai rakyatnya beragama Islam di dunia berbanding dengan negara lain.

Disini cuma saya nak menjelaskan sedikit bahawa apa yang telah dihuraikan oleh saudara Yanggambi berkenaan dengan amalan yang dilakukan oleh penganut Kristian di wilayah tertentu di Indonesia itu sesetengah daripadanya langsung tidak ada dalam ajaran Roman Katolik.

Namun apa yang dikatakan sebagai amalan atau ibadat yang melebih-lebih itu saya rasa adalah tidak elok untuk disentuh dalam keadaan yang sedang kita hadapi sekarang cuma apa yang saya harap agar semua pihak harus peka serta jujur dengan hakikat yang kita sendiri memang tahu. Semua tahu bahawa agama Kristian telah terlebih dulu ada sebelum agama Islam wujud dan orang Kristian sendiri juga memang tahu bahawa Roman Katolik adalah mazhab yang pertama dalam agama Kristian.

Jadi saya tidak mahu terlalu memperkatakan sangat benda-benda macam ini sebab ramai lagi orang diluar sana yang lebih arif dan tahu mengenainya. Dan saya sendiri juga selalu ingat bahawa tiada perkara lain yang lebih penting daripada kita mampu sekiranya untuk turut mempertahankan kedaulatan negara kita dari terus diancam oleh pihak luar dan juga amat penting bagi kita untuk terus memelihara keamanan negara serta menjaga nilai-nilai perpaduan kaum serta keharmonian beragama di Malaysia ini.

Mengenai amalan berpuasa itu ingin saya jelaskan bahawa amalan berpuasa selama 40 hari itu memang dituntut dalam ajaran Roman Katolik kepada penganutnya bagi memperingati kebangkitan Yesus Kristus dari alam kubur selepas 40 hari di salibkan.

Setiap hari Jumaat pula semua penganut Roman Katolik dituntut untuk tidak memakan sebarang daging bagi menghormati di mana hari penyaliban Yesus Kristus berlaku pada hari Jumaat.

Mengenai sembahyang yang menyerupai sembahyang 5 waktu bagi umat Islam yang dilakukan oleh penganut Kristian di Indonesia itu, sebenarnya perkara itu langsung tidak ada dalam ibadat yang diamalkan oleh Roman Katolik.

Dalam Roman Katolik selain Missa Kudus hari Ahad hanya ada sembahyang atau doa Rosary yang menggunakan rantai yang mengandungi 59 butir batu Rosary yang kegunaan punya fungsi tersendiri dan amalan ini kebiasaannya hanya dilakukan pada waktu malam. Doa adalah untuk 15 peristiwa penting dalam Kristian iaitu sejak dari Bonda Maria mengandung Yesus sehinggalah peristiwa-peristiwa yang seterusnya. Doa pada malam Isnin dan Khamis bagi 5 peristiwa gembira manakala doa pada malam Selasa dan Jumaat untuk 5 peristiwa sengsara dan doa pada malam Ahad, Rabu serta Sabtu untuk 5 peristiwa sempurna.

Oleh itu, untuk mengaitkan semua ajaran lain dengan apa yang sedang berlaku dalam negara kini selain daripada Katolik yang sekarang nyata telah terbabit secara langsung dengan pergolakkan hubungan antara agama di Malaysia yang berpunca daripada kedegilan pihak Herald Catholic untuk terus menggunakan kalimah ALLAH didalam majalah terbitan mereka, saya berpandangan adalah langkah yang tidak baik dan yang pasti ianya sedikitpun tidak akan membantu untuk mengendurkan ketegangan yang sedia ada malah mungkin akan mewujudkan masalah lain pula.

Dalam apa keadaan sekalipun, semua pihak harus peka dan berhati-hati dengan apa yang cuba disampaikan agar ianya kelak tidak menambah lagi kerisauan dan mungkin kelukaan hati tak kira pada sesiapapun juga dan sama-samalah kita menteneramkan keadaan ini demi apa yang kita inginkan iaitu apa yang disebut sebagai kedamaian, kemakmuran, keamanan, kesejahteraan untuk Malaysia.

Dalam isu ini kedua-dua pihak yang bertelagah hendaklah menyelesaikan segera punca perbalahan dan tidak perlu untuk mana-mana pihak menyentuh perkara lain seperti amalan dan sebagainya dalam agama masing-masing. Orang Kristian harus memahami serta menghormati orang Islam dan begitu juga sebaliknya. Kita harus saling hormat-menghormati dan kita mesti sedar bahawa kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang ada dalam negara kita itulah yang sebenarnya kekuatan bagi Malaysia maka jagalah ia sebaik-baiknya.

Selasa, Januari 12, 2010

Tahniah buat Datuk Dr. James Dawos atas perlantikkan dalam Kerajaan Malaysia

Esok 13hb. January 2010 hari Rabu akan memberi banyak makna dan juga akan menjadikannya sebagai satu hadiah tahun baru daripada Kerajaan Persekutuan khasnya kepada kaum Bidayuh di Sarawak apabila majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Mambong YB Datuk Dr. James Dawos Mamit sebagai Timbalan Menteri Pelancongan akan berlangsung dihadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Zainal Abidin di Istana Negara.

Kaum Bidayuh merupakan kaum keempat terbesar di Sarawak selepas Kaum Iban yang majoriti, diikuti kaum Cina dan yang ketiga adalah kaum Melayu. Kaum Melanau adalah kelima terbesar di Sarawak manakala kaum Kedayan yang sepertimana kaum Melayu mereka juga kesemuanya beragama Islam dan seterusnya adalah masyarakat dari golongan kaum Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut, Bisaya, Kiput, Berawan, Kajang, Lahanan, Kejaman, Saban, Tagal, Sekapan, Beketan, Beliun, Sebup, Ukit, Penan, Punan dan banyak lagi.

Jika sebelum ini kaum Bidayuh tiada mempunyai sebarang wakil didalam Kerajaan atau tiada lantikan dari kalangan masyarakat mereka dalam kabinet persekutuan maka kini mereka boleh merasa lega kerana sumbangan besar serta sokongan kuat mereka terhadap Kerajaan Barisan Nasional selama ini telah diiktiraf dan diterima sebagai satu penghargaan yang tidak boleh dinafikan.

Perlantikan YB Datuk Dr. James Dawos adalah bagi menggantikan tempat yang telah dikosongkan oleh YB Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman Abdul Taib yang telah meletakkan jawatan pada Disember tahun lepas atas alasan masalah peribadi. Semoga dengan perlantikan Datuk Dr. James Dawos ke jawatan itu sedikit sebanyak dapat diterima oleh kaum Bidayuh sebagai satu pengiktirafan tinggi oleh Kerajaan Barisan Nasional terhadap peranan mereka didalam proses pembangunan negeri Sarawak khasnya dan juga Malaysia amnya.

Kepada YB Datuk Dr. James, Syabas dan Tahniah buat YB. Selamat bertugas dan berikanlah yang terbaik kepada negara kita Malaysia dan berikanlah kerjasama yang padu kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib dan TPM YAB Tan Sri Muhyiddin untuk membawa banyak lagi kemajuan kepada negara kita...

Soal Jawab tentang Gereja di TV3 malam ini, wajarkah?

Saya amat bimbang dengan langkah yang sedang diambil oleh pihak TV3 yang telah mengundang Menteri Keselamatan Dalam Negeri(KDN) YB Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai tetamu mereka pada malam ini untuk program Soal Jawab jam 10.00 malam bagi mengupas isu yang sedang hangat ketika ini iaitu isu Gereja atau lebih tepat isu bantahan penganut Islam terhadap penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut agama Kristian di negara ini.

Alasan saya ialah seandainya nanti YB Datuk Seri Hisham gagal mengawal emosi beliau apabila diaju dengan soalan bertubi-tubi yang seolah-olah menekan atau memaksa oleh pengendali program tersebut jadi bagaimana kami boleh menerima penjelasan oleh Yang Berhormat Menteri mengenai perkara yang sedang berbangkit kini dengan baik dan terbuka.

Saya rasa adalah sangat tidak sesuai bagi pihak TV3 untuk menyiarkan siaran seumpama itu buat masa ini memandang kes ini separuh daripadanya sedang dalam proses di Mahkamah manakala separuh lagi sedang didalam siasatan pihak Polis dan yang selebihnya telah diambil kesempatan oleh pihak pemimpin politik terutamanya pembangkang untuk dijadikan modal mereka bagi mengelirukan lagi fikiran rakyat.

Oleh itu saya berharap sekiranya boleh agar pihak TV3 mengkaji semula program yang telah diatur terutamanya berkenaan dengan jemputan terhadap Datuk Seri Hisham itu samada ianya boleh ditunda kepada tarikh yang lain ataupun pada masa yang bersesuaian dan jangan diadakan pada waktu ini dimana tahap keharmonian dalam negara kita pada dasar pada masa ini tidak seharmoni dulu lagi.

Apa yang perlu dilakukan pada hemat saya ialah, semua pemimpin masyarakat, pemimpin politik tanpa mengira ideologi mereka harus bekerjasama untuk turun berjumpa dengan masyarakat umum bagi menjelaskan kedudukan sebenar perkembangan mengenai perkara yang sedang dihadapi negara sekarang ini. Mereka sepatutnya tidak boleh menerang atau menyentuh isu ini secara bersendirian tidak kira dalam mana-mana forum yang danjurkan sebagaimana yang akan dibuat oleh TV3 jam 10 malam nanti.

Sebenarnya saya sangat bimbang kerana siaran TV3 adalah pilihan utama rakyat di Sarawak dan juga di Sabah, dan jika mereka mengikuti siaran Soal Jawab itu nanti serta besar kemungkinan ada diantara mereka kurang jelas atau kurang faham dengan apa yang cuba dijelaskan oleh Datuk Seri Hisham maka sudah tentu timbul tanggapan lain pula tentang masalah itu daripada masyarakatdi sebelah Malaysia Timur ini tentang rakan-rakan mereka di tanah Semenanjung Malaysia.

Dalam mengejar keuntungan, maka sewajarnyalah juga bagi setiap pihak untuk turut sama sentiasa memelihara kemakmuran negara. Sekiranya negara sentiasa dalam keadaan yang tidak menentu, walau segagah manapun kita adalah tidak mustahil apabila segala pencapaian terdahulu yang kita perolehi akan turut musnah perlahan-lahan ataupun akan hancur dalam sekelip mata.

Saya dengan rasa rendah diri berharap sangat agar pihak TV3 dapat menimbang semula rancangan yang telah diatur itu terutama yang menyentuh isu antara agama demi untuk menjaga kepentingan semua pihak. Janganlah mengeruhkan lagi keadaan. Kepada rakan-rakan blogger dari BPN, AIDC serta blogger-blogger persendirian yang cintakan keamanan berilah respon segera tentang perkara ini kepada pihak TV3. Terima kasih.

Isnin, Januari 11, 2010

Keadaan di Bandaraya Miri adalah seperti biasa serta selamat...

Walaupun kejadian menyerang Gereja turut berlaku di Miri namun suasana harian di Bandaraya ini berjalan lancar dan tidak terganggu malah orang ramai berurusan seperti sediakala.

Apa yang agak menghairankan ada diantara penduduknya yang tidak tahu dengan insiden tersebut atau juga mungkin mereka tidak menjangka kejadian seumpama itu boleh berlaku di Miri. Saya rasa mungkin mereka tidak ambil pusing sangat dengan apa yang sedang berlaku sejak beberapa hari ini yang telah tercetus pada awalnya di Semenanjung Malaysia.

Apa yang saya dapati keadaan di Bandaraya Miri sejak dari awal sehingga ke petang keadaannya adalah seperti sediakala, tiada apa yang boleh dikatakan sebagai untuk mencemaskan orang ramai. Kelihatan juga kereta peronda polis serta kereta pegawai siasatan jenayah cawangan Miri keluar masuk melalui jalan kawasan Gereja The Parish of Good Shepherd di Lutong Miri.

Ketika melalui jalan kawasan berdekatan dengan Gereja Anglikan itu, saya sengaja memperlahankan kenderaan saya untuk membolehkan saya menjeling sambil memandu bagi membolehkan saya melihat keadaan Gereja tersebut. Saya terlihat kain kuning sebagai garisan polis dihadang disebelah hujung belakang Gereja yang telah dilempar dengan batu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kelihatan dari jauh cermin tandas serta cermin bilik belakang Gereja pecah.

Setelah melihat keadaan itu saya membuat kesimpulan sendiri mengenai kejadian itu. Ianya tidak ubah seperti yang selalu dilakukan oleh mereka-mereka yang suka memusnahkan harta benda awam yang disediakan oleh Majlis-majlis Bandaraya. Saya tidak terfikir bahawa kejadian itu ada kaitannya dengan apa yang sedang berlaku di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia ketika ini. Sebabnya ialah Gereja tersebut bukannya Gereja Katolik tetapi sebuah Gereja milik Protestant mazhab Anglikan.

Itu hanyalah andaian saya saja dan bukan bermaksud untuk mempengaruhi mana-mana pihak. Yang sangat penting ialah siasatan oleh pihak polis. Dan kepada para pelancong tempatan dan luar negara, keadaan di Bandaraya Miri adalah selamat dan jangan bimbang sebab pasukan keselamatan kita terutamanya Polis sentiasa bertanggungjawab dalam menjaga serta mengawal keadaan sekitar demi kesejahteraan orang ramai keseluruhannya.

Ahad, Januari 10, 2010

Kes Gereja di Miri, serahkan kepada Polis...

Untuk menjaminkan keselamatan negara serta keharmonian kaum dinegara ini supaya dapat terus terpelihara, maka adalah sangat diharapkan agar semua pihak boleh memberikan kerjasama yang jitu dan padu kepada pihak berkuasa seperti pasukan polis serta agensi yang telah diamanahkan dengan tugas-tugas tertentu untuk mengawal ketenteraman awam di negara ini.

Dengan kejadian terbaru yang berlaku terhadap Gereja God Shepherd di Lutong Miri Sarawak, walaupun saya merasa agak keberatan untuk menyentuh mengenainya memandangkan kita sebagai rakyat harus menghormati undang-undang iaitu tidak sesuai untuk membuat sebarang andaian tentang apa yang sedang berlaku kerana bimbang akan mengganggu siasatan pihak berkuasa.

Namun saya merasa perlu untuk menjelaskan serba sedikit sesuatu mengenainya walaupun bukan bekaitan dengan kejadian itu setelah mengambil kira pentingnya hubungan erat sebelum ini sesama masyarakat majmuk di Malaysia agar boleh untuk terus dilindungi.

Saya berkeyakinan bahawa kejadian itu bukanlah angkara mereka yang beragama Islam. Ini cumalah teori atau tafsiran saya. Harap maaf.

Hubungan mazhab-mazhab yang terdapat didalam agama Kristian sendiri selama ini juga bukanlah baik sangat. Mazhab Katolik sebagai mazhab yang tertua sering berdepan dengan suasana yang tidak menyelesakan daripada mazhab-mazhab yang terdapat didalam Protestant lainnya.

Apa yang pernah berlaku di negara barat terutamanya seperti di Ireland Utara selama berdekad-dekad lamanya yang menyaksikan perbalahan antara penganut mazhab Roman Katolik dengan aliran lain disana sebenarnya juga telah lama berlaku di Malaysia ini cuma orang yang bukan beragama Kristian saja yang tidak sedar mengenainya.

Saya harap semua pembaca akan memahami apa yang cuba saya sampaikan ini dan tidak perlu untuk saya menghuraikannya secara jelas. Saya harap kepada pihak yang dengan mudah terus menuding jari kepada pihak tertentu yang melakukan perkara khianat seperti itu supaya berhenti daripada suka menuduh tanpa bukti.

Cuma saya terfikir, mungkinkah ada pihak-pihak tertentu yang telah mengambil kesempatan serta peluang ketika krisis ini sedang berlaku ? Saya sangat berharap agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian ini akan segera sedar bahawa apa yang telah mereka lakukan itu tidak akan membawa sebarang kebaikan melainkan kemusnahan dan kehancuran.

Sabtu, Januari 09, 2010

Setuju dengan cadangan YB Datuk Ibrahim Ali...

Saya sangat bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PERKASA yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas Kelantan, Yang Berhormat Datuk Paduka Ibrahim Ali mahu Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mengadakan perjumpaan dengan Ketua Gereja Roman Katolik iaitu Pope Benedict XVI di Vatican City bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan penggunaan kalimah ALLAH oleh umat Kristian di negara ini.

Bagi saya, inilah antara jalan yang terbaik harus difikirkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia dalam mencari penyelesaian bagi kemelut yang sedang dihadapi antara masyarakat Kristian dengan Islam berkaitan dengan isu yang sedang berbangkit kini. Diharap pihak kerajaan dapat mempertimbang atau menerima dengan baik cadangan yang dicetuskan oleh YB Datuk Paduka Ibrahim Ali itu.

Jika dulu, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad ketika masih Perdana Menteri telah sudi untuk mengunjungi Pope John Paul II di negara Katolik itu walaupun Malaysia pada umumnya tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara tersebut, saya rasa tiada salahnya bagi pemimpin Malaysia sekarang untuk turut melawat Vatican lebih-lebih lagi apabila perkembangan yang berlaku sekarang memerlukan kerajaan Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan serta pendapat dengan pemimpin-pemimpin Gereja Katolik terutamanya Pope Benedict XVI sendiri yang mana hasil pertemuan itu nanti diharap dapat meleraikan kekusutan yang timbul selama ini.

Jumaat, Januari 08, 2010

Gereja di bakar ~ orang Kristian Malaysia jangan bertindakbalas

Apa yang dikhuatiri saya selaku rakyat biasa selama ini tentang hubungan kaum dan agama di negara ini kini seolah-olah semakin menuju kearah yang sangat sukar. Pembentukan negara Malaysia, kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan negara yang dikecapi hasil usaha pemimpin Malaysia yang terdahulu langsung tidak dihargai oleh segelintir generasi berbagai kaum di negara ini.

Sepatutnya apabila negara Malaysia telah memasuki usia kemerdekaannya melebihi 52 tahun iaitu satu usia yang sudah matang, maka sewajarnya rakyat yang terdiri daripada berbilang bangsa di negara ini juga sudah boleh menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan diantara satu kaum dengan kaum yang lain.

Tetapi malang sekali apabila keadaan itu tidak terjadi malah lebih teruk lagi apabila terdapat sesetengah mereka yang bergelar sebagai pemimpin seringkali memainkan sentimen-sentimen sensitif yang sepatutnya harus dihindari daripada menyebabkan ketidakselesaan dikalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Insiden membakar 3 Gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi sedikit sebanyak telah melonggarkan ikatan yang telah terjalin walaupun tidak semesra mana selama ini diantara penganut Kristian dengan penganut agama lain dinegara ini mula semakin bergolak. Puncanya semua pihak sudah sedia maklum. Jika pihak minoriti memahami serta menghormati hak pihak majoriti di negara ini, saya percaya setiap perbalahan akan menjadi mudah untuk diselesaikan.

Berhubung dengan kejadian tersebut, adalah besar harapan saya agar rakan-rakan Kristian saya di Malaysia bertenang dan tidak usah bertindakbalas. Serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengawal keadaan. Yang penting jangan menuduh mana pihak yang melakukan perkara itu sehingga pihak polis berjaya mengesan mereka yang bertanggungjawab.

Kita tidak boleh menuduh sebarangan kerana dalam keadaan yang bercelaru saat ini segala kemungkinan pasti akan berlaku dan mungkin juga ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan didalam situasi berlaku seperti sekarang untuk melakukannya.

Beri kerjasama kepada pihak berkuasa serta sentiasa patuh kepada seruan kerajaan supaya kita sama-sama dengan masyarakat lain di Malaysia untuk memelihara keamanan demi kesejahteraan kita semua.

Kepada ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Rev. Father Murphy Parkiam saya sebagai sebahagian daripada penganut Katolik di negara ini sangat berharap agar beliau boleh kembali memikir serta mengkaji semula apa yang sedang beliau serta pihak Catholic Herald Tribune perjuangkan di Mahkamah ketika ini demi perpaduan bangsa-bangsa di negara ini. Terima kasih.

Khamis, Januari 07, 2010

YB Mohd Nizar terlibat dalam kemalangan jalanraya...

Bekas Menteri Besar Perak YB Ir Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dilaporkan telah terbabit didalam satu kemalangan jalanraya tengah hari tadi.

Beliau yang juga adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak telah di bawa ke Hospital Besar Ipoh untuk di berikan rawatan. Walau apapun, keadaan sebenar beliau kini belum dapat dipastikan lagi.

Semoga beliau selamat dan segera sembuh. Begitulah kehidupan, setiap langkah kita harus berhati-hati baik dijalanraya atau dimana jua. Harus berhati-hati dalam tutur kata dan juga perbuatan. Kita ada Raja, maka hormatilah pihak Istana. Jika terhutang budi, maka seharusnyalah kita tidak cepat lupa akan daratan.

Sehubungan itu saya juga berharap agar beliau tidak terkena "doa bala" yang satu ketika dulu pernah ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak oleh sesetengah pihak hanya kerana tuntutan ke atas "royalty minyak" bagi negeri Kelantan belum ditentukan lagi.

Rabu, Januari 06, 2010

Isu kalimah ALLAH : Pihak Gereja harus bertoleransi

Jika semangat bertolak-ansur sentiasa diamalkan didalam menangani sebarang isu yang berbangkit, sudah pasti perkara yang difikirkan sangat sukar akan menjadi mudah untuk diatasi tetapi jika sifat atau sikap lebih mengutamakan kepentingan sebelah pihak saja tanpa memikirkan kesan jangka panjang sebarang isu itu terhadap masyarakat keseluruhannya, nescaya perkara yang mudah akan menjadi lebih rumit untuk diselesaikan.

Begitulah yang sedang berlaku diantara pemimpin tertentu Gereja Katolik dengan masyarakat Islam di Malaysia. Sekiranya pemimpin tertinggi Katolik di negara ini sudi mengambil langkah untuk mengkaji semula samada untuk terus mengamalkan atau memansuhkan sesuatu perkara yang dipertikaikan oleh orang Islam di negara ini dalam aktiviti agama Kristian tanpa perlu mengheret pihak lain untuk memutuskannya, saya percaya setiap isu yang berbangkit diantara Kristian dengan Islam dapat diselesaikan dengan baik serta tertib.

Saya sekali lagi ingin melihat tokoh-tokoh agama Kristian baik dari mazhab Katolik serta Protestant lainnya di Malaysia ini supaya segera mencari penyelesaian berkenaan dengan perkataan ALLAH yang jika tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh dikhuatiri akan merosakkan perpaduan kaum serta seterusnya akan menyebabkan keamanan negara turut terancam. Fikirkanlah, tiada gunanya kita menang jika ianya semata-mata meninggalkan kelukaan yang tidak akan sembuh di pihak yang satu lagi.

Kita harus terima hakikat bahawa kalimah ALLAH itu hanya terkandung serta telah ada di dalam Kitab Suci Al Quran sejak kitab tersebut diturunkan kepada umatNya. Perkataan ALLAH di dalam Al Quran tetap sama dan tidak pernah berubah-ubah walaupun penganutnya datang dari negara yang berlainan bahasa dan benua berbeza jika dibandingkan dengan Bible atau Injil yang perkataan-perkatan didalamnya termasuk perkataan untuk nama seperti Tuhan, Nabi Isa a.s, Siti Mariam, Nabi Daud, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan sebagainya akan bertukar mengikut negara mana yang rakyatnya adalah pengikut Kristian.

Masa terus berlalu serta waktu tidak akan menunggu kita, maka adalah lebih baik untuk pihak Gereja melihat kepentingan semua pihak dalam isu ini. Mana yang kita rasa memang jelas atau tidak jelas bahawa sesuatu itu adalah hak kita yang hakiki, maka sewajarnyalah kita mengembalikannya kepada pihak yang sememang berhak. Janganlah kita mengundang kemudaratan serta pergolakan kepada Malaysia dan yang semestinya kita harus berkorban untuk kemakmuran negara kita.

Jika isu ini berpanjangan, perkara ini seolah-olah telah meletakkan seluruh penganut Roman Katolik khususnya dan Kristian amnya di Malaysia berada dipersimpangan. Oleh itu adalah diharap sangat agar pihak Gereja segera berusaha untuk mengadakan satu perkataan baru yang lebih sesuai bagi kegunaan umat Kristian bagi menggantikan kalimah ALLAH seperti mana yang sedang digunakan ketika ini terutama oleh kaum Bumiputera Kristian di Sarawak dan juga di Sabah.

Kepada pemimpin-pemimpin parti politik pakatan pembangkang terutamanya, dalam isu ini tak payahlah untuk menangguk di air yang keruh dan kepada Penasihat PKR YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak usahlah mengumpan rakyat Sarawak yang beragama Kristian dengan menabur janji-janji putar belit sehingga sanggup menggadai agama Islam semata-mata kerana untuk memenuhi tuntutan kuasa politik. Kami tidak akan gelap mata dengan semua itu. BN telah banyak menabur jasa kepada rakyat Sarawak keseluruhannya dan kami sentiasa mengingatinya walaupun ada sesetengah diantaranya bagai "kacang lupakan kulit."

Arkib Blog