Kenyataan terbuka oleh beberapa pemimpin parti dari DAP yang dibuat ketika bersidang di dalam DUN dan juga semasa sidang media yang secara terang-terangan telah menyentuh isu berkaitan dengan hal ehwal kaum di Sarawak sesungguhnya tidak akan membantu menstabilkan keharmonian kaum di negeri ini melainkan mereka hendak memulakan satu keadaan di mana hendak menjerumuskan semula masyarakat di Bumi Kenyalang ke dalam situasi perebutan kuasa, wilayah yang kemudiannya menjurus kepada perbalahan antara kaum sepertimana yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Brunei dahulukala.
Kita di Sarawak tidak mahu keadaan itu berulang sekali lagi di negeri ini selepas kita merasai nikmat kemakmuran setelah bersama dengan Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah membina Persekutuan Malaysia yang nyata lebih terjamin perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaumnya. Apabila terdapat beberapa pemimpin dan wakil-wakil rakyat dari DAP cuba membangkitkan isu berkaitan kaum, maka kita mahu kerajaan negeri lebih berani untuk mengingatkan mereka ini agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dengan apa yang mereka nyatakan agar ianya kelak tidak akan menjadi punca berlakunya keadaan yang tidak terkawal di Sarawak ini.
Kita merayu kepada pemimpin politik dari kaum Cina di Sarawak khususnya dari DAP agar mereka jangan sesekali mengungkit keadaan hidup kaum mereka dengan bentuk bagaimana kerajaan Barisan Nasional melayan kaum mereka berbanding kaum Bumiputera di Sarawak yang mereka dakwa tidak adil tetapi adakah mereka membuka mata untuk melihat bagaimana pula keadaan hidup kaum Bumiputera yang tinggal di bandar-bandar besar seluruh Sarawak yang hidup mereka umpama melukut di tepi gantang ?
Kami rakyat dari kaum Bumiputera di Sarawak tidak pernah melihat dasar kerajaan BN selama ini yang dituduh oleh pemimpin DAP ini sebagai telah menekan kaum Cina di Sarawak namun sebaliknya kami merasa dasar kerajaan BN lebih mengutamakan kaum Cina jika dibandingkan dengan apa yang kaum Bumiputera dapat. Hak rakyat pendalaman malah ada sesetengah tanah-tanah yang telah diusahakan oleh penduduk kampung kaum Bumiputera yang telah beralih hak kepada pihak yang tak sepatutnya.