Ketua Menteri Sarawak YAB Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud akan merombak kabinet kerajaan negeri Sarawak pimpinan beliau dalam minggu hadapan. Ianya dilakukan enam bulan selepas selesainya proses pengundian untuk Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang ke-10 pada 16 April lalu.
Kabinet Sarawak yang ada pada hari ini adalah merupakan barisan menteri kabinet yang dilantik oleh Ketua Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak lagi dan selepas masing-masing menang semula dalam pilihan raya tersebut kecuali ADUN Piasau Datuk Patinggi Dr George Chan dan juga ADUN Krian Datuk Peter Nyarok yang tewas kepada pembangkang, mereka yang menang ini telah mengangkat sumpah bagi membolehkan kesemuanya untuk kembali semula kepada portfolio yang disandang sebelum pembubaran DUN Sarawak dilakukan.
Rombakan kabinet yang dijanjikan oleh Pehin Sri Taib pada minggu depan terhadap kabinet sedia besar kemungkinannya melibatkan lapan orang menteri penuh yang dilantik sebelum ini termasuklah sebelas Menteri Mudanya. Dalam senarai lapan orang menteri penuh itu, perlu ada di antara mereka itu digantikan dengan muka baru yang lebih muda serta bertenaga.
Dan begitu juga dengan kesebelasan Menteri Muda Sarawak yang masih dikekalkan selepas pilihan raya baru-baru ini, ada beberapa nama yang perlu dinaikkan kepada menteri penuh disamping itu perlu juga digugurkan antara mereka itu atas beberapa sebab seperti atas faktor umur serta prestasi.
Cuba kita lihat kepada senarai lapan nama mereka yang masih membarisi kabinet kerajaan negeri Sarawak selepas berlalunya pilihan raya umum negeri atau yang masih dikekalkan memegang jawatan sebagai menteri penuh yang diketuai oleh Ketua Menteri sendiri;
YAB Pehin Sri Hj Abdul Taib bin Mahmud (PBB) - Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Kewangan, Perancangan dan Pengurusan Sumber
YAB Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang (PBB) - Timbalan Ketua Menteri Sarawak II serta Menteri Pertanian, Pertubuhan Peladang dan Koperasi Sarawak
YB Tan Sri Dr James Jemut anak Masing (PRS) - Menteri Pembangunan Tanah Sarawak
YB Tan Sri William Mawan anak Ikom (SPDP) - Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak
YB Datuk Sri Abg Hj Johari Tun Openg (PBB) - Menteri Perumahan & Pembangunan Bandar Sarawak
YB Datuk Sri Wong Soon Koh (SUPP) - Menteri Kewangan II, Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak
YB Datuk Sri Micheal Manyin anak Jawong (PBB) - Menteri Kemajuan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak
YB Datuk Sri Awg Tengah bin Awg Ali Hassan (PBB) - Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak II
YB Datin Hjh Fatimah Abdullah (PBB) - Menteri di-Pejabat Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Sumber Manusia dan Latihan
Dan seterusnya adalah senarai nama kesebelasan Menteri-menteri Muda Sarawak (Timbalan Menteri) yang masih dikekalkan oleh Ketua Menteri dengan jawatan lama mereka masing-masing;
YB Datuk Hj Daud Abd Rahman (PBB) - Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam)
YB En. John Sikie Tayai (PRS) - Menteri Muda Daerah Luar Bandar Sarawak
YB Tuan Hj Mohd Naroden Majais (PBB) - Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak
YB Datuk Francis Harden anak Hollis (SUPP) - Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak
YB En. Sylvester Entri anak Muran (SPDP) - Menteri Muda Bekalan Air Sarawak
YB Datuk Lee Kim Shin (SUPP) - Menteri Muda Sukan Sarawak
YB Tuan Hj Abdul Wahab Aziz (PBB) - Menteri Muda Perumahan Sarawak
YB En. Mong anak Dagang (PRS) - Menteri Muda Pelancongan Sarawak
YB Datuk Peter Nansian anak Ngusie (SPDP) - Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak
YB Dr Stephen Rundi anak Utom (PBB) - Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak
YB Datuk Talib Zulpilip (PBB) - Menteri Muda Pelancongan Sarawak
Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak I serta Menteri Pembangunan Perindustrian, Pelancongan dan Warisan Sarawak yang masih kosong perlu diisi semula berikutan dengan kekalahan penyandangnya iaitu Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dari SUPP yang gagal mempertahankan kerusi di N.63 DUN Piasau setelah tewas kepada YB Ling Sie Kiong seorang calon muda daripada DAP.
Begitulah juga dengan jawatan Menteri Muda(Timbalan Menteri) Pertanian, Pertubuhan Peladang & Koperasi Sarawak yang juga perlu diisi setelah penyandang sebelumnya iaitu Datuk Peter Nyarok anak Entrie dari SPDP turut tewas kepada calon dari PKR, Ali bin Biju yang menentang beliau di kerusi N.34 DUN Krian.
Untuk jawatan yang masih ditinggalkan kosong oleh Tan Sri Dr George Chan itu, Ketua Menteri seboleh-bolehnya perlulah mengisi semula kekosongan jawatan itu dengan melantik salah seorang pemimpin dari kalangan mereka dalam parti SUPP dan tidak semestinya pemimpin itu dari keturunan kaum Cina semata-mata sebab jika dilihat daripada penguasaan kaum yang mewakili SUPP dalam DUN Barisan Nasional Sarawak buat masa ini, kaum Cina hanya ada dua wakil iaitu di N.47 Bawang Assan YB Datuk Sri Wong Soon Koh serta YB Datuk Lee Kim Shin dari N.65 Senadin.
Manakala empat daripada enam orang kesemua wakil rakyat dari parti SUPP dalam DUN Sarawak yang tinggal kini adalah pemimpin dari kaum Bumiputera iaitu ADUN N.01 Opar YB En. Ranum anak Mina, ADUN N.16 Bengoh YB Dr Jerip anak Susil, ADUN N.27 Simanggang YB Datuk Francis Harden anak Hollis dan ADUN N.28 Engkelili YB Dr Johnical Rayong anak Mina.
Dan daripada empat pemimpin suku Bumiputera ini, Pehin Sri Taib di lihat wajar untuk melantik salah seorang daripada mereka ini ke jawatan yang lebih kanan dalam kabinet negeri atau sekurang-kurangnya sebagai menteri penuh dalam kabinet seandainya jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak diberikan kepada sebuah lagi parti komponen BN negeri iaitu parti PRS yang telah memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya negeri lalu jika dibandingkan dengan SUPP.
Calon yang dilihat lebih sesuai adalah wakil rakyat bagi kawasan Simanggang iaitu YB Datuk Francis Harden Hollis ini berdasarkan kepada pengalaman serta kesetiaan beliau terhadap kerajaan Barisan Nasional, mempunyai pengalaman agak luas serta lama dalam kancah politik negeri Sarawak serta mempunyai latarbelakang pendidikan yang baik serta serta memiliki prestasi kerja yang baik selama menjadi wakil rakyat disamping menjalankan tugas sebagai Menteri Muda dengan amanah.
YAB Tan Sri Amar Alfred Jabu anak Numpang sepatutnya direhatkan terlebih dahulu sebelum YAB Pehin Sri Taib berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak memandangkan usianya yang telah kian lanjut. Umur Tan Sri Jabu 5 tahun muda dari Pehin Sri Taib yang kini telah berusia 75 tahun. Tempat Tan Sri Jabu sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak perlu diberikan kepada salah seorang daripada dua pemimpin Iban iaitu Tan Sri Dr James Jemut Masing ataupun Tan Sri William Mawan Ikom bagi mewakili suara kaum Iban serta Dayak di Bumi Kenyalang keseluruhannya.
Pehin Sri Taib juga perlu memikir untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri ataupun sekurang-kurangnya kekosongan tempat bagi kouta kaum Cina dibuka kepada pemimpin Bumiputera Islam yang akan mewakili kaum Melayu, Melanau dan juga kaum Kedayan di Sarawak. Ini perlu disediakan lebih awal seandainya kelak Sarawak akan mendapat seorang Ketua Menteri yang bukan lagi dari kalangan tiga suku kaum tersebut.
Dan pemimpin yang layak untuk diiktiraf ke jawatan itu saya rasa ialah ADUN N.8 Satok YB Datuk Sri Abg Johari Tun Abg Hj Openg kerana beliau dilihat lebih mengenali budaya serta adat tiga kaum berkenaan dengan lebih baik. Pemilihan Datuk Sri Abang Jo sebagai Timbalan Ketua Menteri saya dapati agak logik apabila sampai masanya kelak Pehin Sri mengotakan janji beliau untuk berundur dari tampuk pemerintahan kerajaan negeri sebagaimana yang dinyatakan dalam siri kempen pilihan raya beliau dulu dan sekiranya ini berlaku maka orang yang paling layak untuk mengambil alih jawatan itu adalah Datuk Sri Abang Johari.
Dan parti SUPP yang hanya mampu mempertahankan 6 kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan cukuplah sekadar diberikan dengan jawatan sebagai menteri penuh dalam kabinet negeri pada kali ini. Dan kaum Cina yang hanya ada dua orang wakil dalam kerajaan Sarawak tidak lagi boleh hendak menyalahkan kerajaan BN dalam hal ini apabila mendapati tiada lagi pemimpin Cina yang menduduki jawatan tertinggi dalam kabinet negeri kerana majoriti daripada mereka ternyata sudahpun menolak kerajaan BN dan mereka telah nyatakan keputusan itu dalam pilihan raya umum Sarawak yang ke-10 pada 16 April lepas dan mereka harus terima hakikat itu.
Agak menarik dalam rombakan kabinet negeri Sarawak kali ini ialah apabila Pehin Sri Taib dijangka akan melantik semula bekas ADUN N.54 Pelagus iaitu En. Larry S'ng ke dalam pentadbiran kerajaan negeri. Larry S'ng tidak dicalonkan semula di kawasan tersebut setelah Pehin Sri Taib terpaksa mengalah disebabkan desakan yang dibuat oleh Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing yang tidak membenarkan sama sekali Larry menjadi calon BN di Pelagus ekoran krisis kepimpinan yang berlarutan antara beliau dengan Larry S'ng.
Namun Pehin Sri Taib tetap berkeyakinan dengan potensi masa depan Larry S'ng sebagai seorang pemimpin baik dan berwibawa adalah cerah dan Pehin Sri Taib secara peribadi sering mengakui bahawa Larry S'ng merupakan seorang pemimpin muda yang sentiasa setia kepada perjuangan Barisan Nasional dan sangat komited terhadap tugas yang diberikan kepada beliau. Itulah antara lain sebab mengapa Pehin Sri tetap mahu melihat agar Larry S;ng terus berada bersama dalam pentadbiran beliau biarpun Larry S'ng tidak mewakili mana-mana parti dalam komponen BN.
Menyentuh mengenai rombakan yang turut melibatkan jawatan-jawatan pada peringkat Menteri Muda Sarawak tentu sekali akan turut berlaku perubahan dimana pasti ada diantara mereka yang sudah lama memegang jawatan tersebut dalam kementerian yang tertentu akan dinaikan ke jawatan lebih tinggi, atau ditukar ke jawatan lain dan tidak mustahil juga ada yang akan digugurkan serta digantikan dengan muka baru.
Apabila membincangkan tentang rombakan yang melibatkan jawatan sebagai Menteri Muda Sarawak, sudah tentulah perhatian kita tidak boleh lari kepada wakil-wakil rakyat yang masih muda serta bertenaga walaupun kebanyakkan daripada mereka itu baru beberapa bulan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri setelah menang dalam pilihan raya negeri lalu namun bukanlah sesuatu yang diluar kebiasaan jika Pehin Sri Taib sanggup memberi ruang serta peluang kepada mereka itu untuk diserap ke dalam kabinet negeri agar mereka itu akan mendapat pendedahan lebih awal mengenai hala tuju serta arah negeri Sarawak hendak dibawa seterusnya oleh kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional.
Ramai sebenarnya pemimpin-pemimpin muda yang berkebolehan sebagai pemimpin masa depan ada di dalam Barisan Nasional Sarawak pada masa ini cuma mereka ini tidak diberi peluang untuk berkhidmat dengan lebih luas melangkaui kawasan sendiri iaitu tidak hanya terhad kepada rakyat yang diwakili dalam kawasan DUN sendiri semata-mata tetapi kepada seluruh rakyat Sarawak seandainya mereka diberi tempat dalam kabinet negeri. Malah ada di antara mereka yang sudah beberapa penggal dipilih sebagai seorang wakil rakyat tetapi tetap juga tidak dilantik sebagai Menteri Muda apatah lagi sebagai menteri penuh walaupun sesetengah daripada mereka menunjukkan prestasi cermerlang sebagai seorang wakil rakyat.
Saya melihat ada beberapa wakil rakyat yang telah lebih dua tiga penggal menduduki kerusi DUN Sarawak serta mempunyai potensi masa depan yang baik untuk digarap sama dalam kabinet kerajaan negeri kali ini seperti ADUN Samariang YB Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Engkelili YB Dr Johnical Rayong, ADUN Bekenu YB Rosey Yunus dan ADUN Bukit Kota Limbang YB Dr Abdul Rahman Ismail.
Tetapi sekiranya Pehin Sri Taib terus mensia-siakan kebolehan yang ada pada mereka ini serta masih mengekalkan pemimpin yang kurang berkualiti untuk membarisi kerajaan dalam kabinet negeri nescaya kerajaan BN Sarawak akan terus ketandusan pemimpin masa depan yang berkemampuan untuk memimpin rakyat serta negeri Sarawak ke arah yang lebih gemilang lagi.
Begitu juga dengan beberapa muka baru wakil rakyat Barisan Nasional yang menang di dalam pilihan raya negeri lalu, ada diantara mereka itu awal-awal lagi telah menunjukkan prestasi amat baik untuk menjaminkan BN terus kekal memerintah negeri Sarawak, mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, berketrampilan sesuai sebagai seorang Yang Berhormat, mudah didekati rakyat serta rajin menyelami permasalahan masyarakat.
Mengenai pemimpin-pemimpin baru dalam Barisan Nasional Sarawak ini saya sering mengikuti perkembangan yang dilakukan oleh beberapa ADUN baru daripada BN Sarawak seperti ADUN Telang Usan YB Harisson Ngau Laing, ADUN Lambir YB Ripin Lamat dan ADUN Semop YB Abdullah Saidol. Ketiga-tiga pemimpin muda BN ini perlu diberi perhatian khusus oleh Pehin Sri Taib bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri.
Adalah tidak terlalu awal untuk melantik mereka-mereka ini ke dalam kabinet negeri Sarawak walaupun ketiga-tiga mereka baru sahaja bergelar sebagai Ahli Yang Berhormat namun sebagai Ketua Menteri yang sangat berpengalaman, saya berpendapat Pehin Sri Taib harus lebih berani mencuba sesuatu yang bukan kelaziman dengan membawa muka-muka baru ini bersama-sama ke dalam kepimpinan kerajaan negeri dan ini perlu dilakukan sebagai langkah untuk merintis jalan menuju ke arah perubahan serta pembaharuan yang lebih sesuai mengikut keadaan masa.
Berdasarkan kepada pengalaman, asas pendidikan yang sempurna juga berdasarkan kepada kesungguhan menjadi seorang pemimpin saya yakin ketiga-tiga wakil rakyat muka baru seperti yang tersebut diatas pasti mampu untuk menggalas tanggungjawab serta tugas yang diberi dan jika tiada rasa kurang yakin terhadap kebolehan muka-muka baru yang banyak membantu Barisan Nasional Sarawak menang dalam PRN ke-10 lalu, saya fikir tentu sekali kerajaan Sarawak dibawah teraju YAB Pehin Sri Taib Mahmud tidak sesukar manapun untuk mencari pemimpin pelapis yang mampu untuk menggantikan tempat mereka kelak.
Pilihlah pemimpin bijaksana yang berani berkata tentang kebenaran. Tolak pemimpin munafiq yang hanya pandai berkata-kata.
Negarawan Terulung
Terima Kasih atas sokongan anda semua !
Jumaat, September 23, 2011
Langgan:
Catatan (Atom)
Arkib Blog
- ► 2009 (257)
- ► 2010 (380)
- ▼ 2011 (600)
- ► 2012 (335)
Blog-blog dan Laman Web Yang Diikuti
- http://www.robertlauhuiyew.com
- http://tigasungai.blogspot.com
- http://anak2merdeka.blogspot.com
- http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
- http://nasionalis1982.blogspot.com
- http://myadha.blogspot.com
- http://yanggambi.blogspot.com
- http://azlishukri.blogspot.com
- http://gunungmatcincang.blogspot.com
- http://www.firestartingautomobil.blogspot.com
- http://fikirankami.blogspot.com
- http://tomyampoktek.blogspot.com
- http://unitmediabaru.blogspot.com
- http://theunspinners.blogspot.com
- http://feedproxy.google.com
- http://khairulryezal.blogspot.com
- http://warisanpahang.blogspot.com
- http://jeffrydamien09.blogspot.com
- http://anginperubahan.blogspot.com
- http://novandri.blogspot.com
- http//gomo-no1.blogspot.com
- http://suratdalambotol.blogspot.com
- http://antipkrsarawak.blogspot.com
- www.utusan.com.my
- http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com
- http://suaramelayubaru.blogspot.com
- http://anwaribrahimdotcom.blogspot.com
- www.chedet.cc
- http://buaya-merah.blogspot.com
- http://penembak-tepat.blogspot.com