Apabila disebut sebagai Tanah Melayu secara spontan orang akan sedar bahawa Semenanjung Malaysia itu adalah asal penduduknya adalah orang Melayu dan juga Orang Asli dari berbagai etnik. Dan begitu juga dengan Pulau Borneo yang terletak di Laut China Selatan adalah lebih sesuai sekiranya dikenali saja dengan panggilan Borneo Pulau Pribumi untuk merujuk kepada penduduk asal yang mendiami pulau ketiga terbesar di dunia itu.
Ini amat perlu dilakukan memandangkan perkembangan yang semakin tidak sihat di negara kita terutama selepas selesainya Pilihan Raya Umum (PRU13) di mana banyak perkara yang dulunya dianggap sebagai perkara yang amat sensitif seolah-olah telah menjadi satu perkara biasa bagi sesetengah pihak yang tampak sewenang-wenangnya mengeluarkan berbagai kenyataan terutama sekali yang berkaitan dengan hak keistimewaan kaum Bumiputera dan juga hal-hal berhubungkait dengan istilah ketuanan Melayu di Malaysia.
Kita mahu kumpulan masyarakat imigran tahu menghormati perjanjian dengan penduduk asal dan mahu mereka yang telah diterima sebagai warga bagi dua wilayah dalam Malaysia ini agar tidak keterlaluan di dalam menuntut mahupun memperjuangkan hak mereka sedangkan dalam waktu yang sama cuba untuk memadam hak penduduk asal yang telah termaktub dan tidak wajar lagi dicabar oleh mana-mana pihak termasuklah mereka yang telah diterima sebagai warganegara selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sarawak serta Sabah pada 16 September 1963.