Sejak beberapa minggu yang lalu heboh di Sarawak dan juga di Malaysia berkenaan dengan isu Bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi kedua Sarawak oleh Ketua Menteri YAB Tan Sri Adenan Hj Satem.
Langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak itu tidak salah dan ianya mempunyai asas dan tindakan itu bakal memberi faedah lebih berguna kepada rakyat Sarawak kerana ianya dilihat sebagai langkah untuk terus menjamin masa depan generasi masa depan Sarawak dari segi mendapat keadilan dalam bidang pekerjaan.
Mereka yang di Semenanjung Malaysia khususnya kerajaan Pusat tidak perlulah bimbang kerana selama inipun bahasa yang digunakan oleh rakyat Sarawak yang terdiri daripada berbilang kaum serta berlainan bahasa adalah Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia jadi tidak timbul soal integrasi nasional menjadi gagal maupun musnah.
Masa depan Sarawak lebih banyak bergantung kepada tenaga pakar rakyatnya sendiri dan tidak mungkin selamanya perlu bergantung kepada tenaga dari luar untuk mengurus tadbir apa-apa syarikat yang berkaitan dengan kerajaan negeri atau pusat yang berpangkalan di negeri ini maka itu kerajaan negeri tentunya mempunyai pandangan tersendiri agar matlamat sebenar kerajaan yang mahu kemajuan samarata bagi rakyat Malaysia benar-benar tercapai.