Sepertimana yang semua sudah sedia maklum bahawa mutu ataupun keadaan permukaan jalanraya sepanjang Leuhraya Pan Borneo dari Sematan di Kuching hingga ke Miri di Utara Sarawak dan seterusnya merentasi wilayah negara Brunei Darussalam kemudian memasuki Bahagian Limbang kemudian masuk semula ke wilayah negara Brunei Darussalam dan seterus masuk ke Daerah Lawas sebelum memasuki wilayah negeri Sabah bukanlah tempat yang sesuai buat masa ini untuk dipasangkan dengan kamera perangkap laju berkenaan.
Saya ingin mengambil contoh beberapa tempat jalan yang sangat bermasalah di negeri Sarawak ketika ini iaitu dari Sri Aman - Sibu, Sibu - Selangau, Selangau - Tatau, Bintulu - Miri yang mana keadaan pada permukaan jalan berkenaan yang berlubang-lubang akibat kenderaan berat, permukaan jalan yang sudah pecah adalah sangat tidak sesuai untuk diletakkan kamera tersebut.
Para pemandu yang melalui jalan-jalan seperti itu setiap hari terpaksa memperlahankan kenderaan mereka supaya senang untuk mengelak sekira ternampak jalan berlubang di hadapan di mana walaupun di kawasan berkenaan had kelajuan diperbolehkan sehingga 100km/jam tetapi oleh kerana keadaan jalan yang agak teruk maka pengguna jalanraya cuma memandu pada tahap kelajuan 30km - 60km/jam bergantung kepada sejauh mana kerosakan pada jalan raya. Di sini saja sudah berapa banyak masa yang terbuang.
Jadi, andaikata kamera AES itu dipasang di kawasan-kawasan jalanraya yang mana permukaan jalannya masih elok atau rata, sudah tentulah untuk para pemandu yang sebelumnya telah melalui banyak kali jalan-jalan yang rosak untuk memandu lebih laju lagi agar lebih cepat sampai ke destinasi tidak dapat kerana bimbang akan dikenakan saman automatik RM300. Oleh itu saya berpendapat bahawa pemasangan kamera AES untuk negeri Sarawak belum lagi sesuai buat masa ini kerana kualiti jalanraya di negeri ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan keadaan jalanraya di Semenanjung Malaysia.