
Bermakna enam belas hari selepas rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan maka rakyat Malaysia akan sekali lagi menyambut perayaan bagi memperingati harijadi Persekutuan Malaysia setelah Tanah Melayu bergabung dengan Sarawak dan Sabah untuk membentuk sebuah negara yang sekarang ini telah dikenali sebagai Malaysia.
Untuk beberapa ketika yang lalu, tarikh 16 September telah menimbulkan sedikit kegusaran dan kegelisahan pada diri dan hati sesetengah rakyat Malaysia apabila tarikh itu telah didendangkan oleh Penasihat PKR YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk memancing sebilangan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional bagi memudahkan perjalanannya untuk menuju ke Putrajaya bagi menawan Pusat Pentadbiran Negara itu.
Namun Anwar tidak pernah menyatakan tahun bila dia hendak menjayakan impiannya itu walaupun tarikh hari dan bulan telah dinyatakan tetapi tahunnya tidak pasti kerana tidak disebut sehinggalah tarikh itu kini telah ditetapkan sebagai Hari Malaysia oleh kerajaan yang akan disambut secara rasmi pada 16 September 2010.
Sebenarnya saya kurang selesa dengan keputusan oleh kerajaan itu yang saya lihat seolah-olah telah mendapat ilham daripada rancangan pincang Anwar suatu ketika dulu iaitu hendak membelakangi sistem demokrasi di negara ini dengan memperkenalkan kaedah "lompat parti" bagi membolehkannya untuk menubuhkan kerajaan yang baru di Malaysia yang jika beliau berjaya memperolehi sekian-sekian jumlah anggota Parlimen yang sanggup berpaling tadah maka pada tarikh 16 September itulah maknanya kerajaan BN terpaksa menyerahkan kuasanya kepada Pakatan Haram yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.
Walau apapun, sebagai rakyat kita harus menerima juga keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan itu demi untuk menghalang pihak-pihak tertentu daripada mempergunakan tarikh itu sebagai modal bagi merasuk fikiran sesetengah rakyat yang masih terdapat kurang mendapatkan maklumat yang tepat.
Dengan pengumuman terbaru oleh Perdana Menteri itu, bermakna kita rakyat Malaysia akan mendapat cuti tambahan satu hari lagi sebagai cuti umum dan kita akan selalu bercuti tapi taklah bercuti lama sampai enam bulan seperti yang dibagi oleh Anwar kepada Datuk Zaid Ibrahim atau tiga bulan seperti yang pernah PKR bagi kepada YB Elizabeth Wong dulu.