Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Ahad, September 11, 2011

Benarkah tradisi 'halal bil halal & minal aidin wal faizin' penyelesai masalah di Indonesia?

Saya sangat tertarik dengan satu kenyataan yang dibuat oleh Ketua Majlis Ulama Indonesia bagi daerah Kota Palu, Sulawesi Tengah Indonesia iaitu KH Zainal Abidin bahawa tradisi "halal bil halal" serta "minal aidin wal faizin" yang diamalkan hanya oleh kaum Muslim di Indonesia sebagai satu kaedah penyelesaian kepada mana-mana masalah yang timbul dan akuinya lagi bahawa traidisi berkenaan sangat sesuai dan berkesan sekali bagi tujuan menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan untuk menuju ke jalan kebaikan.

Saya tiba-tiba terkenang semula kepada masalah yang sering timbul di dalam hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia sebelum ini hanya kerana beberapa isu yang remeh-temeh namun sengaja diperbesarkan, justeru itu saya berpendapat, alangkah baiknya sekira amalan sedemikian yang sekian lama diakui telah menjadi sebahagian daripada budaya tradisi masyarakat di Indonesia dalam memupuk semangat saling memahami dapat diperluas melangkau lebih jauh keluar dari lingkungan biasa iaitu tidak hanya menjadi amalan mereka sesama rakyat Indonesia tetapi juga boleh dijadikan sebagai satu pendekatan baru dalam menyelesai masalah jika timbul lagi sebarang bentuk pertikaian di kemudian hari antara rakyat Indonesia dengan rakyat Malaysia ataupun rakyat Indonesia dengan rakyat negara lain.

Saya tidaklah berniat hendak mempersendakan amalan mulia yang sedemikian kerana apa yang sangat dikesali ialah apabila kita imbas semula kepada kejadian sebelum ini dimana ketika 'Jalur Gemilang' yang dibakar, Pejabat Kedutaan Malaysia dibaling dengan telur busuk, rakyat Malaysia yang diburu dengan buluh runcing dan sebagainya lagi hanya kerana beberapa sebab dan yang paling mahal apabila kejadian seumpama itu tidak diduga sama sekali boleh dilakukan oleh rakyat negara jiran tetangga yang paling akrab, yang seagama, budaya yang serupa, bangsa yang serumpun, maka persoalannya mengapa tidak digunakan tradisi "halal bil halal" dan "minal aidin wal faizin" itu sebagai alternatif terbaik untuk menjernihkan semula hubungan baik sedia ada yang terjalin antara rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia?

"Halal Bil Halal & Minal Aidin Wal Faizin" hanya di Indonesia ?

PALU - Ketua Majlis Ulama Indonesia Kota Palu, Sulawesi Tengah, KH Zainal Abidin berkata, tradisi yang biasa dilakukan oleh penduduk negara itu pada hari raya aidil fitri iaitu "halal bil halal" dan "minal aidin wal faizin" tidak dikenali di dunia lain, termasuk di negara-negara Arab.

Ini kerana katanya, tradisi itu hanya diamalkan oleh penduduk Muslin di Indonesia.

"Tradisi 'halal bil halal' tidak dikenali di dunia lain termasuk di Arab Saudi. Hanya orang Indonesia yang menemukan dan mentradisikan kegiatan itu," kata Zainal Abidin dalam ceramahnya pada acara malam "halal bil halal" di lapangan Watulemo, Palu, Sulawesi Tengah baru-baru ini.

Zainal Abidin mengatakan, orang Arab sendiri tidak tahu makna perkataan 'halal bil halal' kerana perkataan tersebut tidak ada dalam struktur bahasa Arab.

Meskipun demikian katanya, tradisi 'halal bil halal' banyak manfaatnya kerana ia menjadi salah satu jalan menuju penyelesaian masalah.

"Oleh sebab itu, kalau ada masalah, ia boleh diselesaikan dengan cara 'halal bil halal," kata Ketua Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN) Datokarama Palu itu.

Zainal juga menjelaskan kalimat 'minal aidin wal faizin' hanya dipopularkan di Indonesia.

Menurutnya, meskipun kalimat itu diambil daripada bahasa Arab, namun orang Arab sendiri tidak mengerti maksud 'minal aidin wal faizin' tersebut.

Kalimat ini juga kata Zainal tidak dikenali dalam struktur bahasa Arab - Utusan Malaysia via ANTARA News.

Ulasan lanjut;
Yang menariknya ialah apabila KH Zainal Abidin menyatakan bahawa orang Arab sendiri tidak tahu makna perkataan 'halal bil halal' dan 'minal aidin wal faizin' kerana kedua-dua kalimat tersebut tidak terdapat didalam susunan bahasa Arab tetapi dalam pada itu beliau turut mengakui bahawa kedua-dua perkataan itu diambil daripada bahasa Arab, yang mana satu betul?...macam berbelit pula.

Nasib baik saya terjumpa satu blog milik seorang rakyat Indonesia di internet yang berjaya menjelaskan asal-usul perkataan atau kalimat "halal bil halal & minal aidin wal faizin" dimana penulis blog berkenaan merupakan penduduk dari daerah Banjarmasin Kalimantan Selatan Indonesia menerangkan yang kedua-dua perkataan itu hanyalah singkatan daripada doa yang panjang iaitu ("Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Wa Ja'alanallahu Minal Aidin Wal Faizin") yang biasa diucapkan oleh orang Islam setiap kali selepas selesai berbuka puasa. Ketara sekali kenyataan di antara KH Zainal dengan penulis blog berkenaan mengenai tradisi "halal bil halal" dan "minal aidin wal faizin" yang menjadi kebanggaan di Indonesia jelas berbeza.

Ada baiknya juga bagi orang-orang Melayu dan Islam di Malaysia ini untuk menjadikan amalan seperti ini sebagai salah satu cara untuk terus memelihara perpaduan sesama bangsa yang kelihatannya semakin hari semakin renggang gara-gara tindakan oleh beberapa pemimpin parti yang masing-masing mempertahankan ideologi politik sempit mereka...

Arkib Blog