Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Selasa, November 15, 2011

PRU-13: selain Fatimah, Pehin Sri Taib sendiri juga adalah pilihan tepat untuk Parlimen Mukah

Pada pendapat saya selaku pengundi dalam kawasan Parlimen Mukah, jika pemimpin peringkat tertinggi di dalam BN khususnya PBB agak keberatan untuk mencalonkan ADUN Dalat YB Datuk Hjh Fatimah Abdullah untuk menggantikan tempat yang mungkin dikosongkan oleh YB Datuk Sri Dr Muhammad Leo Toyad pada PRU-13 nanti, apa kata mereka berpakat calonkan saja YAB Pehin Sri Taib untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Mudahkan saja cerita, seandainya pengundi di daerah Mukah terutamanya masih berkeras mahukan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir dicalonkan sebagai wakil rakyat untuk Parlimen Mukah adalah lebih elok kita sarankan supaya Pehin Sri mengosongkan kerusi DUN Balingian sebaik saja Parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri dan PBB bolehlah letak Datuk Seri Mahmud bertanding di situ manakala Pehin Sri Taib pula dicalonkan untuk kerusi Parlimen Mukah. Ringkasnya, tidak seperti rakyat di Daerah Mukah, rakyat di Daerah Dalat belum bersedia lagi untuk menerima Datuk Sri Mahmud sebagai pemimpin.

Ini adalah antara langkah awal dan amat perlu untuk mengasah bakat anak sulung Ketua Menteri itu sebelum dipilih untuk memimpin kawasan dan masyarakat yang lebih besar lagi. Berkhidmat di kawasan DUN dulu sebelum diberi kepercayaan untuk melangkah ke Parlimen, barulah rakyat boleh mengukur sejauh mana kemampuan sebenar beliau sebelum boleh dilantik sebagai seorang pemimpin pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Kalau sekadar main letak saja hanya kerana beliau adalah anak kepada Pehin Sri, kita sangat khuatir sekiranya ini berlaku maka tidak semena-mena rakyat di Mukah yang akan merana dan terus ketinggalan dari segala segi pembangunan dan kemajuan apabila berwakilkan seorang pemimpin yang semata-mata hanya bergantung kepada kehebatan orang tuanya namun beliau sendiri tidak berkemampuan untuk mengurus kawasan yang diwakili.

Saya berpandangan begini, melihat kepada keadaan semasa saya yakin dan tetap percaya bahawa Pehin Sri Taib masih mampu untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada penduduk di kawasan Parlimen Mukah bagi tempoh lima tahun lagi iaitu sehingga usia beliau menjangkau 80 tahun. Alangkah bagusnya sekira pengalaman berharga beliau selama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan dulu digunakan untuk membangunkan kawasan Parlimen Mukah secara menyeluruh walaupun hanya untuk tempoh sepenggal saja.

Rekod kecemerlangan perkhidmatan Pehin Sri Taib ketika menjadi Anggota Parlimen Kota Samarahan dulu memang diakui sebagai yang terbaik apabila beliau terbukti berjaya membawa banyak pembangunan yang amat membanggakan sehingga mengubah wajah Kota Samarahan yang dahulunya hanyalah sebuah penempatan yang biasa dan terpencil muncul sebagai sebuah kota ilmu dengan terbinanya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan apa yang menjadi kenangan paling manis bagi penduduk Kota Samarahan saat ia diisytihar sebagai sebuah bahagian penuh menjadikannya bahagian yang ke-9 dalam dalam negeri Sarawak.

Itu semua berlaku berikutan pembangunan pesat di bahagian Kota Samarahan yang dibawa oleh Pehin Sri Taib hasil usaha gigih serta kerja bersungguh-sungguh beliau untuk melihat kawasan yang diwakilinya itu turut maju dan membangun sepertimana di tempat lain dalam negara ini. Namun dalam waktu yang sama bukan hanya setakat bahagian Kota Samarahan saja yang diberi keutamaan oleh beliau kerana sebagai pemimpin nombor satu Bumi Kenyalang maka seluruh bahagian di negeri Sarawak juga turut menerima limpahan dari kepimpinan Pehin Sri Taib yang tiada tolok bandingnya.

Maka itulah harapan sebenar sebahagian besar rakyat di kawasan Parlimen Mukah, mereka mahukan perubahan dari segi pemimpin. Mereka mahukan seorang pemimpin yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat, yang bersedia untuk mendengar aduan dan rintihan rakyat dan selalu dekat dengan rakyat selain berani menyuarakan masalah rakyat ketika persidangan dewan rakyat berlangsung.

Rakyat Mukah bukan bermaksud hendak menolak kepimpinan BN tetapi mahukan seorang seorang calon pemimpin yang benar-benar sanggup berkorban masa dan kepentingan diri demi kesejahteraan rakyat dan juga demi pembangunan kawasan yang beliau wakili.

Arkib Blog