Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Rabu, Oktober 20, 2010

Syabas dan Tahniah rakyat Melaka ! Melaka Maju 2010...

Setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah khas buat seluruh rakyat negeri Melaka Bandaraya Bersejarah diatas pengisytiharan sebagai sebuah negeri maju tepat jam 8:10(20:10) malam 20hb Oktober 2010 oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Rakyat negeri Melaka sudah pasti merasa sangat bertuah kerana mempunyai seorang Ketua Menteri yang rajin, cergas dan begitu gigih berusaha untuk membawa banyak perubahan ke dalam negeri Melaka demi untuk negeri serta juga untuk kebanggaan setiap rakyatnya.

Bajet 2011: Wakil Rakyat BN jangan ulang lagi peristiwa hitam Bajet 2010 !

Saya rasa tentu masih ramai rakyat Malaysia yang ingat akan satu peristiwa berlaku pada Isnin malam 14hb Disember 2009 di mana kerajaan Barisan Nasional hampir-hampir tumbang setelah Dewan Rakyat undi secara belah-bahagi bertujuan samada Bajet 2010 boleh dilulus ataupun tidak.

Undi belah-bahagi yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen(DAP) Ipoh Barat YB M. Kulasegaran setelah pihak Pakatan Pembangkang mula menyedari yang kehadiran Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional pada malam itu jelas kurang dan hampir menyamai jumlah wakil rakyat pembangkang.

Keadaan itu telah memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk mula memasang strategi bagaimana untuk merampas kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional dalam masa yang singkat tanpa perlu menunggu PRU-13 yang dirasa masih terlalu lama.

Keadaan telah menjadi semakin cemas bagi pihak wakil rakyat Barisan Nasional apabila mereka mendapati ramai diantara rakan-rakan dalam BN yang tidak kelihatan di dalam Dewan mahupun di sekitar ruang legar dewan pada waktu itu walaupun masa untuk mengundi sudah semakin hampir.

Angka 64-63 itulah yang telah menyelamatkan kerajaan BN yang kemudiannya ditambah dua undi menyokong dengan kehadiran yang lewat Perdana Menteri DS Najib dan TS Muhyiddin menjadikannya 66 undi bersetuju bagi pihak BN dan Pakatan Pembangkang masih dengan jumlah 63 undi menentang.

Oleh itu, untuk meluluskan Bajet 2011 setelah ianya selesai dibahaskan kelak oleh semua Anggota Dewan Rakyat maka semua wakil rakyat khususnya mereka dari Barisan Nasional hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan taktik berbagai pihak Pakatan Pembangkang dalam usaha mereka untuk merampas tampuk kuasa kerajaan.

Kepada mana-mana wakil rakyat BN yang mempunyai tabiat suka ponteng dan selalu tidak hadir tanpa diketahui akan sebabnya sewaktu Dewan Rakyat bersidang kita menyerulah, agar ubah sikap tu sebab tiada gunanya gelaran sebagai Yang Berhormat jika sering mengabaikan tanggungjawab sebenar yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Dan untuk mengelak peristiwa Isnin malam 14/12/2009 dari berulang kembali, kita haraplah supaya setiap Ahli Parlimen menyemak semula jadual-jadual yang telah diatur sebelumnya dan jika ada diantara tarikh yang bertindih dengan tarikh dimana dewan sedang bersidang maka eloklah tarikh berkenaan ditukar kepada tarikh atau masa yang lain.

Selaku Ahli Parlimen sepatutnya mereka sendirilah yang lebih memahami betapa pentingnya satu-satu Bajet yang telah dibentangkan untuk diluluskan bagi menggerakkan jentera pentadbiran iaitu setelah ianya melalui proses perbahasan yang berhari-hari di dalam Dewan Parlimen dan sudah semestinya Ahli-ahli Parlimen ini sendiri tahu seandainya Bajet gagal untuk diluluskan maka bermakna kerajaan sudah tidak punya sebarang peruntukkan atau perbelanjaan untuk mengurus segala kos-kos pentadbiran negara.

Rakyat seperti saya tidak berniat untuk mengajar tetapi cuma untuk mengingat saja agar peristiwa yang pernah membuat ramai pihak menjadi cemas dan gementar tidak akan berulang lagi untuk Bajet 2011 ini.

Terima Kasih daun keladi, lain kali jangan buat lagi !

Arkib Blog