Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Ahad, April 28, 2013

Ops Daulat: kenapa Tian Chua terasa pedas, adakah dia yang makan cili tu..?

Sebagaimana yang seluruh rakyat Malaysia sudah sedia maklum bahawa Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan ada tiga orang tokoh politik dari parti pembangkang telah dikenalpasti terlibat sebagai dalang dalam isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu Sabah pada 12 February lepas.

Namun Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pula mendedahkan sebarang nama mahupun identiti-identiti mereka yang dimaksudkan itu cuma memberi gambaran hanya dari pihak pembangkang kerana tidak mahu tindakan itu akan menjejas perjalanan proses pilihan raya yang kini sedang berlangsung di negara ini tetapi memberi jaminan tindakan susulan akan tetap dibuat sebaik saja pilihan raya umum selesai.

Apa yang amat mengejutkan apabila Naib Presiden PKR Tian Chua tiba-tiba bangkit melenting ekoran pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Zahid itu lantas menuduh Menteri Pertahanan itu cuba memperolok-olokkan isu keselamatan di negara ini sambil menegaskan bahawa tindakan itu cukup berbahaya kepada negara. Cehhh..tau pun cakap pasal keselamatan negara !

Yang lagi kelakarnya apabila Tian Chua mahu agar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib mengambil tindakan tegas ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid kerna mendedahkan bahawa ada tiga orang pemimpin politik pembangkang dua orang dari Semenanjung dan seorang dari Sabah terbabit dalam isu pencerobohan kumpulan pengganas yang diketuai Jamalul Kiram III terhadap wilayah berdaulat di Lahad Datu timur Sabah baru-baru ini.

Tidak semena-mena pula sikap cepat melatah Tian Chua yang tiba-tiba naik angin berhubung dengan kenyataan terbaru Menteri Pertahanan itu menguatkan lagi andaian oleh beberapa pihak sebelum ini tentang watak-watak mereka yang menjadi talibarut dalam serangan pengganas Kiram III yang lebih menjurus kepada mereka-mereka dari pihak Pakatan Pembangkang.

Mungkin ini yang dikatakan "bangkai gajah usah ditutup dengan sehelai daun pisang" lama-kelamaan akan diketahui juga. Kenapa pula Tian Chua yang menjadi tidak keruan dan tidak tentu arah sekiranya memang tidak terlibat dalam isu itu? Lainlah kalau memang betul ada yang menjadi dalang...

Khamis, April 25, 2013

Tidak banyak rakyat Sarawak yang berpikiran ke belakang tentang Malaysia !

Sejak kebelakangan ini kelihatan sudah muncul beberapa individu-individu tertentu di Sarawak yang cuba mempersoalkan kedudukan negeri ini dalam Malaysia di samping mempertikaikan perjanjian 18 perkara yang telah tersimpan kemas di dalam Perlembagaan Malaysia.

Suara sumbang mereka mengenai perkara ini dibuat secara berkumpulan dan menerusi satu pertubuhan tidak sah yang dikenali sebagai "Sarawak Sabah Keluar Malaysia atau singkatannya SSKM" mereka sering menggunakan media alternatif seperti facebook sebagai saluran untuk menyampaikan ideologi mereka kepada rakyat Sarawak dan juga Sabah tanpa sebarang pemantauan oleh pihak berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri.

Mereka sudah tentunya menggunakan sejarah kemerdekaan Malaysia, sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak dan juga Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah sebagai modal untuk tujuan mempengaruhi pikiran rakyat Sarawak serta Sabah bagi menarik sokongan ke atas komplot yang mereka sedang usahakan.

Cuma apa yang saya nak nyatakan di sini ialah, hanya segelintir kecil saja jumlah rakyat Sarawak mahupun Sabah yang mahu kembali kepada sejarah 50 tahun pembentukan Malaysia berbanding yang sedang bersama-sama dengan kerajaan semasa untuk terus membuka langkah positif terus mara ke hadapan dan bersama-sama menuju ke arah sebuah negara maju 2020.

Walaupun begitu, ianya tidaklah bermakna kita hendak melupakan sejarah yang amat bernilai itu tetapi biarlah ianya kekal sebagai satu peristiwa yang amat berharga untuk seluruh rakyat Malaysia dan menjadi satu panduan yang sangat berguna agar langkah tidak tersasar dalam mengejar kemajuan dan membina apa juga bentuk pembangunan dan yang penting sekali biarlah segala yang berkait-rapat dengan sejarah penubuhan Malaysia akan tetap terpelihara sedemikian dan kekal dalam lipatan sejarah tanah air kita.

Apa yang diharapkan ialah supaya kumpulan ini sedar bahawa tidak semudah yang mereka sangkakan untuk membentuk sebuah negara sendiri dan begitu juga dalam mempertahankan keselamatan serta keamananan sesebuah negara. Setiap negara perlu menyediakan pasukan keselamatan sendiri, pasukan pertahanan sendiri seperti polis dan tentera yang pastinya memerlukan peruntukan yang bukan sedikit jumlahnya dan itu semua belum lagi menyentuh tentang peruntukan untuk pembangunan lain seperti sekolah, hospital, klinik, jalanraya, jambatan dan berbagai-bagai lagi.

Semua itu pernah dijelaskan oleh Ketua Menteri Sarawak YAB Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud pada malam sambutan Hari Malaysia 30 Ogos 2012 lalu di Bintulu di mana beliau mengingatkan tentang sejarah Sarawak dan Sabah yang panjang di bawah penjajah tetapi kehidupan rakyatnya amat daif sekali berbanding dengan keadaan sekarang sesudah hampir 50 tahun berada bersama-sama dalam Malaysia namun banyak pembangunan serta kemudahan dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat di kedua-dua negeri ini.

Rabu, April 24, 2013

Guan End mahu pisahkan Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sarawak di bawah dua kementerian berbeza !

Semasa membantu kempen dua calon DAP untuk kerusi Parlimen Lanang yang diwakili Alice Lau Kiong Yieng dan juga Parlimen Sibu yang mempertaruhkan Oscar Ling Chai Yew di Sibu semalam, Setiausaha Agung DAP Guan End mengemukakan banyak janji-janji manismu kepada penduduk Sibu khususnya dan rakyat Sarawak amnya seandainya Pakatan DAP, PKR dan PAS berjaya menubuh kerajaan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 ini nanti.

Antara janji-janji manisnya itu adalah untuk mewujudkan satu kementerian khas bagi kaum Bumiputera bukan Islam dan satu lagi kementerian khusus untuk orang beragama Islam manakala satu kementerian untuk orang beragama Kristian. Seterusnya di sini

Sangat jauh berbeza pendekatan yang digunapakai oleh Guan End serta parti DAP dalam mewujudkan suasana harmoni di kalangan penduduk berbilang kaum di negara ini jika dibandingkan dengan perjuangan Barisan Nasional yang sangat menitik berat soal perpaduan dalam masyarakat yang berbilang bangsa, adat, agama serta latar belakang kehidupan rakyat Sarawak terutamanya serta seluruh Malaysia amnya.

Apa yang lebih menarik tentang janji-janji manismu Pakatan Pembangkang sebelum ini ialah tentang hak Sarawak iaitu mengenai kuasa autonomi untuk memerintah negeri ini jika mereka menang namun dalam waktu yang sama DAP Pusat sudah menunjukkan belang sebenar mereka apabila awal-awal lagi telah menentukan corak pentadbiran negeri Sarawak tanpa memberikan kebebasan kepada pemimpin negeri untuk menentukannya sendiri seperti yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional Pusat selama ini yang tidak mencampuri sebarang urusan pentadbiran kerajaan negeri Sarawak termasuk dalam soal pembentukan kementerian tertentu.

Adakah begini cara sebuah kerajaan pusat yang dikehendaki oleh segelintir rakyat Sarawak dalam mentadbir negara? ..tidak menghormati hak pemimpin tempatan Sarawak dalam menentukan bentuk kepimpinan yang dikehendaki oleh rakyat sebagaimana keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional pusat kepada kerajaan negeri selama ini?

Selasa, April 23, 2013

Akhirnya Mat Taib jadi seorang AngkaSawan..

Sejak tewas kepada YAB Tan Sri Hj Muhyiddin Hj Yassin dalam pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO di Perhimpunan Agung parti yang ke-59 pada 26 Mac 2009 lebih kurang dua tahun yang lalu, bekas Menteri Selangor yang bekas Naib Presiden parti Tan Sri Muhammad Hj Muhamad Taib kerap menghilangkan diri dan dikatakan jarang berada di dalam negara atas urusan tertentu di luar negara.

Malah dikatakan juga beliau yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib di kalangan orang-orang UMNO seringkali tidak hadir dalam mesyuarat-mesyuarat parti bahagian mahupun cawangan yang sepatutnya beliau turut terlibat. Mungkin juga disebabkan rasa kecewa tidak terpilih ke jawatan nombor dua parti telah membuat Mat Taib terus membawa diri hingga terlupa akan tanggungjawab beliau terhadap parti terutama di bahagian yang diwakili beliau.

Walaupun secara keseluruhannya ramai pihak yang ketika itu mahu agar jawatan Presiden dan juga jawatan Timbalan Presiden parti tidak ditandingi namun bagi menghormati prinsip demokrasi yang dipegang oleh parti UMNO lalu jawatan Presiden dibuka untuk pertandingan tetapi oleh kerana pencabar kepada Datuk Seri Mohd Najib iaitu Tengku Razaleigh Hamzah tidak mendapat pencalonan yang mencukupi maka Datuk Seri Najib diisytiharkan menang kecuali untuk jawatan Timbalan Presiden di mana Tan Sri Muhyiddin telah dicabar oleh Mat Taib tetapi kalah setelah lawannya itu mendapat sebanyak 1,575 undi daripada para perwakilan.

Nyata sekali semenjak beliau kecundang dalam perebutan kuasa untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun tersebut, Mat Taib seperti seorang yang telah hilang semangat atau seperti jasad yang telah kehilangan "roh" daripada tubuh yang tercari-cari arah tuju tetapi selepas lebih dua tahun hilang punca beliau tiba-tiba muncul dikhalayak ramai tetapi apa yang amat mengejutkan beliau berdiri bukan di atas pentas UMNO tetapi bersama-sama dengan pemimpin PAS di atas pentas Pakatan Pembangkang.

Alasan yang beliau beri mengapa berlaku situasi sedemikian adalah kononnya perjuangan UMNO kosong tanpa "roh" tidak seperti perjuangan PAS yang kononnya tebal dengan roh-roh maka itu beliau sanggup meninggalkan UMNO yang sudah banyak memberi tempat serta kedudukan kepada beliau selama berada di dalam parti malahan beliau juga sudah banyak mendapat keistimewaan serta menafaat sewaktu menjadi Menteri Besar Selangor di bawah kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu tidak cukup bagi beliau?

Apa yang sangat tidak sihat yang dilakukan oleh Mat Taib selaku pemimpin veteran UMNO ialah berikutan keputusannya meninggalkan parti dan menyertai parti PAS ialah apabila menyeru orang-orang UMNO untuk meninggalkan perjuangan parti tersebut dan bersama-sama beliau melompat ke dalam PAS sedangkan beliau tahu bahawa sebahagian besar ahli-ahli UMNO tidak menyokong beliau dan semua itu telah mereka terjemahkan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-59 lalu dengan kemenangan besar Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Datuk Seri Mohd. Najib.

Kita sangat yakin bahawa ahli-ahli UMNO yang setia kepada perjuangan parti tidak akan mudah untuk dijangkiti oleh sindrom bawaan pihak yang kecewa tak bertempat seperti itu yang seolah-olah mahu supaya orang-orang UMNO semuanya turut mengikut jejak langkah beliau yang nampak semakin tidak stabil dan sanggup pula bersekongkol dengan parti yang pernah menjadi musuh politiknya seketika dulu untuk memburuk-burukkan parti UMNO yang telah begitu banyak memberi ruang dan peluang kepada beliau menjadi seorang pemimpin negeri serta pembesar negara.

Isnin, April 22, 2013

Malaysia akan ditadbir oleh kerajaan haram jika PR berjaya pada PRU13 !

Jikalau pakatan haram pembangkang yang dianggotai oleh DAP, PKR dan PAS berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dan membentuk sebuah kerajaan untuk memerintah Malaysia ini merupakan kali pertama negara semenjak hampir lebih 55 tahun mencapai kemerdekaan ditadbir oleh sebuah kerajaan haram yang tidak diiktiraf dari segi undang-undang walaupun pada dasarnya mereka menang melalui proses demokrasi pilihan raya bebas namun hakikatnya pakatan mereka sebenarnya adalah haram kerana tidak pernah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan serta tidak pernah memiliki logo rasmi sepertimana Barisan Nasional.

Biarpun menang tetapi tidak mustahil kiranya pihak Barisan Nasional akan mencabar kemenangan pakatan pembangkang dengan menggunakan kuasa mahkamah kerana jika dilihat dari sudut undang-undang memang jelas memperlihatkan pakatan tiga buah parti pembangkang itu tidak sah kerana selain tidak berdaftar sebagai sebuah pertubuhan di samping tidak mempunyai sebarang lambang khusus mereka juga sering bertelagah sesama sendiri dalam perkara tertentu dan terbaru timbul perselisihan dalam isu pengagihan kerusi pada pilihan raya umum ke-13 ini di mana akhirnya menyaksikan calon DAP bertembung dengan calon PAS menentang calon BN dan begitu juga apabila calon daripada PKR, PAS serta DAP bertemu sesama mereka di beberapa buah kerusi berhadapan dengan calon daripada Barisan Nasional.

#P213 Mukah; apabila keputusan parti mengatasi kehendak rakyat !

Senario ini tidak hanya berlaku di dalam Barisan Nasional malah turut berlaku di dalam Pakatan Haram Pembangkang bilamana parti mahu rakyat khususnya ahli parti menurut atau lebih tepat lagi perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti berkenaan dengan individu-indvidu yang bakal dicalonkan untuk bertanding di dalam sesebuah pilihan raya dan ianya juga tidak terkecuali berlaku pada PRU13 kali ini dan melibatkan pula parti Barisan Nasional biarpun pimpinan parti sebelum ini sudah isytiharkan bahawa "era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir" tetapi dalam isu pemilihan bakal calon nampaknya tidak kerana pandangan daripada akar umbi masih lagi dipandang sepi.

Saya nak memberi contoh di kawasan Parlimen P213 Mukah, walaupun parti telah maklum sebahagian besar rakyat terutamanya para pengundi di kawasan parlimen berkenaan menyatakan secara terbuka mahu parti menampilkan muka baru sebagai calon Parlimen Mukah pada pilihan raya kali ini namun seperti biasa suara akar umbi rakyat tidak pernah diendahkan malah rakyat sebaliknya didesak agar akur dengan keputusan parti sedangkan rakyat Mukah sudah terlalu bosan dan muak dengan cara Datuk Sri Dr. Leo Micheal Toyad mengurus permasalahan rakyat dan kawasan yang beliau wakili selama 7 penggal.

Nampaknya dalam soal mengambilkira pendapat suara akar umbi, proses ini sebenarnya tidak pernah sampai ke bawah cuma untuk menyedap hati rakyat serta pucuk pimpinan BN Pusat maka dikatakan rakyat akar umbi di Parlimen Mukah mahu Dr. Leo Toyad kekal dicalonkan sebagai wakil mereka sedangkan hakikatnya rakyat mahu parti menggantikan beliau dengan seorang individu lain dengan harapan agar Mukah mendapat seorang Ahli Parlimen BN yang jauh lebih berwibawa, rajin meninjau masalah kawasan setempat, berani menyuarakan masalah rakyat bukan hanya di kawasannya tetapi masalah rakyat di seluruh Sarawak khususnya dan Malaysia amnya ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Di Parlimen P213 Mukah, seperti yang dapat disaksikan pada hari ini apabila rakyat terpaksa akur untuk mengundi Dr. Leo buat penggal yang ke-8 dan ini bermakna beliau akan menjadi Ahli Parlimen di Mukah untuk selama 40 tahun tanpa pembangunan yang sepatutnya berlaku seiring dengan tempoh masa beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen tetapi tiada kerana pembangunan yang dapat dilihat berlaku di kawasan tertentu dalam Parlimen Mukah sekarang hanya bermula selepas Pehin Sri Hj Abd Taib Mahmud berpindah dari DUN Asajaya ke DUN Balingian dan begitu juga selepas DUN Dalat mendapat sentuhan daripada YB Datuk Hjh Fatimah Abdullah.

Jumaat, April 19, 2013

PRU13: Parlimen P219 Miri bakal saksikan pertembungan 4 penjuru !

Tidak terlalu awal atau mungkin juga tidak kelihatan cuba mendahului pengumuman oleh SPR jika saya katakan bahawa apa yang akan berlaku Sabtu esok 20 April pada hari penamaan calon di Parlimen Miri Sarawak sudah boleh dijangka apabila calon BN akan ditentang oleh dua adik beradik PKR dan juga DAP selain seorang keluarga mereka yang merajuk saudara Chong Kuan Fatt yang minggu lalu keluar dari PKR dan akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kali ini.

Kerana gagal mencapai kata sepakat maka PKR tekad mencalonkan Pengerusi PKR Cawangan Miri Dr. Micheal Teo Yu Kheng sementara DAP pula telah memutuskan untuk mengemukakan Ketua Wanita DAP Cawangan Senadin Lim Su Kien bagi menentang calon daripada Barisan Nasional Datuk Sebastian Ting yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Manakala bakal calon Bebas untuk Parlimen Miri kali ini adalah seorang veteran politik pembangkang Chong Kuan Fatt. Keputusan beliau untuk bertanding setelah bertindak keluar meninggalkan PKR kerana tidak berpuashati tidak dicalonkan untuk kali kedua apabila pada PRU13 ini nama beliau sekali lagi tercicir sama seperti yang berlaku pada PRU12 tahun 2008 lalu.

Khamis, April 18, 2013

Tidak bina Masjid, Datuk Nik Aziz persalahkan rakyat Kelantan pula dah !

Ditanya wartawan mengapa kerajaan PAS sejak 23 tahun memerintah negeri Kelantan tidak pernah membina walau sebuah Masjid, jawab Menteri Besar Kelantan itu, kerajaan negeri yang diterajui beliau memang sengaja untuk tidak membina Masjid di negeri berkenaan bagi mengajar rakyat Kelantan supaya mereka belajar untuk membina sendiri Surau atau Masjid tempat beribadat tanpa perlu bergantung kepada kerajaan yang dipimpin beliau.

Tidak cukup dengan alasan yang amat melucukan itu, Datuk Nik Aziz turut mengungkit, "kalau rakyat boleh membelanja duit untuk beli rumah, beli kereta, beli beras, beli kuih dan sebagainya, mengapa tidak boleh belanja duit untuk bina Masjid." ...hahaha...adehhh ..ada juga pemimpin yang berpikiran macam ni rupanya !

Konon sebelum ini mereka melaungkan slogan Negara Berkebajikan menggantikan dasar Negara Islam..tapi ke mana sudah kebajikan untuk rakyat kalau terus menekan rakyat dengan projek-projek yang sepatutnya diletak di bawah tanggungjawab kerajaan yang memerintah.

Tuntutan "Royalty" minyak oleh PAS daripada kerajaan Pusat untuk apa jika mereka enggan mengeluarkan peruntukkan untuk tujuan kebajikan rakyat?

Rabu, April 17, 2013

PRU13: Rakyat parlimen P213 Mukah terpaksa berpuasa 5 tahun lagi lah !

Keputusan BN Pusat mahupun BN Sarawak untuk mengekalkan penyandang sedia ada bagi kerusi parlimen P213 Mukah Datuk Sri Dr. Muhammad Leo Toyad bukanlah satu kesilapan tetapi memang sudah dirancang lebih awal.

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Hj Abd Taib Mahmud selaku Presiden PBB sedaya upaya untuk mencari jalan agar Dr. Leo Toyad dapat dicalonkan semula untuk penggal yang ke-8 walaupun menyedari semakin ramai pengundi di Parlimen Mukah telah jemu dengan kepimpinan bekas Menteri Pelancongan Malaysia itu.

Keputusan yang telah dibuat oleh Pengerusi BN Datuk Seri Mohd. Najib untuk mencalonkan semula Dr. Leo pada PRU13 ini memang telah dijangka awal sebab tanpa dipengaruhi oleh pihak atasan dalam parti PBB mungkin Datuk Seri Mohd Najib masih ada calon lain sebagai pilihan untuk dicalonkan mewakili BN di Parlimen Mukah pada pilihanraya kali ini.

Memang pihak luar memandang sepi atau remeh suara-suara yang menuntut pembaharuan dilakukan oleh BN khususnya di Parlimen Mukah yang sudah 32 tahun atau 7 penggal dikuasai Dr. Leo Toyad yang mana mereka mahu BN menampilkan seorang muka baru pada kali ini di samping merayu kepada penyandang supaya memberi laluan kepada calon yang lebih bertenaga dan berwibawa untuk membawa Parlimen Mukah setara dengan kawasan-kawasan lain di Malaysia.

Kalau BN sering menyeru kepada rakyat agar jangan pertikaikan mana-mana calon yang parti kemukakan sebab yang penting kata mereka adalah Barisan Nasional harus menang tetapi tidakkah terpikir oleh pemimpin-pemimpin BN bahawa calon-calon yang diletak untuk bertanding sekiranya mereka menang sudah tentulah mereka akan menjadi wakil rakyat di kawasannya tetapi bagaimana untuk tempoh 5 tahun ke hadapan adakah BN memberi jaminan bahawa rakyat dijamin setiap wakil rakyat mereka akan memberi khidmat secukupnya kepada kawasan serta rakyat yang mereka wakili.

Kebimbangan rakyat di Parlimen Mukah sebenarnya mudah untuk dibaca itupun jika pemimpin atasan BN mahu memahami kegelisahan yang dirasai oleh pengundi atau rakyat di Parlimen Mukah selepas berakhirnya pilihanraya parlimen. Rakyat lazimnya ditinggal terkapai-kapai dan tidak tahu hendak mengadu kepada siapa sedangkan wakil rakyat yang menang dipilih hilang entah ke mana. Hanya akan muncul apabila ada ura-ura pilihan raya semakin dekat.

Menolak penyandang sedia ada tidak bermakna rakyat atau pengundi di Parlimen Mukah turut menolak BN tetapi mereka hanya mahu wakil rakyat yang jelas sudah tidak memberi perubahan kepada kawasan perlu diganti dengan muka baru. Bagi pengundi di Parlimen Mukah mudah saja, jika baru sepenggal atau dua penggal sebagai wakil rakyat tetapi telah menunjukkan prestasi yang cukup bagus, rajin turun padang berjumpa para pengundi dan bukan hanya pada waktu pilihanraya.

Begitu juga walau sudah banyak kali dilantik sebagai wakil rakyat sekira nyata mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan juga kawasan sudah tentu tiada alasan bagi rakyat di Parlimen Mukah untuk menolak namun jika berlaku sebaliknya pengundi setempat sudah pasti berhak untuk mengatakan tidak kepada bakal calon yang dipilih biarpun oleh parti sendiri sebab yang terpaksa menanggung sengsara selama 5 tahun nanti akibat memilih wakil rakyat sedemikian adalah rakyat dan bukannya mereka yang menentukan calon parti.

Khamis, April 11, 2013

PRU13: PKR ikrar akan patahkan setiap langkah DAP di utara Sarawak

Nampaknya hasrat DAP untuk meletakkan calon mereka bertanding di sebelah utara negeri Sarawak pada PRU13 ini terutamanya bagi kawasan Parlimen P219 Miri mungkin tidak akan terlaksana apabila pihak PKR Bahagian Miri yang diketuai oleh pengerusinya Dr. Micheal Teo Yu Kheng tetap berkeras mahu dirinya mewakili PKR menentang calon daripada Barisan Nasional di kerusi berkenaan.

Sebelum ini DAP telah menawarkan untuk meletak calon mereka iaitu Ketua Wanita DAP Cawangan Senadin Miri, Lim Su Kien untuk bertanding sebagai calon Pakatan Pembangkang melawan pihak BN tetapi mungkin terpaksa mengalah ataupun PKR perlu memberi laluan kepada DAP untuk kerusi berkenaan memandangkan kerusi Parlimen P218 Sibuti, P220 Baram dan P221 Limbang kesemuanya terletak di utara Sarawak telahpun dimuktamadkan untuk ditandingi oleh calon daripada PKR.

Tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, DAP serta PKR di Parlimen Miri apabila semalam Dr. Micheal Teo telah tampil dengan sebuah kenderaan yang baru dibeli dengan harga RM87,000 berupa pacuan empat roda khusus untuk tujuan kempen beliau kali ini dan secara tepatnya sebagai satu isyarat jelas kepada DAP bahawa PKR akan bertanding di kawasan tersebut dan DAP harus lupakan niat mereka.

Selasa, April 09, 2013

PRU13: Keputusan Papa Gomo menentang Anwar Ibrahim kurang tepat.

Secara peribadi saya berpendapat keputusan oleh aktivis blogger Papa Gomo untuk menentang Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak kira di mana saja Penasihat Umum PKR itu bertanding pada PRU13 nanti agak kurang tepat dan sedikit telah tersasar dari perjuangan asalnya sebagai seorang blogger hebat yang mesra kerajaan Barisan Nasional dan UMNO.

Jika dilihat dari sudut sokongan terbuka beliau selama ini terhadap BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib, saya merasakan seandainya hasrat Papa Gomo itu diteruskan juga dan tetap menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding mencabar Anwar Ibrahim pada hari penamaan calon itu nanti maka ianya tidak lagi setakat dilihat sebagai tindakan untuk menentang Ketua Pembangkang semata malahan turut menentang calon daripada Barisan Nasional juga.

Walaupun pada hakikatnya kita menjunjung semangat demokrasi di negara ini namun dalam keadaan yang tertentu sebaiknya kita wajar ambil pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan di mana apabila pihak yang kita sokong turun menentang pihak lawan seharusnya kita beri sokongan kepada mereka secara total tanpa ragu-ragu tetapi sekiranya kita juga turut bertanding, maka kita akan menjadi bimbang jika ini hanya akan membuat lebih banyak pecahan undi yang mungkin tidak menguntungkan Barisan Nasional.

Apa-apapun sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa menghargai amalan demokrasi yang semakin subur di negara ini, kita mungkin berharap agar ada pertimbangan yang bagus dan terbaik daripada Papa Gomo sebelum hari penamaan calon kelak dan bersama-samalah kita berikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional dalam menghadapi keangkuhan mereka dari kumpulan Pakatan Haram DAP, PKR dan juga PAS agar tiada perkara yang akan terlepas dari pandangan kita dalam mempertahankan perkara yang patut kita pertahankan.

Jumaat, April 05, 2013

PRU13: 2 calon PKR di utara Sarawak sudah sedia tikar terbang masing-masing

Jika berdasarkan kepada pengumuman awal yang belum rasmi lagi tentang bakal-bakal calon yang akan diletak oleh PKR Sarawak untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen di Sarawak, maka ini saja sudah cukup mendedahkan betapa PKR belum bersedia lagi dari segi menentukan kesesuaian antara bakal calon dengan kawasan Parlimen yang harus ditandingi.

Walaupun pada hakikatnya pengumuman mengenainya belum rasmi lagi tetapi besar kemungkinan senarai calon yang telah diumumkan awal untuk bertanding di kawasan yang tertentu itu akan dimuktamadkan juga akhirnya pada hari penamaan calon kelak sebab jika mereka mahu melakukan perubahan pada saat-saat akhir pasti akan melibatkan ketiga-tiga parti DAP dengan PAS dan ianya sudah tentu ini akan menimbul masalah lain pula.

Yang menariknya pada pengumuman itu apabila PKR menyebut bahawa ADUN N.70 Ba'Kelalan YB Baruk Bian yang juga Pengerusi PKR Sarawak akan mewakili parti itu untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional di kawasan Parlimen P.221 Limbang sementara bekas calon PKR yang pernah tewas di DUN Senadin pada Pilihan Raya Umum Sarawak ke-10 tahun 2011 lalu Dr. Micheal Teo Yu Keng pula telah disebut bakal bertanding di Parlimen P.218 Sibuti.

Persoalan mula timbul mengapa Baruk Bian bertanding di Parlimen Limbang tetapi tidak bertanding di kawasan Parlimen P.222 Lawas? Kenapa beliau memilih Limbang? Kenapa Baruk Bian tidak mahu bertanding di kawasan kelahiran beliau sendiri iaitu Lawas?

Bukankah sebelum ini beliau sering muncul dalam akhbar-akhbar kononnya untuk memperjuangkan masyarakat pendalaman di pendalaman Lawas yang ditindas malah mahu kerajaan negeri dan pusat membatalkan beberapa projek seperti empangan dan juga jalanraya yang didakwanya akan merosak alam sekitar serta mengancam mata pencarian penduduk setempat.

Untuk rekod, Parlimen Lawas mengandungi dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu DUN N.70 Ba'Kelalan yang diwakili oleh Baruk Bian sendiri dan juga DUN N.71 Bukit Sari yang diwakili oleh YB Datuk Sri Hj Awg Tengah bin Hj Awg Ali Hassan seorang Menteri kabinet kerajaan Sarawak sementara itu Parlimen Limbang pula juga mempunyai dua kawasan DUN iaitu DUN N.68 Bukit Kota yang diwakili oleh YB Dr. Abdul Rahman Ismail dari BN dan DUN N.69 Batu Danau yang diwakili YB Paulus Gumbang juga dari BN.

Pada Pilihan Raya Umum Sarawak 2011 itu Datuk Sri  Awg Tengah Ali Hassan menang besar ke atas calon PKR Japar Suyut yang hanya mendapat undi sebanyak 955 apabila memperolehi majoriti 5,063 undi setelah dipilih oleh 6,018 pengundi DUN Bukit Sari sementara itu Baruk Bian pula yang mendapat 2,505 mengalahkan calon BN Willie Liau dengan majoriti 473 undi setelah lawannya memperolehi 2,032 undi.

Mungkin melihat kepada fakta ini menyebabkan Baruk Bian terpaksa memilih jalan selamat dengan bertarung di Parlimen Limbang walaupun tahu untuk mencapai kemenangan di kawasan tersebut amat sukar tetapi sekiranya kalah sudah pasti alasan mengapa tewas boleh diterima sebab beliau bukan berasal dari Limbang namun sekiranya beliau bertanding di Lawas dan jika ditakdirkan kalah kerana ditolak oleh kaumnya sendiri maka sudah tentu sangat sukar untuk memberi alasan mengapa kalah dan tidak diterima oleh masyarakatnya sendiri.

Berbalik kepada seorang lagi bakal calon PKR yang akan bertanding di Parlimen Sibuti, Dr. Micheal Teo. Percubaan beliau untuk berdiri sebagai calon PKR di kawasan Parlimen yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Pribumi atau Bumiputera seperti Kedayan, Melayu, Iban dan Melanau yang sememangnya adalah penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional secara tradisinya sejak dulu lagi.

Parlimen Sibuti juga mengandungi dua kawasan DUN iaitu DUN N.61 Bekenu yang diwakili oleh SPDP melalui YB Puan Rosey Yunus dan DUN N.62 Lambir dengan wakil rakyatnya YB Ripin Lamat daripada PBB. Kedua-dua DUN ini semasa Pilihan Raya Umum Sarawak mencatatkan rekod kemenangan yang besar menewaskan calon dari pembangkang.

Khamis, April 04, 2013

PRU13: BN Sarawak perlu tumpu 7 kerusi Parlimen majoriti Cina

Pada PRU13 2013 kali ini Barisan Nasional Sarawak masih lagi dapat bertahan seperti pada PRU12 2008 lalu namun tidak menolak sebarang kemungkinan akan berlaku jika terdapat beberapa lagi kerusi parlimen sedia ada gagal dipertahankan dan untuk mendapatkan satu dua kerusi yang terlepas sebelum ini memang agak sukar.

Saya lebih menumpu kepada 7 kawasan Parlimen yang majoriti pengundinya terdiri daripada masyarakat Cina dan sebilangan kecil adalah pengundi daripada masyarakat Bumiputera. Justeru itu, untuk menawan hati pengundi kaum Cina maka kerajaan BN kena lipatgandakan usaha agar apa yang cuba disampaikan oleh pihak kerajaan dapat difahami oleh masyarakat berkenaan.

Berbalik kepada tahap sokongan kaum Cina khususnya di kawasan-kawasan Parlimen yang majoriti pengundi adalah masyarakat berkenaan yang sebelum ini pernah dikuasai oleh BN namun jatuh ke tangan pembangkang pada PRU12 pada tahun 2008, maka saya merujuk semula kepada keputusan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang ke-10 pada 16 April 2010 iaitu lebih kurang dua tahun yang lalu.

Bermula dari Parlimen P.195 Bandar Kuching yang diwakili oleh Yang Berhormat Chong Chien Jen daripada DAP. Parlimen ini mengandungi dua kawasan DUN iaitu DUN N.09 Padungan dan jugan DUN N.10 Pending. Untuk rekod, DUN Padungan dimenangi oleh YB Wong King Wei dari DAP yang mendapat 11,957 undi menewaskan calon BN Sim Kiang Chiok yang hanya mendapat 4,073 undi rakyat. Manakala di DUN Pending calon DAP YB Violet Yong juga menang dengan mendapat 14,375 undi mengalahkan calon BN Prof Dr Sim Kui Hian yang hanya memperolehi 6,780 undi.

Bagi Parlimen P.196 Stampin yang diwakili oleh YB Datuk Yong Khoon Seng daripada BN. Parlimen Stampin mempunyai tiga kerusi DUN yang kesemuanya dikuasai pembangkang. N.11 Batu Lintang misalnya diwakili oleh YB See Chee How dari PKR yang mendapat undi sebanyak 13,235 menewaskan calon BN Sin Hua Tong yang hanya mendapat 4,854 undi selain seorang calon Bebas Soo Lina dengan 290 undi. Kerusi N.12 Kota Sentosa dimenangi oleh YB Chong Chieng Jen dari DAP yang mendapat 12,594 mengalah calon BN Datuk Alfred Yap yang hanya mendapat 7,770 undi dan bagi DUN N.13 Batu Kawah yang diwakili oleh YB Christina Chew Wang See juga dari DAP yang memperolehi 7,439 undi dengan mengalahkan calon BN Tan Joo Phoi yang mendapat 6,896.

Seterusnya Parlimen P.208 Sarikei. Parlimen ini juga diwakili BN melalui YB Ding Koung Hii daripada parti SUPP. Namun dua kawasan DUN ini juga diwakili oleh DAP menerusi wakil rakyatnya YB Dr Wong Hua Seh yang mendapat 7,900 undi berbanding calon BN Datuk David Teng Lung Chi yang memungut 5,221 undi bagi kerusi DUN N.39 Repok. Sementara kerusi DUN N,40 Meradong pula, calon BN Ling Kie King mendapat 4,197 undi dikalahkan oleh calon DAP YB yang berjaya meraih undi sebanyak 6,884.

Di Sibu pula, Parlimen P.211 Lanang juga mempunyai dua kerusi DUN iaitu N.45 Bukit Assek serta DUN N.46 Dudong. DUN Bukit Assek diwaliki oleh YB Wong Ho Leng daripada DAP yang mendapat 13,527 undi menewaskan calon BN Chieng Huong Toon yang dipilih 4,700 pengundi. Manakala DUN N.46 Dudong pula diwakili oleh YB Yap Hoi Liong daripada DAP yang telah mendapat 9,649 undi mengalahkan calon BN Datuk Tiong Thai King yang mendapat sebanyak 9,332 undi.

Sementara itu Parlimen P.212 Sibu yang mengadungi tiga kawasan DUN iaitu DUN N.47 Bawang Assan, N.48 Pelawan dan N.49 Nangka tetapi satu daripada DUN ini iaitu DUN Pelawan dimiliki oleh DAP melalui calonnya YB David Wong Kee Woan yang mendapat 13,318 undi menewasan calon BN yang mendapat undi sebanyak 6,927. Cuma di DUN Bawang Assan yang diwakili oleh BN melalui wakilnya YB Datuk Sri Dr Wong Soon Koh serta di DUN Nangka YB Dr Annuar Rapaee juga daripada BN.

Bagi Parlimen P.217 Bintulu pula. Parlimen ini juga memiliki tiga kerusi DUN iaitu DUN N.58 Jepak yang diwakili oleh YB Datuk Talib Zulpilip dari BN yang menang 5.470 undi setelah menewaskan dua pencabar iaitu seorang daripada PKR dan seorang daripada Bebas yang masing-masing mendapat PKR 2,342 dan Bebas 433 undi saja. DUN N.59 Kidurong pula diwakili oleh DAP melalui YB Chiew Chiu Sing dengan memperolehi 12,493 undi yang menafikan calon BN Henry Ling Koung Meng apabila hanya mendapat 5,563 undi. Dan bagi kerusi DUN N.60 Kemena yang diwakili pemimpin BN Yang Berhormat Dr. Stephen Rundi setelah mendapat undi sebanyak 6,369 mengalahkan calon PKR Bernard Binar Banyang yang hanya memperolehi 3.020 undi di samping serang calon Bebas Liam Rengga yang mendapat sokongan 197 orang pengundi.

Manakala yang terakhir di utara Sarawak iaitu Parlimen Miri. Parlimen P.219 Miri mempunyai tiga kawasan DUN iaitu DUN N.63 Piasau, N.64 Pujut dan N.65 Senadin. Pada Pilihan Raya Umum negeri Sarawak lepas, DUN Piasau telah jatuh ke tangan DAP setelah calonnya YB Ling Sie Kiong yang mendapat undi 5,998 berjaya menewaskan penyandang Tan Sri Dr George Chan yang mendapat 4,408 undi. Bagi DUN Pujut pula, penyandang sedia ada Andy Chia yang mendapat 5,271 undi kalah kepada calon DAP YB Fong Pau Teck yang memperolehi 9,120 undi. Cuma DUN Senadin dalam Parlimen Miri saja yang berjaya bertahan dengan majoriti paling kecil apabila penyandang YB Datuk Lee Kim Shin mendapat 7.334 undi gagal dikalahkan oleh pencabar daripada PKR Dr. Micheal Teo Yu Keng yang mendapat 7,276 undi hanya dipisahkan 58 undi majoriti.

Jika dibuat penilaian berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Sarawak ke-10 lalu, kita tidak dapat menolak kemungkinan berlaku bahawa keputusan ini juga bakal dilihat mempengaruhi undi rakyat pada PRU13 nanti sekiranya Barisan Nasional negeri mahupun pusat tidak bersungguh-sungguh dalam mengekalkan kuasa sedia ada di samping mendapatkan kembali dua kerusi Parlimen yang sudah terlepas ke tangan DAP sebelum ini iaitu Parlimen Bandar Kuching dan juga Parlimen Bandar Sibu.

Di ketujuh-tujuh kawasan Parlimen ini jentera pilihan raya BN perlu bekerja lebih keras untuk mendapat semula keyakinan serta kepercayaan pengundi kerana seperti yang sudah kita sedia maklum bahawa masyarakat Cina kini terutama yang tinggal di kawasan-kawasan bandar sebenar telah mempunyai pikiran yang baru yang tidak lagi terikat dengan budaya "orang berbudi kita merasa, orang memberi kita merasa" kerana generasi mereka kini dilihat lebih mementingkan diri dan sudah mulai lupa tentang tanggungjawab terhadap masyarakat secara keseluruhannya.

Dan disebabkan keselesaan hidup juga telah menyebabkan golongan masyarakat bandar ini tidak peduli sangat tentang kerajaan mana yang harus menang untuk memerintah kerana mereka sudah biasa hidup senang tidak akan menyedarkan mereka tentang kepayahan hidup komuniti lain yang ada di sekitarnya.

Arkib Blog