
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 lalu Barisan Nasional Negeri yang dianggotai oleh 4 buah parti komponen memenangi 55 kerusi DUN daripada 71 kerusi yang dipertandingkan di mana parti pembangkang yang terdiri dari DAP 12 kerusi, PKR 3 kerusi dan Bebas 1 kerusi berjaya menambah kerusi menjadikan 16 kerusi dikuasai mereka namun BN Negeri masih mengekalkan penguasaan 2/3 majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri.
Namun sesudah tujuh bulan berlalu iaitu sebaik sahaja selesainya proses pilihan raya negeri, kemelut serta krisis dalaman dua buah parti komponen BN Negeri iaitu SUPP dan SPDP yang sememangnya telahpun berlaku sejak sebelum berlangsungnya pilihanraya negeri lagi terus berlarutan tanpa ada usaha yang konkrit untuk menyelamatkan keadaan diambil oleh pihak pengurusan parti masing-masing yang akhirnya mewujudkan dua team dalam SUPP iaitu Kumpulan Wong (Datuk Sri Wong Soon Koh dan Kumpulan Chin (Datuk Seri Peter Chin Fah Kui).
Keadaan menjadi lebih buruk lagi berikutan tindakan Kumpulan Wong yang disertai oleh Ahli Parlimen Lanang YB Datuk Tiong Thai King, ADUN Opar YB Ranum Mina, ADUN Simanggang YB Datuk Francis Hardin Hollis, ADUN Senadin YB Datuk Lee Kim Shin, ADUN Bengoh YB Dr. Jerip Susil dan ADUN Engkelili YB Dr. Johnical Rayong Ngipa telah memulaukan majlis Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali SUPP ke-22 di Kuching pada 10 Disember 2011 lalu yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Sementera kemelut dalaman parti yang berterusan melanda sebuah lagi parti komponen BN Sarawak iaitu SPDP selepas tamatnya pilihanraya negeri bukan saja gagal untuk ditangani dengan bijak oleh Presiden parti YB Tan Sri William Mawan malah ianya telah mengundang berbagai krisis baru terhadap parti dan keadaan menjadi semakin rumit apabila 3 Anggota Dewan Undangan Negeri dari parti berkenaan iaitu YB Datuk Peter Nansian Ngusie, YB Puan Rosey Yunus, YB Paulus Ngumbang serta seorang Wakil Rakyat Parlimen bagi kawasan Mas Gading YB Datuk Dr.Tiki Lafe telah dipecat dari parti menjadikan keempat-empat mereka ini kini sebagai wakil rakyat Bebas iaitu tidak berparti.
Ini semua berlaku terhadap SPDP selepas parti tersebut memecat Naib Presidennya YB Datuk Sylvester Entrie Muran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan DUN Marudi pada Mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP yang dipengerusikan oleh Tan Sri William Mawan dalam bulan November 2011 lalu. Dan bagaimana pula jika SUPP juga akan mengambil tindakan serupa memecat kesemua wakil rakyatnya yang bersekongkol dengan Datuk Sri Wong Soon Koh menentang presiden parti?
Jika pada asasnya jumlah kesemua kerusi bagi BN Sarawak kini sudahpun berkurangan daripada 55 kerusi sudah tinggal 51 kerusi iaitu setelah ditolak empat pemimpin SPDP yang dipecat dan andaikata SUPP juga turut memecat 7 wakil rakyatnya termasuk seorang Ahli Parlimen daripada parti maka bermakna BN Negeri semakin lemah apabila mereka hanya menguasai 44 kerusi dalam DUN Sarawak. Oleh itu, dimanakah fungsi Pengerusi Barisan Nasional Sarawak iaitu YAB Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud dalam menjernihkan keadaan yang sedang melanda dua parti dalam komponen BN Negeri? Takkanlah nak biarkan saja keadaan menjadi semakin bercelaru serta seolah-olah tidak terpimpin...