Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Memaparkan catatan dengan label kalimah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kalimah. Papar semua catatan

Rabu, Januari 13, 2010

Sedikit penjelasan berhubung artikel terbaru Yanggambi

Gambar diatas diambil dari blog rakan iaitu milik blogger Yanggambi. Terima kasih Yanggambi kerana telah menyiarkan gambar ini diblog anda. Adakah gambar ini menggambarkan perkara sebenar sebagaimana yang dijelaskan atau hanya sebagai hiasan semata namun semuanya walaupun perlukan jawapan tetapi saya tidak cuba untuk mempertikaikannya dan biarlah saja kita berteka-teki sesama kita mengenainya.

Sebenarnya saya sangat terkejut melihat pendedahan oleh saudara Yanggambi mengenai perkembangan yang terbaru membabitkan amalan yang dilakukan oleh pihak Protestant dalam Kristian yang jika menurut apa yang ditulis telah lama berlaku di negara jiran tetangga kita iaitu Indonesia sebuah negara yang paling ramai rakyatnya beragama Islam di dunia berbanding dengan negara lain.

Disini cuma saya nak menjelaskan sedikit bahawa apa yang telah dihuraikan oleh saudara Yanggambi berkenaan dengan amalan yang dilakukan oleh penganut Kristian di wilayah tertentu di Indonesia itu sesetengah daripadanya langsung tidak ada dalam ajaran Roman Katolik.

Namun apa yang dikatakan sebagai amalan atau ibadat yang melebih-lebih itu saya rasa adalah tidak elok untuk disentuh dalam keadaan yang sedang kita hadapi sekarang cuma apa yang saya harap agar semua pihak harus peka serta jujur dengan hakikat yang kita sendiri memang tahu. Semua tahu bahawa agama Kristian telah terlebih dulu ada sebelum agama Islam wujud dan orang Kristian sendiri juga memang tahu bahawa Roman Katolik adalah mazhab yang pertama dalam agama Kristian.

Jadi saya tidak mahu terlalu memperkatakan sangat benda-benda macam ini sebab ramai lagi orang diluar sana yang lebih arif dan tahu mengenainya. Dan saya sendiri juga selalu ingat bahawa tiada perkara lain yang lebih penting daripada kita mampu sekiranya untuk turut mempertahankan kedaulatan negara kita dari terus diancam oleh pihak luar dan juga amat penting bagi kita untuk terus memelihara keamanan negara serta menjaga nilai-nilai perpaduan kaum serta keharmonian beragama di Malaysia ini.

Mengenai amalan berpuasa itu ingin saya jelaskan bahawa amalan berpuasa selama 40 hari itu memang dituntut dalam ajaran Roman Katolik kepada penganutnya bagi memperingati kebangkitan Yesus Kristus dari alam kubur selepas 40 hari di salibkan.

Setiap hari Jumaat pula semua penganut Roman Katolik dituntut untuk tidak memakan sebarang daging bagi menghormati di mana hari penyaliban Yesus Kristus berlaku pada hari Jumaat.

Mengenai sembahyang yang menyerupai sembahyang 5 waktu bagi umat Islam yang dilakukan oleh penganut Kristian di Indonesia itu, sebenarnya perkara itu langsung tidak ada dalam ibadat yang diamalkan oleh Roman Katolik.

Dalam Roman Katolik selain Missa Kudus hari Ahad hanya ada sembahyang atau doa Rosary yang menggunakan rantai yang mengandungi 59 butir batu Rosary yang kegunaan punya fungsi tersendiri dan amalan ini kebiasaannya hanya dilakukan pada waktu malam. Doa adalah untuk 15 peristiwa penting dalam Kristian iaitu sejak dari Bonda Maria mengandung Yesus sehinggalah peristiwa-peristiwa yang seterusnya. Doa pada malam Isnin dan Khamis bagi 5 peristiwa gembira manakala doa pada malam Selasa dan Jumaat untuk 5 peristiwa sengsara dan doa pada malam Ahad, Rabu serta Sabtu untuk 5 peristiwa sempurna.

Oleh itu, untuk mengaitkan semua ajaran lain dengan apa yang sedang berlaku dalam negara kini selain daripada Katolik yang sekarang nyata telah terbabit secara langsung dengan pergolakkan hubungan antara agama di Malaysia yang berpunca daripada kedegilan pihak Herald Catholic untuk terus menggunakan kalimah ALLAH didalam majalah terbitan mereka, saya berpandangan adalah langkah yang tidak baik dan yang pasti ianya sedikitpun tidak akan membantu untuk mengendurkan ketegangan yang sedia ada malah mungkin akan mewujudkan masalah lain pula.

Dalam apa keadaan sekalipun, semua pihak harus peka dan berhati-hati dengan apa yang cuba disampaikan agar ianya kelak tidak menambah lagi kerisauan dan mungkin kelukaan hati tak kira pada sesiapapun juga dan sama-samalah kita menteneramkan keadaan ini demi apa yang kita inginkan iaitu apa yang disebut sebagai kedamaian, kemakmuran, keamanan, kesejahteraan untuk Malaysia.

Dalam isu ini kedua-dua pihak yang bertelagah hendaklah menyelesaikan segera punca perbalahan dan tidak perlu untuk mana-mana pihak menyentuh perkara lain seperti amalan dan sebagainya dalam agama masing-masing. Orang Kristian harus memahami serta menghormati orang Islam dan begitu juga sebaliknya. Kita harus saling hormat-menghormati dan kita mesti sedar bahawa kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang ada dalam negara kita itulah yang sebenarnya kekuatan bagi Malaysia maka jagalah ia sebaik-baiknya.

Jumaat, Januari 08, 2010

Gereja di bakar ~ orang Kristian Malaysia jangan bertindakbalas

Apa yang dikhuatiri saya selaku rakyat biasa selama ini tentang hubungan kaum dan agama di negara ini kini seolah-olah semakin menuju kearah yang sangat sukar. Pembentukan negara Malaysia, kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan negara yang dikecapi hasil usaha pemimpin Malaysia yang terdahulu langsung tidak dihargai oleh segelintir generasi berbagai kaum di negara ini.

Sepatutnya apabila negara Malaysia telah memasuki usia kemerdekaannya melebihi 52 tahun iaitu satu usia yang sudah matang, maka sewajarnya rakyat yang terdiri daripada berbilang bangsa di negara ini juga sudah boleh menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan diantara satu kaum dengan kaum yang lain.

Tetapi malang sekali apabila keadaan itu tidak terjadi malah lebih teruk lagi apabila terdapat sesetengah mereka yang bergelar sebagai pemimpin seringkali memainkan sentimen-sentimen sensitif yang sepatutnya harus dihindari daripada menyebabkan ketidakselesaan dikalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Insiden membakar 3 Gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi sedikit sebanyak telah melonggarkan ikatan yang telah terjalin walaupun tidak semesra mana selama ini diantara penganut Kristian dengan penganut agama lain dinegara ini mula semakin bergolak. Puncanya semua pihak sudah sedia maklum. Jika pihak minoriti memahami serta menghormati hak pihak majoriti di negara ini, saya percaya setiap perbalahan akan menjadi mudah untuk diselesaikan.

Berhubung dengan kejadian tersebut, adalah besar harapan saya agar rakan-rakan Kristian saya di Malaysia bertenang dan tidak usah bertindakbalas. Serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengawal keadaan. Yang penting jangan menuduh mana pihak yang melakukan perkara itu sehingga pihak polis berjaya mengesan mereka yang bertanggungjawab.

Kita tidak boleh menuduh sebarangan kerana dalam keadaan yang bercelaru saat ini segala kemungkinan pasti akan berlaku dan mungkin juga ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan didalam situasi berlaku seperti sekarang untuk melakukannya.

Beri kerjasama kepada pihak berkuasa serta sentiasa patuh kepada seruan kerajaan supaya kita sama-sama dengan masyarakat lain di Malaysia untuk memelihara keamanan demi kesejahteraan kita semua.

Kepada ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Rev. Father Murphy Parkiam saya sebagai sebahagian daripada penganut Katolik di negara ini sangat berharap agar beliau boleh kembali memikir serta mengkaji semula apa yang sedang beliau serta pihak Catholic Herald Tribune perjuangkan di Mahkamah ketika ini demi perpaduan bangsa-bangsa di negara ini. Terima kasih.

Selasa, Januari 05, 2010

Gugurkan 'Kalimah ALLAH' dalam ajaran Kristian !

Salam sejahtera semua !

Isu yang masih hangat ketika ini di negara kita iaitu penggunaan Kalimah ALLAH oleh akhbar Herald Catholic. Bagi saya isu ini tidak sepatutnya dibawa sehingga sampai ke Mahkamah. Sebenarnya saya sangat kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Datuk Lau Bee Lan.

Apabila sesuatu perkara yang pada dasar hanya boleh diselesaikan tanpa campurtangan pihak Mahkamah tetapi terpaksa dilakukan, maka beginilah jadinya. Sebagai rakyat Malaysia saya sangat menghargai perpaduan kaum yang sedia wujud di negara kita dan kita semua seharusnya menjaga agar keharmonian antara kaum yang menganuti berbagai agama dapat dipertahankan.

Pihak Gereja Katolik seluruh Malaysia sepatutnya turut berperanan didalam menjaga serta memelihara perpaduan bangsa yang ada di negara ini dengan lebih memahami sesuatu yang sensitif bagi orang yang bukan beragama Kristian. Mereka juga harus tahu bahawa perkataan atau Kalimah ALLAH yang digunakan didalam apa jua amal ibadat orang Kristian di negara ini adalah di ambil dari Kitab Injil yang diterbitkan dalam Bahasa Indonesia.

Kalimah ALLAH sebenarnya hanya terdapat didalam kitab Injil berbahasa Indonesia yang digunakan secara meluas oleh kaum Bumiputera Kristian di Sarawak dan mungkin juga di Sabah sejak dahulu lagi. Didalam Kitab Injil berbahasa Inggeris atau Bible atau dilain-lain negara perkataan ALLAH memang langsung tiada didapati. Didalam perkara ini penganut-penganut Kristian di Sarawak termasuk saya sangat keliru berkenaan perkembangan ini.

Orang Kristian harus jujur mengakui bahawa Kalimah ALLAH adalah hak mutlak orang Islam dan apa juga usaha untuk mempertahankan bahawa perkataan itu adalah milik bersama orang Kristian dan Islam adalah merupakan satu kesilapan. Jadi untuk memperbetulkan sebarang kesilapan agar ianya tidak berlarutan, maka sebaik-baiknya pihak Gereja mencari jalan damai sejajar dengan tuntutan agama Kristian juga yang sangat menitik berat soal kedamaian dan kesejahteraan.

Sebagai salah seorang daripada ratusan ribu penganut Roman Katolik di Malaysia ini, maka perlu juga rasanya untuk saya melontarkan serba sedikit pendapat mengenai perkara ini. Bagi saya, demi Malaysia, demi perpaduan kaum, keharmonian antara agama di negara kita, saya sangat berharap supaya pihak Gereja dapat menerima hakikat bahawa sebenarnya Kalimah ALLAH itu bukannya milik orang Kristian dan oleh itu saya menyeru agar perkataan itu ditiadakan didalam mana-mana ajaran Kristian di Malaysia ini.

Diharap juga rakan-rakan yang beragama Islam di negara ini supaya bertenang dan fahamlah bukan semua orang Kristian bersetuju dengan langkah yang telah diambil oleh pihak Herald Catholic itu. Sepatutnya pihak Herald Catholic tidak melibatkan pihak Mahkamah dalam isu ini sehingga jika kita lihat betul-betul ianya seolah-olah mereka cuba mempermainkan undang-undang di negara ini.

Arkib Blog