Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Selasa, Jun 30, 2009

PKR : Ada Apa Pada Nama ?

Bagi kebanyakan rakyat di negara ini yang masih belum mampu atau belum bersedia untuk berfikir secara rasional atau lebih tepat lagi secara matang, apabila mereka terdengar saja ada orang tertentu yang sering menyebut ungkapan "keadilan" pada setiap kali ceramah yang disampaikan baik semasa perhimpunan yang ada permit ataupun masa perhimpunan haram, kemungkinan lantas terbayang diminda mereka bahawa orang tersebut tentunya pejuang keadilan, berjuang demi keadilan untuk seluruh rakyat dan mencari keadilan untuk semua.

Namun pada hakikatnya, perkataan "keadilan" itu telah dilihat hanyalah sebagai satu bahan hiasan saja kepada perjuangan pihak tertentu iaitu semata-mata untuk menagih simpati dan sokongan daripada rakyat ataupun masyarakat dan tidak lebih dari itu.

Jika kita dapat menghuraikan secara umum dan lebih luas lagi maksud "keadilan" dan dibubuh lagi dengan perkataan rakyat disitu maka menjadi "keadilan rakyat", jadi maknanya ialah, perjuangan itu sifatnya adalah menyeluruh dan tidak terhad kepada kepada orang tertentu sahaja.

Menyentuh berkenaan dengan penubuhan awal Parti KeADILan Rakyat, kita semua tahu dan sememangnya telahpun sedia maklum bahawa parti itu diwujudkan kononnya untuk mencari, memberi dan mendapatkan "keadilan" bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO juga dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Setelah lebih dari sepuluh tahun parti itu dibentuk dan sejak dari itulah PKR telah mula berjaya mempengaruhi rakyat dengan berbagai cerita dan propaganda yang dibawa dengan tujuan untuk terus mendapat kepercayaan daripada rakyat.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa jika diamati betul-betul atau dilihat dengan lebih mendalam lagi, ternyata tindakan serta pendekatan yang selalu digunakan oleh Parti KeADILan Rakyat yang diterajui oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu semasa berdepan dengan sesuatu perkara sebenarnya langsung tidak menggambarkan maksud sebenar disebalik perkataan "KeADILan" yang digunakan pada parti itu.

Kita juga boleh mengambil banyak contoh dari setiap peristiwa ataupun kejadian yang timbul yang disebabkan oleh tindakan PKR untuk diteliti.

Misalnya, kita suatu ketika pernah diletakkan dalam keadaan yang serba mencemaskan apabila Penasihat PKR Datuk Seri Anwar telah mencanangkan ke seluruh negara bahawa PKR, DAP dan PAS yang bergabung didalam Pakatan Pembangkang akan mengambil-alih pentadbiran negara daripada kerajaan Barisan Nasional tepat pada 16hb. September 2008 dengan penyertaan seramai lebih kurang 30 orang ahli parlimen BN kedalam Pakatan Pembangkang.

Apakah kita mahu mengakui bahawa usaha Pakatan Pembangkang khususnya PKR seperti itu sebagai "adil" untuk rakyat atau adil kepada kerajaan BN sebagai kerajaan ? Jawapannya adalah tentu tidak. Ini kerana, jika mereka benar-benar mempunyai keazaman untuk menegakkan "keadilan" sebagaimana yang selalu mereka laungkan, maka mereka juga haruslah bersikap lebih adil dengan menghormati keputusan rakyat.

Dalam banyak hal kita dapati PKR sering bertindak tidak adil kepada pihak-pihak lain yang mana apabila dirasakan ada sesuatu keputusan yang tidak menyebelahi mereka walaupun pada dasarnya mereka mesti akui serta tahu bahawa "keadilan" juga harus diberikan kepada pihak lain.

Contohnya dengan apa yang sedang berlaku sekarang, iaitu berhubung dengan kes "liwat" yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar di mahkamah. Untuk kes ini, kita juga dapat lihat dalam pada Anwar sendiri untuk mendapatkan "keadilan" dari pihak mahkamah, namun dalam waktu itu juga kita dapati PKR serta Anwar sendiri seolah-olah tidak mahu memberi ruang kepada saudara Saiful Bukhari Azlan untuk mendapatkan "keadilan" bagi dirinya apabila Anwar seringkali membuat berbagai-bagai permohonan dan tuntutan kepada mahkamah dengan tujuan supaya mahkamah menggugurkan kes itu.

Apabila diteliti dengan terpeinci akan cara dan pendekatan yang telah diambil oleh PKR mahupun Anwar serta para peguamnya berkaitan dengan kes liwat itu, maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa tindakan seperti itu adalah satu usaha nekad untuk menafikan hak pihak lain juga untuk mendapat serta memberikan "keadilan", ini kerana jika dilihat dari sudut yang lebih luas lagi, usaha mengemukakan bermacam-macam permohonan dimahkamah oleh Anwar serta PKR juga boleh dianggap sebagai telah tidak memberikan suasana yang "adil" kepada pihak mahkamah dalam menentukan keputusan secara selesa, bebas, adil dan saksama.

Oleh itu, apakah masih perlu lagi untuk parti yang diasaskan pada mulanya hanya untuk memperjuangkan ~keadilan~ bagi individu yang kononnya dianiaya satu ketika dulu, harus mengekalkan perkataan "keadilan" untuk parti itu ?.

Jika diukur dari perkembangan atau pergolakan yang sering berlaku didalam parti itu sejak kebelakangan ini berikutan dengan tindakan yang dibuat oleh pemimpin PKR serta ahli-ahlinya sendiri, jelas sekali bahawa perkataan "keadilan" itu kini sudah tidak lagi sesuai untuk digunakan pada nama parti itu kerana ianya telah terbukti mengelirukan pikiran rakyat dengan perjuangannya yang sebenar.

Arkib Blog