Kerajaan negeri Sarawak yang baru di bawah teraju YAB Tan Sri Hj. Adenan Hj. Satem dilihat mula mengambil langkah yang lebih terbuka dan berlembut dengan pihak pembangkang, ini berdasarkan kepada perkembangan terkini keadaan politik semasa di negeri ini di mana pihak kerajaan dan pembangkang kelihatan sedang berusaha menjalinkan hubungan mesra sesama mereka dan ini ternyata berbeza dengan cara dan juga corak kepimpinan sebelum ini yang agak tegas serta lebih berprinsip selaras dengan kedudukkannya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah.
Namun dalam suasana yang sedemikian rupa, pihak kerajaan negeri diharap tidak menaruh keyakinan terlalu tinggi bahawa pembangkang akan mengubah pendirian mereka terhadap dasar kerajaan dari membangkang sebelum ini kepada menyokong kerana kita perlu sedar dan sentiasa ingat bahawa matlamat asal pembangkang yang bergabung di dalam Pakatan DAP, PKR dan PAS adalah untuk menawan Bumi Kenyalang serta merampas kerajaan negeri Sarawak daripada Barisan Nasional.
Justeru itu, pemimpin kerajaan BN negeri diharaplah agar sedar bahawa prinsip perjuangan pembangkang ialah "matlamat menghalalkan cara." Mereka sanggup lakukan apa saja demi untuk mendapatkan kuasa memerintah negeri Sarawak. Jadi pemimpin BN Sarawak janganlah mudah leka dan terbuai dengan muslihat tersembunyi disebalik pujian misteri mereka ke atas kepimpinan baru kerajaan negeri Sarawak.
Sebagai rakyat Sarawak yang sayangkan Malaysia ini, kita tidak mahulah melihat kerajaan BN negeri seolah-olah mula cuba hendak menekan kerajaan BN Pusat dengan menggunakan berbagai modal yang sebelum ini sememangnya kita tahu telah menjadi alat kepada pembangkang untuk meracuni pemikiran rakyat Sarawak agar bangkit membenci kerajaan persekutuan.
Bagi saya, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya kerajaan negeri hendak menuntut perkara-perkara tertentu daripada kerajaan pusat tentang apa yang patut dan wajar bagi negeri dan rakyat Sarawak tetapi biarlah ianya dibuat atau dilakukan atas kehendak kerajaan negeri itu sendiri demi rakyat tanpa dilihat terlalu bergantung di atas desakan pihak pembangkang.