Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Rabu, April 29, 2009

Salam Takziah kepada KM Sarawak dan Keluarga

Dengan perasaan sedih dan dukacita saya merakamkan ucapan Takziah kepada Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Pehin Sri Tan Sri Datuk Patinggi Haji Abdul Taib bin Mahmud serta seisi keluarga beliau di atas kembalinya Ke Rahmatullah isteri beliau iaitu Allahyarhamah Puan Sri Laila Taib pada jam 3.45 petang tadi, 29 April 2009 di kediaman mereka di Demak Jaya di Kuching. Semoga Rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.Amin.

Sarawak telah kehilangan seorang insan yang begitu senantiasa bersetia dengan Ketua Menteri melalui setiap saat suka dan duka bersama dalam menempuh onak dan ranjau dalam perjuangan untuk membela serta membangunkan nasib semua masyarakat di Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

Semoga Y.A.B. Ketua Menteri serta keluarga tabah dan sabar dalam menghadapi situasi sebegini.

Selasa, April 28, 2009

Kenali Sarawak Bumi Kenyalang.

Sarawak adalah negeri yang terbesar sekali di dalam Malaysia dan saiznya menyamai keluasan Tanah di Semenanjung Malaysia.

Sarawak telah mencapai kemerdekaan penuh pada 16 September 1963 dan setelah itu sama-sama bergabung dengan Singapura, Sabah dan Malaya(Semenanjung Malaysia) untuk menubuh negara Persekutuan Malaysia.

Sarawak telah memilih burung Kenyalang dari spesis Enggang sebagai lambang negeri ini kerana terdapat begitu banyak sekali burung dari jenis itu wujud di dalam wilayah negeri ini berbanding dengan negeri lain di Malaysia.

Sarawak terdiri daripada 11 bahagian iaitu bahagian pertama Kuching, kedua Sri Aman, ketiga Sibu, keempat Miri, kelima Limbang, keenam Sarikei, ketujuh Kapit, kelapan Bintulu, kesembilan Kota Samarahan, kesepuluh Mukah dan kesebelas Betong.

Sarawak telah mempunyai tiga buah bandaraya iaitu Bandaraya Kuching Utara, Bandaraya Kuching Selatan dan Bandaraya Miri.

Sarawak juga mempunyai sebuah Gua yang terbesar di dunia iaitu Gua Gunung Mulu dan telah diistyiharkan sebagai salah satu Taman Warisan Dunia.

Sarawak juga memiliki sebuah dataran tertinggi semulajadi yang unik dan terletak di Tanah Tinggi Bario yang dikenali sebagai Dataran Tinggi Kelabit.

Sarawak juga harus berbangga apabila satu ektnik daripada penduduknya telah dinobatkan sebagai salah satu etnik terbijak atau "genius" diantara tujuh etnik didunia yang iaitu etnik Kelabit.

Sarawak mempunyai sebuah sungai yang terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Rejang yang mana telah membentuk suatu lembah yang juga terluas di Malaysia.

Sarawak juga memiliki Hutan Hujan Tropika kedua terbesar dunia selepas Hutan Hujan Tropika di Amazon, Brazil.

Sarawak juga berkongsi sempadan darat dan laut lepas antarabangsa yang paling panjang iaitu darat dengan Indonesia dan laut lepas dengan Vietnam dan China.

Sarawak juga bakal muncul sebagai pembekal kuasa tenaga kepada negara-negara rantau Asean apabila Projek Mega Hydro Bakun siap kelak.

Sarawak juga negeri yang mempunyai paling banyak jambatan panjang dibina dengan bahan konkrit yang merentasi sungai-sungai terpenting di negeri ini seperti Jambatan Batang Kayan, Jambatan Satok dan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakob dalam bahagian Kucing. Jambatan Batang Lupar dalam bahagian Kota Samarahan. Jambatan Durin, Jambatan Lanang dan Jambatan Igan dalam bahagian Sibu. Jambatan keluli Mukah, Jambatan Oya, Jambatan Balingian(dalam pembinaan) dan Jambatan Dalat(dalam pembinaan) dalam bahagian Mukah. Jambatan Tatau, Jambatan Berkembar Kemena dan Jambatan Tubau dalam bahagian Bintulu. Jambatan Suai, Jambatai Sibuti dan Jambatan Asean Kuala Baram dalam bahagian Miri. Jambatan Terusan(dalam perancangan) dalam daerah Lawas.

Sarawak juga mempunyai Lebuhraya Persekutuan(Pan Borneo) terpanjang di Malaysia yang bermula dari bahagian Kuching sehingga ke Miri sampai ke sempadan Negara Brunei Darussalam.

Sarawak merupakan negeri pengeluar gas cecair asli, pengeluar arang batu, aluminium, kelapa sawit, pengeksport papan lapis, kayu balak bergeraji dan pembekal barangan yang berasaskan kayu.

Sarawak juga merupakan pengeluar serta pembekal hasil produk "sagu atau rumbia" utama dan terbesar dunia. Sarawak juga telah mewujudkan serta membuka ladang rumbia atau sagu secara besar-besaran yang bersistematik di bahagian Mukah Sarawak. Dan Sarawak juga telah mempunyai kilang-kilang untuk memproses tepung sagu yang kebanyakkannya terdapat dalam daerah Dalat dan Mukah.

Sarawak juga adalah pengeluar serta pembekal lada hitam dan putih terbesar dunia dan secara tidak langsung telah memperkenalkan Sarawak di mata dunia.

Sarawak juga terkenal dengan buaya-buaya ganasnya yang saban tahun kita sering mendengar ada sahaja orang akan jadi mangsanya. Walau apapun, itu bukan lah sebagai batu penghalang kepada rakyat luar ingin datang untuk mengenali warna-warni negeri Sarawak dengan lebih dekat lagi.

Sarawak mempunyai banyak "tasik-tasik semulajadi" atau dalam bahasa tempatan "logan" yang punya potensi untuk dijadikan sebagai daya tarikan kepada pelancong luar untuk berkunjung jika di usahakan sesuatu. Tasik yang telah sedia ada seperti Tasik Biru di Bau, Kuching. Tasik semulajadi seperti "Logan Tarikan, Logan Bunut yang punya keluasan sangat luas dan lain-lain lagi jika dibuat sesuatu kepadanya tidak mustahil akan dapat menarik para pelancong untuk datang.

Sarawak juga mempunyai seorang Ketua Menteri yang paling lama memerintah, jika sehingga ke akhir penggal pada pilihanraya umum Sarawak pada tahun 2012 maka genaplah 30 tahun beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak. Dasar "Politik Pembangunan" yang di bawa oleh beliau telah berjaya membangunkan taraf kehidupan rakyat Sarawak dan itulah diantara sebab mengapa kepimpinan beliau sentiasa terus diterima baik oleh majoriti rakyat Sarawak.

Lebih menakjubkan lagi ialah Sarawak adalah satu-satunya negeri di negara ini dan juga mungkin di dunia apabila di dalamnya wujud sebuah negara anggota Asean, anggota OIC, anggota NAM, anggota PBB dan anggota Komanwel iaitu Negara Brunei Darussalam. Negara Brunei terbahagi kepada dua wilayah didalam negeri Sarawak iaitu wilayah Belait yang terletak diantara Miri dengan Limbang serta wilayah Seria yang menempatkan pusat pentadbiran negara itu iaitu Bandar Seri Begawan terletak diantara Limbang dengan Lawas. Tanpa disedari keadaan itu telah membentuk seperti satu huruf "W".

Sarawak mempunyai penduduk yang terdiri lebih daripada 30 kaum serta suku-suku kaumnya. Bangsa Iban merupakan kaum yang terbesar sekali dan yang kedua ialah masyarakat Cina. Bangsa Melayu adalah yang ketiga terbesar, keempat adalah kaum Bidayuh, kelima adalah bangsa Melanau, keenam kaum Orang Ulu dan yang ketujuh adalah bangsa Kedayan.
Bangsa Melayu, Melanau dan Kedayan mempunyai identiti tersendiri malah bangsa-bangsa ini mempunyai banyak persamaan di antara satu sama lain di dalam kegiatan harian mereka seperti tempat tinggal, gaya hidup, adat serta juga agama.

Kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu adalah tergolong dalam komuniti yang sangat besar dan telah dikenali sebagai Bangsa Dayak. Namun kaum Iban dan juga kaum Bidayuh sebagai kumpulan yang terbesar dalam komuniti Dayak ini hanya mewakili kaum mereka masing-masing berdasarkan nama-nama kaum mereka. Ini sebenarnya sangat berbeza dengan kaum Orang Ulu yang di dalamnya adalah terdiri daripada kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut, Bisaya, Lahanan, Penan, Punan, Ukit, Kanowit, Kejaman, Kiput, Berawan, Benawa, Murik, Sebup, Tagal dan lain-lain lagi. Dalam kelompok Orang Ulu ini juga ada lagi satu komuniti yang dikenali sebagai masyarakat Lun Bawang yang mewakili dua suku kaum iaitu kaum Murut dan Kelabit. Kedua-dua kaum ini sebenarnya mahu hanya dikenali sebagai masyarakat Lun Bawang dan dipisahkan dari komuniti kaum Orang Ulu.

Kaum Iban mendiami di serata tempat seluruh negeri Sarawak. Manakala Kaum Bidayuh kebanyakkannya tinggal di bahagian Kuching dan terdapat juga segelintir daripada mereka ini menetap di beberapa tempat dalam negeri Sarawak. Kaum Melayu juga seperti mana kaum Iban kebanyakkannya ada terdapat di seluruh negeri Sarawak. Kaum Melanau pula majoritinya memang banyak terdapat di bahagian Mukah, daerah Dalat, Tanjung Manis, Matu, Daro, Balingian, Tatau dan Bintulu serta ada juga yang tinggal di bahagian Miri. Kaum Kedayan kebanyakkannya menetap di sebelah utara Sarawak seperti di Miri, Limbang dan juga Lawas. Kaum Orang Ulu kebanyakkannya mendiami kawasan sebelah hulu sungai seperti di Hulu Rajang, Hulu Baram serta di pendalaman Limbang dan Lawas.

Kaum Iban mempunyai pegangan hidup yang boleh dikira agak sukar difahami keseluruhannya, kerana ada yang beragama Kristian dan ada sesetengah yang memeluk agama Islam tetapi banyak lagi yang belum beragama dan masih mengamalkan kepercayaan lama.

Kaum Bidayuh majoritinya adalah beragama Kristian dan ada sedikit juga telah memilih Islam sebagai pedoman hidup.

Kaum Melayu di Sarawak sama juga seperti mana dengan rakan-rakan mereka di Semenanjung Malaysia iaitu lahiriah memang sebagai Islam.

Kaum Melanau mempunyai dua kepercayaan agama iaitu Kristian dan juga Islam. Lebih 60 peratus kaum Melanau adalah Islam dan selebihnya beragama Kristian namun mereka ini tetap mempunyai pertalian saudara diantara satu dengan yang lain.

Kaum Kedayan seperti mana kaum Melayu juga adalah kesemuanya beragama Islam. Bahasa harian yang digunakan menyerupai bahasa Melayu dari Negara Brunei Darussalam.

Kaum Orang Ulu yang mempunyai banyak sukuan di dalamnya ini lebih daripada 90 peratusnya adalah beragama Kristian dan kebanyakkan daripada mereka ini mempunyai kulit yang cerah dan putih.

Sesetengah perkara yang disebut di dalam tulisan di atas bukanlah bertujuan untuk membanggakan diri ataupun ingin menunjuk-nunjuk tetapi sebenarnya banyak menyentuh tentang pencapaian yang telah di kecapi oleh rakyat dan negeri Sarawak keseluruhannya adalah semata-mata sekadar mengingatkan bahawa itulah hasil yang telah dinikmati oleh Sarawak setelah sama-sama berjuang di atas landasan yang betul bersama-sama dengan Barisan Nasional. Kesemua kejayaan serta keharmonian juga perpaduan kaum yang tersebut itu adalah diantara kejayaan yang telah dinikmati oleh rakyat yang setia kepada perjuangan Barisan Nasional dan berdiri teguh dibelakang Barisan Nasional. Dan itu adalah hakikat sebenarnya serta bukti yang nyata dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun juga. Barisan Nasional harus kekal di Sarawak dan Sarawak harus pertahankan statusnya sebagai negeri kubu kuat Barisan Nasional di Malaysia supaya gelaran itu akan tetap menjadi milik Sarawak.

Sabtu, April 25, 2009

..bila DAP masuk dalam kain PAS, terbentukkah Negara Islam ?

Pakatan Pembangkang sering di sebut sebagai Pakatan Rakyat. Namun banyak pihak yang mempertikaikan ungkapan itu merasa sangsi untuk terus digunakan. Alasannya ialah Pakatan Rakyat tidak wujud sebenarnya juga tidak berdaftar atau tidak ada terdapat dalam senarai Pertubuhan Pendaftaran(ROS) nama bagi Pakatan Rakyat, oleh itu adalah haram untuk diguna sebagai istilah dan sebutan baginya.

Pemimpin pembangkang ini jika kita lihat, kebanyakkannya dibarisi oleh mereka-mereka yang mempunyai pendidikkan tinggi serta berpengelaman andai dilihat dari sudut umur dan kerjaya masing-masing. Contoh kita lihat, Lim Kit Siang, Nik Aziz, Karpal Singh, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, MB Kedah Azizan dan mereka yang sebaya usia dengan yang tersebut disini adalah mereka berusia lanjut dan dikira punya pengalaman berurusan dengan masyarakat serta orang-orang tertentu. Tetapi apa yang sering kita saksikan ialah sifat serta pendirian yang tidak teguh dikalangan mereka.

Sifat yang saya maksudkan ialah kelakuan mereka ini terutamanya wakil-wakil rakyat dari kalangan Ahli Parlimennya ketika berada di dalam Dewan Rakyat yang tidak mencerminkan diri mereka sebagai Yang Berhormat. Sesungguhnya apabila seseorang itu mendamba gelaran Yang Berhormat sesudah mendapat mandat besar daripada rakyat, hendaklah mereka menggunakan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat itu sebagai sesuatu kesempatan yang sangat berharga. Jika wakil-wakil rakyat pihak pembangkang ini berterusan membawa isu yang remeh-temeh ke dalam dewan yang pada asasnya seperti tidak membawa faedah kepada rakyat, maka pendapat saya ianya tidak ubah seperti mereka telah berdusta kepada rakyat dan telah menyalahgunakan kuasa yang telah rakyat berikan.

Tentang pendirian yang tidak teguh serta tidak tetap ialah, apabila kita mendapati Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz yang selalu berubah fikirannya di saat-saat akhir keputusan dibuat. Yang terbaru kita melihat beliau membantah keras serta jelas tidak menyetujui cadangan Presiden PAS Datuk Seri Hadi yang mau meletakkan Nizar Jamaluddin sebagai calon PAS di Bukit Gantang, tapi akhirnya pendirian beliau tiba-tiba berubah 100%. Jadi disini saya ada persoalan, apakah PAS/PKR/DAP dapat mempercayai satu sama lain sedang diri mereka sendiri pun mereka tidak dapat percayai? Sebelum keputusan dicapai pendirian mereka lain tetapi selepas itu berubah lain lagi.

Dari kalangan pemimpin pembangkang yang saya lihat mempunyai pendidikan tinggi adalah mereka yang bergelar peguam. Golongan ini kebanyakkannya mereka datang dari parti DAP dan juga PKR. Jika diukur kerjaya mereka ini sebagai peguam serta diperkuatkan lagi dengan status sebagai Yang Berhormat, tentu sekali rakyat ingin melihat serta mengharapkan persembahan mereka ketika berbahas di dalam dewan Parlimen berjalan di dalam suasana yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan tinggi dan penuh terhormat. Tentu sekali rakyat yang mereka wakili berkehendakkan masalah mereka dapat diperpanjangkan kepada kerajaan dengan cara yang penuh tertib dan beretika dan bukannya dengan cara kekerasan ala samseng di dalam dewan. Bagi saya, mereka ini yang bergelar Yang Berhormat serta di samping itu juga punya kerjaya sampingan sebagai peguam, semestinya lebih arif dan lebih memahami erti undang-undang dan harus menghormati setiap undang-undang yang telah sama-sama mereka bahaskan dan luluskan di dalam dewan.

Tentang kerjasama diantara sesama pembangkang ini, saya telah merasakan bahawa kerjasama antara mereka sudah mencapai kepada tahap kerjasama yang melampau, di mana PAS tanpa rasa bersalah telah membenarkan sewenang-wenangnya rela untuk memberikan kerjasama kepada DAP khususnya kepada Nga Kor Ming untuk mencemar serta mencabul kandungan Kitab Suci Al-Quran. Apakah PAS tidak sedar dalam hal ini, mereka telah dilihat sebagai tidak bertanggungjawab terhadap kesucian agama Islam. Bagi saya ialah Kitab Al-Quran dan juga sekitar kawasan Kaabah di Tanah Suci Mekkah tarafnya adalah sama tinggi dari segala sesuatu yang ada di muka bumi ini. Makanya, sekiranya Tanah Suci Mekkah terutama sekitar kawasan Kaabah tidak boleh dijejak oleh orang yang bukan beragama Islam, tentu sekali kandungan serta Kitab Suci Al-Quran itu sendiri juga tidak dibenarkan untuk untuk dipermainkan sesuka hati oleh orang yang bukan beragama Islam. Cuma bezanya, Kaabah di Tanah Suci Mekkah memang sudah kita semua sedia maklum dan ketahui bahawa sejak dari turun temurun ianya memang telah dikendali serta dipelihara oleh orang Arab di situ daripada pencemaran luar tetapi Kitab Suci Al-Quran memerlukan tanggungjawab tinggi jutaan umatnya di seluruh muka bumi ini untuk menjaga serta memelihara agar bebas dari sebarang cubaan untuk merosakkannya.

Oleh itu bagi saya, jika perkara seperti ini iaitu dengan memberi keizinan kepada orang bukan Islam untuk menjadikan Al-Quran sebagai alat untuk memenuhi niat bersama yang langsung tidak jelas seperti ini terus berleluasa tanpa ada satupun usaha untuk mengawal serta menghalangnya, jadi persoalan yang layak untuk di kemukakan...apakah orang Melayu khususnya dari kalangan pemimpin serta para pengikutnya sendiri telah "GAGAL" dalam perjuangan untuk menegakkan sebuah "Negara Islam" di negara ini serta apakah ini sebagai petanda bahawa orang Melayu PAS ini telah"GAGAL" sebenarnya dalam menjaga kesucian Kitab Al-Quran daripada dicemari?????
Posted by Picasa

Hala Tuju Sukan Bolasepak Malaysia.

Malaysia adalah sebuah di antara negara-negara di seluruh dunia ini yang begitu giat sekali menyertai berbagai jenis sukan yang dianjurkan pada peringkat antarabangsa seperti sukan Olimpik, sukan Komanwel, sukan SEA, sukan Asia, kelayakkan Piala Dunia, Piala Asia dan sebagainya jika dibandingkan dengan negara lain misalnya seperti Filipina, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan sebagainya.

Bagi negara Filipina misalnya, kita tidak tahu sukan apa yang sebenarnya telah menjadi kebanggaan rakyatnya. Dalam sukan bolasepak, badminton, tenis, squash dan sepaktakraw kita tidak pernah sama sekali mendengar wujudnya nama negara Filipina akan terlibat. Yang jelas negara Filipina hanya terkenal dengan acara sabung ayamnya serta telah memiliki ladang pengeluar ayam sabung terbesar dunia.

Singapura pula pada suatu ketika dahulu adalah sebuah diantara negara kuasa bola di peringkat Asia serta telah melahirkan beberapa orang pemain yang begitu dikagumi seperti Fendi Ahmad juga yang lainnya dan sering menyertai Pesta Bola Merdeka di Malaysia dan juga setia menyertai pasukan negeri-negeri yang tersenarai dalam Liga Malaysia yang mempertaruhkan Piala Malaysia sebelum digugurkan atas sebab-sebab yang tertentu. Tetapi itu dulu dan kini semuanya itu sudahpun menjadi kenangan manis dan sejarah bagi mereka.

Negara Republik Indonesia pula, kita lihat negara itu hanya gah dengan sukan badminton sebagai sukan yang paling diminati rakyatnya dan telah menjadi kebanggaan negara mereka disamping negara lain seperti China, Malaysia, Denmark dan sebagainya. Tetapi dalam sukan lain negara itu kita dapati tiada sukan lain selain daripada sukan badminton yang mampu menonjolkan namanya di persada sukan antarabangsa.

Negara kecil seperti Brunei Darussalam pula bolehlah dianggap sebagai hanya sebuah pasukan pelengkap jumlah kepada negara lain yang turut serta, dan negara itu juga telah terbukti tidak berkemampuan untuk pergi jauh lagi daripada itu. Tiada satu jenis sukan pun yang kita lihat telah dijadikan fokus utama mereka ketika ikut serta dan ini boleh juga boleh di ibaratkan seperti mereka sekadar suka-suka saja dan tak lebih dari itu.

Di negara kita sendiri Malaysia, kita agak bernasib baik dan bertuah jika dibandingkan dengan negara-negara yang tersebut di atas kerana kita tentunya boleh berbangga dengan gelaran pemain nombor satu dunia yang sedang dimiliki oleh dua olahragawan negara, Datuk Nicole Ann David (Squash) dan Datuk Lee Chong Wei (Badminton) yang mana secara tidak langsung telah mengharum serta menjulang tinggi nama Malaysia diperingkat dunia. Dalam sukan golf, negara kita kini dilihat telah dan sedang mengorak langkah menerusi para pemainnya untuk lebih maju serta pergi jauh lagi.

Dalam lain-lain sukan, Malaysia telah berjaya mencatatkan kejayaan yang tersendiri seperti dalam sukan permotoran, formula1, eukustrian dan sebagainya yang sudahpun berjaya mengukirkan nama Malaysia di peta sukan dunia sebagai sebuah negara kuasa berbagai jenis sukan yang boleh dibanggakan.

Tetapi bagi sukan bolasepak iaitu sukan yang begitu dekat sekali dihati peminat-peminat sukan di negara kita ini, kita telah menyaksikan sukan ini seolah-olah tidak akan mampu untuk berdiri tegak di Malaysia sama seperti sukan-sukan lain yang tersebut di atas. Berkaitan dengan masalah ini, kita sering didedahkan dengan berbagai-bagai kemelut yang sedang dihadapi dalam persatuan-persatuan yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal maju mundurnya sukan bolasepak negara. Kemelut dalaman yang di hadapi oleh persatuan-persatuan seperti FAM dan juga persatuan peringkat negeri seakan-akan telah menjadi satu badi yang kekal kepada para pemainnya dan seperti sukar untuk di hapuskan.

Masalah gaji tertunggak kepada pemain serta masalah disiplin juga moral pemain itu yang selalu didakwa sebagai punca kelembapan prestasi pasukan. Tetapi apa yang lebih sesuai untuk dikaitkan dengan sebab utama penurunan mutu persembahan oleh pemain-pemain bolasepak pada setiap kali perlawanan yang diadakan adalah berpunca daripada kelemahan pengurusan FAM itu sendiri juga cara pentadbirannya yang tidak sesuai lagi dengan keadaan yang ada pada masa ini. Jika ingin melihat sukan bolasepak segar semula seperti yang pernah Malaysia kecapi pada awal tahun 70an iaitu masa era SuperMokh, Hassan Sani, Santokh Singh, Soh Chin Aun, James Jacob dan yang lain-lain, maka lebih baik sekiranya FAM membuat perubahan besar-besaran secara drastik tanpa mengecualikan apa-apa juga jawatan.

Saya berpendapat, jika langkah seumpama itu dapat di ambil maka saya percaya bahawa kegemilangan sukan bolasepak negara yang suatu ketika dulu iaitu pada zaman Mokhtar Dahari yang pernah menaikkan nama Malaysia pada temasya Piala Dunia walaupun hanya mampu melepasi pusingan kelayakkan, bagi saya tidak mustahil bagi para pemain untuk mengulangi kejayaan seperti itu semula. Apa yang penting disini ialah kesungguhan semua pihak, bukan sekadar semangat para pemain tetapi semangat tinggi dan jitu Presiden, Timbalan, Setiausaha Agung FAM sendiri di samping semangat kesukanan tulen peminat bolasepak itu sendiri juga penting.

Rabu, April 22, 2009

Pembangkang : Antara Masa Untuk Rakyat dan Untuk Politik.

Melihat kepada keadaan serta suasana politik di negara ini, yang bagi saya tak ubah seperti masalah yang dihadapi oleh negara Palestine, Selatan Thai, Selatan Manila dan Selatan Sri Lanka. Tiada titik notahnya. Apakah ianya nanti akan berakhir dengan harmoni dan dalam keadaan yang menyebelahi rakyat.

Tapi yang jelasnya ialah segelintir daripada mereka yang telah dipilih oleh rakyat untuk memberi khidmat terutamanya pihak pembangkang, telah menggunakan mandat yang telah diberi dengan cara yang tidak jujur...maksudnya menggunakan kuasa itu untuk tujuan lain. Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya telah menjadi wakil kepada keseluruhan rakyat yang ada di dalam kawasannya, bukan lagi setakat hanya tertakluk kepada mereka yang memangkah mereka ketika pilihan raya dulu.

Tapi malangnya, apa yang telah kita saksikan sekarang ini ialah, masa yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh wakil-wakil rakyat ini untuk berjumpa dengan rakyat, menyelesaikan masalah seperti yang telah diluahkan rakyat kepada mereka ini sewaktu pilihan raya dulu kini telah digunakan untuk memperkukuhkan lagi kedudukkan diri di dalam parti masing-masing tanpa mengingat dan menunai segala janji-janji yang pernah mereka taburkan semasa kempen dulu.

Mereka kita lihat sekarang ini lebih cenderung menggunakan mandat yang memberi kuasa kepada mereka untuk mengeluarkan apa-apa saja kenyataan yang kadang-kala dilihat keterlaluan serta langsung tidak memberi faedah kepada rakyat. Misalnya ketika berbahas di dalam Dewan Parlimen, kita boleh lihat..pembangkang ini sering menimbulkan bermacam-macam isu yang saya anggap sebagai isu remeh-temeh dan yang tak sepatutnya diucap di dalam dewan. Kadang kala juga saya rasa seperti mereka ini telah membazirkan masa yang telah diberikan untuk membentangkan isu yang berkaitan dengan rakyat ketika di dalam Parlimen dan bukannya seperti seolah-olah seperti memperjuangkan hak-hak golongan tertentu sahaja.

Rabu, April 15, 2009

Pertahankan Hak Istimewa Kaum Melayu dan Bumiputera.

Masyarakat Melayu adalah penduduk teramai dikalangan rakyat Malaysia serta merupakan kaum majoriti terbesar diantara sesama Bumiputera dinegara ini. Maka pada asasnya mereka telah dianugerahkan dengan keistimewaan yang sangat tinggi iaitu sebagai ketua pentadbir di negara ini dan mereka sendiri telah dituntut supaya menjaga hak ini dengan sebaik yang mungkin sampai bila-bila.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana kaum yang telah diterima sebagai sebahagian daripada warganegara Malaysia, khususnya kaum yang memang jelas mempunyai pertalian sejarah dengan negara-negara tertentu disebelah Asia timur, barat, utara ataupun selatan.

Kepada masyarakat Bumiputera di Sarawak dan Sabah, konsep "Ketuanan Melayu" di Malaysia tidak sepatutnya disentuh atau diungkit-ungkitkan lagi, kerana walaupun pada pandangan umum, konsep itu seperti cuba "tetapi tidak sesekali pernah digunakan" untuk menidakkan hak kaum lain, namun sebaliknya konsep itulah yang telah menjamin hak-hak tertentu kaum-kaum Bumiputera di Sarawak dan Sabah daripada diganggu-gugat.

Dalam pikiran saya sering timbul persoalan, seandainya kuasa yang ada ditangan orang Melayu ketika ini terlepas ke tangan kaum lain, apakah akan terjadi kepada kaum Melayu serta Bumiputera di Sarawak dan Sabah khasnya? Apakah kita akan kehilangan banyak hak yang sepatutnya kita pertahankan? Apakah nasib orang Melayu dan Bumiputera keseluruhannya akan sama dengan nasib orang Melayu Singapura juga di Pulau Pinang?

Perasaan cemas saya mengenai perkara ini bermula setelah saya membaca temubual ekslusif dalam akhbar Bernama antara pihaknya dengan YABhg Tun Dr Mahathir kira-kira dua minggu sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri iaitu pada hari Rabu 15 Oktober 2003, sejurus beliau selesai merasmikan Ekspo OIC 2003. Temu bual itu telah diletak dengan tajuk "Bangsa lain boleh jadi PM jika diterima Melayu, kata Dr Mahathir"

Disini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang intipati atau isi kandungan daripada tajuk temu bual ekslusif Bernama dengan YABhg Tun Dr Mahathir itu;
PUTRAJAYA, Rabu.
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti sekiranya dapat memenuhi syarat-syarat tertentu. "Ini boleh terjadi. Saya sering katakan bahawa akan tiba masanya apabila seorang bukan Melayu akan jadi Perdana Menteri," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata orang berkenaan mestilah diterima oleh orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negara ini. "Sekiranya seseorang itu mengambil berat tentang orang Melayu, berjuang membela nasib mereka dan berlaku adil kepada sesiapa jua, saya fikir orang Melayu akan hilang rasa takut mengenai kemungkinan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri," katanya dalam temu bual dengan Bernama semalam.
Temu bual selama 75 minit itu dikendalikan oleh Pengerusi Bernama Datuk Kalimullah Hassan, Ketua Pengarang Jaafar Hussin serta dua editor Ekskutif, Datuk Azman Ujang dan Yong Soo Heong. "Sekiranya dia tidak diterima oleh orang Melayu, maka susahlah dia hendak jadi Perdana Menteri kerana orang Melayu adalah penduduk majoriti. Tapi ini bukan mustahil," Kata Dr Mahathir.
Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya sama ada bukan Melayu boleh menyandang jawatan politik lebih tinggi memandangkan Barisan Nasional terdiri daripada beberapa parti komponen yang mewakili pelbagai kaum.
Ditanya tentang kemungkinan politik di Malaysia tidak akan lagi berdasarkan kepada kaum suatu hari nanti, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak mustahil tetapi ia akan hanya wujud apabila semua kaum menikmati kemajuan serta status yang sama.
Beliau berkata contoh wujudnya keadaan tidak seimbang antara kaum di negara ini dapat dilihat dengan ketara apabila dalam perkhidmatan awam, jumlah bukan Melayu begitu kurang manakala dalam sektor swasta pula, jumlah orang Melayu sangat kecil. "Kita perlu wujudkan keadaan seimbang. Yang ini(sektor awam) perlu ditambah(jumlah), yang itu juga(sektor swasta) perlu ditambah," katanya.
Mengulas mengenai pembentukan bangsa Malaysia menjelang 2020, Dr Mahathir berkata "sekiranya kita semua berkelakuan seperti rakyat Malaysia, memahami budaya satu sama lain dan bercakap bahasa yang sama, saya fikir, akhirnya kita akan jadi satu."

Pada pendapat saya, apa yang sering dituntut oleh salah sebuah parti komponen dalam BN sekarang mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah kemungkinan timbul setelah adanya kenyataan menyokong yang dibuat oleh YABhg Tun Dr Mahathir itu. Tetapi mereka sebenarnya tidak memahami apa maksud disebalik setiap jawapan yang telah dibuat oleh Tun terhadap soalan yang dikemukakan oleh pihak Bernama itu. Walau apapun usaha untuk memintas tuntutan oleh pihak tersebut mengenai jawatan nombor satu dan dua dalam pentadbiran di negara ini, memang agak sukar lagi untuk menghalang atau menanganinya secara berkesan, ini kerana jalan untuk mereka menuju ke arah itu telahpun dirintis dan disediakan, cuma mereka memerlukan masa saja untuk bertindak.

Apa yang sangat membimbangkan saya, sekiranya benar-benar berlaku suatu hari nanti akan adanya perpindahan kuasa mentadbir negara kepada ke tangan kaum bukan Melayu, apakah ada jaminan kukuh untuk mereka akan berlaku adil kepada kaum asal di negara ini? Apakah juga ada jaminan untuk mereka tidak akan menghapuskan dasar-dasar yang sedia ada, seperti DEB dan sebagainya yang berkait rapat dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera? Apakah nanti bila kuasa sudah berada ditangan mereka, apakah ada jaminan juga bahawa segala perjanjian dalam perlembagaan tidak akan dibahas di Parlimen,tidak dikaji,tidak dimansuh, tidak dihapuskan dan tidak pula diwujud bermacam-macam akta baru, perlembagaan baru, dasar baru dan sebagainya yang akhirnya menjadikan kaum Bumiputera keseluruhannya mangsa "dasar apartheid" seperti apa yang telah dialami oleh orang Melayu di Pulau Pinang dan di Republik Singapura?

...mohon komen pembaca mengenainya.

Isnin, April 13, 2009

Anwar/PKR tidak iktiraf kemenangan BN di Btg Ai, Sarawak.

Beberapa pemimpin termasuk Penasihat Parti KetidakAdilan Rakyat sendiri, Anwar Ibrahim telah tidak mengiktiraf kemenangan besar calon BN di Batang Ai, Sarawak saudara Malcom Mussen Lamoh pada pilihanraya kecil 07 April yang lalu. Kebanyakkan mereka mendakwa bahawa terdapat beberapa peti undi telah digugurkan ke dalam laut dari helikopter dan perahu.

Malah mereka buat masa ini masih membuat siasatan terhadap 14 peti undi daripada 14 saluran mengundi yang menurut mereka telah diselewengkan. Dan hasil siatan itu akan dibawa ke ibu pajabat parti itu di Kuala Lumpur pada 15 April ini.

Apa yang saya dapati dari dakwaan yang berasaskan daripada perasaan syakwasangka yang bukan-bukan itu, adalah sesuatu yang keterlaluan dan hanya membuang masa saja. Keputusan yang telah diumumkan dengan rasmi oleh SPR itu adalah hasil daripada sistem demokrasi dan telahpun dilaksanakan oleh rakyat melalui peti undi, jadi PKR dan Anwar terima saja lah dan mereka haruslah menghormati kehendak rakyat yang terbanyak itu.

Bagi saya, jika mereka mahu memastikan yang dakwaan mereka itu semua benar, maka perolehilah semula jumlah saluran yang telah digunakan sebagai tempat membuang undi tempoh hari dan kira semula peti yang tidak sampai ke pusat penjumlahan undi daripada mereka terus-terusan mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Dari apa yang saya lihat, tindak-tanduk PKR dan Anwar memang benar-benar telah mengelirukan rakyat Sarawak. Seandainya mereka yang menang dalam pilihanraya tersebut, adakah mereka akan menyatakan bahawa SPR telah tidak berlaku adil terhadap BN kerana telah memberikan kemenangan kepada PKR dengan cara membuang peti undi sebenar ke dalam laut dan sungai lalu menggantikan dengan sebuah peti lain yang telah tersedia dengan ribuan kertas undi yang 100% telah dipangkah dipetak PKR?????

Menurut sumber berita, bahawa SPR memandang berat dakwaan Anwar serta ahli-ahli PKR itu, dan mungkin akan menyiasat kesahihan tohmahan Anwar itu.

Sabtu, April 11, 2009

Kabinet Baru: SNAP kecewa tiada tambahan jawatan menteri untuk Sarawak.

Selepas senarai penuh nama-nama menteri yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib diketahui oleh rakyat, reaksi segera dan perlahan dari rakyat keseluruhannya dapat dirasakan. Bukan hanya rakyat yang menyokong kerajaan saja memberi bermacam komen tentang kabinet baru itu, malah dari penyokong serta pemimpin pembangkang sendiri juga tidak ketinggalan untuk menyuarakan perasaan mereka antara suka dan kecewa.

Di Sarawak kini soal perlantikkan mengapa sedikit pemimpin dari negeri ini yang diberi jawatan sebagai Menteri Penuh jika dibandingkan dengan Sabah telah menjadi perbualan dimerata-rata tempat di Sarawak. Terbaru sebuah parti pembangkang negeri yang berpusat di Miri telah melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan jumlah jawatan yang diberi kepada Sarawak setelah mengambil kira kedudukan kuat BN adalah di negeri Sarawak. SNAP menerusi Presiden Parti itu iaitu En. Edwin Dundang Bugak telah menyatakan pendiriannya ketika ditemui wartawan akhbar Utusan Borneo semalam.

Berikut adalah sumber berita mengenai kenyataan Edwin itu yang saya perolehi dari ruangan tempatan muka surat 5 dalam akhbar Utusan Borneo keluaran Sabtu, 11 April 2009;

MIRI: Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Edwin Dundang Bugak semalam melahirkan rasa kecewa kerana tiada tambahan untuk jawatan menteri dan timbalan menteri diberikan kepada Sarawak seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kabinet barunya Khamis lepas.

Beliau yang mengharapkan untuk menyaksikan pertambahan menteri dalam kabinet baru itu berkata Najib sepatutnya memberikan lebih daripada dua jawatan menteri penuh kepada Sarawak sebagai menghargai sokongan rakyat negeri ini kepada BN terutama pada pilihanraya umum yang lepas. "Perdana Menteri baru sepatutnya memberi portfolio tambahan sama ada menteri penuh atau timbalan menteri kepada Sarawak di atas sumbangan besar dalam memastikan kemenangan BN semasa pilihanraya umum Mac tahun lepas," katanya sambil menambah tanpa Sarawak dan Sabah, BN tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan BN yang stabil di Kuala Lumpur.

Edwin berkata pemilihan anggota baru kabinet kali ini menunjukkan bahawa beliau(Najib) seolah tidak mengendahkan kepentingan sumbangan Ahli Parlimen(AP) BN dari setiap negeri khususnya Sabah dan Sarawak. "Dalam hal ini, sumbangan kedua-dua negeri dalam membantu mengekalkan pentadbiran BN perlu diiktiraf dengan melantik lebih ramai di kalangan AP untuk memegang jawatan penting di kabinet," katanya ketika dihubungi semalam.

Ujar Edwin, malah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan kelmarin turut melahirkan kekecewaan berikutan ketiadaan nama Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot Jaem dalam senarai kabinet baru itu. "Sudah tentu saya sedikit kecewa, kita mengharapkan sekurang-kurangnya seorang lagi dilantik bagi memegang jawatan menteri atau timbalan menteri," katanya.

Katanya, jika Najib mahu kerajaan yang mantap dan stabil beliau tidak harus meminggirkan mana-mana negeri sebaliknya memberikan peluang sama rata kepada semua kaum untuk mentadbir negara ini.

Pada pendapat saya apa yang disuarakan oleh Presiden SNAP itu adalah rentetan daripada kenyataan yang telah diluahkan oleh Presiden SUPP semalam juga dalam akhbar Utusan Borneo. Jika dikira dari segi kedudukan parti SNAP dalam politik di Sarawak, parti itu dulu adalah sebuah parti dalam gabungan BN Sarawak namun oleh kerana telah mengalami krisis kepimpinan satu ketika dulu, maka parti itu telah dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan(ROS) kerana gagal menjelaskan surat tunjuk sebab yang telah diserahkan kepada Presiden Parti SNAP ketika itu, iaitu Datuk Amar James Wong. Dan kini SNAP adalah sebuah parti pembangkang negeri.

Walau apapun yang telah dinyatakan oleh Presiden SNAP itu, apakah kenyataan yang beliau telah buat itu ikhlas serta mencerminkan perasaan sebenar rakyat Sarawak, kita sama-sama tunggu perkembangan seterusnya. Apakah Presiden SNAP itu sekadar berkata sedemikian hanya untuk menambat hati rakyat terhadap perjuangan pembangkang? Apakah mereka hanya menangguk di air yang keruh ? Pembangkang memang sentiasa mencari ruang yang ada untuk masuk mempengaruhi hati dan fikiran rakyat supaya membenci kerajaan.

Kabinet Baru: SUPP kecewa Datuk Richard Riot tidak disenaraikan.

Berikutan dengan rombakkan kabinet baru oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib dan pengumuman mengenainya telahpun dibuat pada Khamis, 09 April yang baru lalu serta majlis angkat sumpah memegang jawatan juga sudah dilangsungkan pada pagi Jumaat, 10 April 2009, maka banyak kita mendengar kalangan yang menyuarakan perasaan puashati dan setuju dengan perlantikkan yang telah diputuskan itu, namun dalam pada itu tentu masih ada lagi suara yang kedengaran menyatakan perasaan kecewa masing-masing berhubung dengan perlantikkan itu, lalu tampil dengan hujah-hujah tersendiri.

Oleh itu saya ingin berkongsi sedikit bahan dengan semua mengenai dengan ketidakpuasan hati Presiden SUPP, YAB Datuk Patinggi Dr George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak bila diminta mengulas tentang barisan kabinet baru itu sebagaimana yang telah disiarkan didalam akhbar Utusan Borneo(ruangan tempatan) muka surat 5 bertarikh Jumaat,10 April 2009. Kenyataan akhbar itu adalah seperti berikut;

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP)kecewa kerana Datuk Richard Riot Jaem tidak disenaraikan dalam rombakkan barisan kabinet pusat yang diumumkan semalam.

Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan meluahkan kekecewaannya semalam dan menegaskan perwakilan Sarawak dalam kabinet persekutuan tidak selaras dengan jumlah Ahli Parlimen(AP).

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, parti itu sudah lama menaruh harapan untuk meletakkan seorang wakil Bidayuh dalam kerajaan pusat.

"Dalam beberapa segi, saya gembira kerana SUPP mengekalkan beberapa jawatan, namun saya masih menaruh harapan kerana Riot telah menjalankan tugas yang sangat baik sebagai AP yang mewakili kawasan Bidayuh. "Beliau(Riot) seharusnya menduduki beberapa jawatan untuk membina hubungan baik dengan pihak persekutuan..,SUPP sangat kecewa," katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Chan memberi jawapan yang jujur dan positif bila ditanya samada nama Riot turut disyorkan oleh parti dalam rombakkan tersebut.

Bila ditanya mengenai jumlah nama yang dikemukakan, beliau berkata:"Kita hanya berharap agar kita dapat melihat kaum Bidayuh di Sarawak diwakili dalam kabinet pusat. "Perwakilan kita dalam kabinet pusat tidak selaras dengan jumlah AP(dari Sarawak)," ujarnya lagi.

Riot tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan semalam. Tiga AP dari SUPP dikekalkan di dalam kabinet pusat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinet baru selepas jam tiga petang semalam.

Mereka adalah Setiausaha penganjur Parti, Datuk Peter Chin yang dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dab Air, dan dua Naib Presiden Datuk Robert Lau(Timbalan Menteri Pengangkutan) dan Datuk Yong Khoon Seng(Timbalan Menteri Kerjaraya). Hanya Yong mengekalkan portfolio beliau sementara Chin sebelum ini menjadi Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi dan Lau sebagai Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan ditukar ke portfolio baru.

Pada pandangan saya, apa yang telah disuarakan oleh YAB Dr Chan seperti yang ada diatas sememangnya masih kurang jelas, sebab sebelum dia menghantar nama-nama bagi mewakili parti SUPP sebagai menteri dan timbalan menteri di pusat untuk diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, tentu sekali dia sudah faham mengenai jumlah kouta yang telah ditetapkan untuk sesebuah parti termasuk parti SUPP. Bagi saya sekiranya beliau betul-betul ingin melihat adanya wakil dari kalangan kaum Bidayuh berada di dalam kabinet pusat, maka beliau haruslah mengorbankan salah seorang daripada tiga menteri Cina SUPP itu agar ada laluan untuk Datuk Richard Riot dilantik ke jawatan tertentu didalam kabinet persekutuan. Dalam hal ini saya rasa walaupun keputusan ditangan Perdana Menteri tetapi pada hakikatnya memang Perdana Menteri akan menerima senarai nama menteri yang dicalonkan jika ianya hanya mencukupi kouta, misalnya seandainya kouta telah ditetapkan 3 orang untukSUPP dan nama yang diketengahkan juga 3 orang, maka Perdana Menteri akan menerima saja sebab tiada pilihan lain. Tetapi jika kouta diberi kepada SUPP 3, tapi Dr Chan syorkan 5 nama kepada Perdana Menteri untuk dibuat pertimbangan, maka tentu sekali ada pilihan..dan tentu sekali YAB Datuk Seri Najib akan meneliti semua latar belakang termasuk hal yang berkaitan dengan kepentingan kaum-kaum yang ada di Sarawak, sebelum memilih 3 orang daripada 5 orang itu tadi.

Itu adalah pendapat saya, jika anda setuju dan tidak setuju..komen anda bagaimana pula?

Jumaat, April 10, 2009

Kabinet Baru: Sabah DiDahulukan.Sarawak DiPerkecilkan.Semenanjung DiPertaruhkan.

Sesuai dengan tajuk diatas, saya berpendapat pembentukkan kabinet baru Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang dibarisi oleh separuh muka baru dan sebahagian lagi muka lama hanya sebagai satu percubaan awal samada beliau akan berpuashati dengan mutu perkhidmatan mereka atau sebaliknya. Jika sebaliknya, maka rombakkan baru akan dibuat dan ini bermakna kedudukkan para menterinya akan distruktur semula.

Namun apa yang saya lihat daripada senarai jemaah menteri yang dilantik itu sebenarnya seperti medahulukan kepentingan Sabah dalam banyak hal. Contohnya, Kementerian Perladangan, Perusahaan dan Komoditi sepatutnya harus dikekal untuk Sarawak memandangkan bidang pertanian dan perladangan sudah menjadi keutamaan kepada penduduk Sarawak serta para pemimpin kerajaan negeri. Walaupun Sarawak mendapat 8 jawatan sebagai timbalan menteri dan 2 sebagai menteri penuh, tapi ianya tidak memadai jika diambil kira perbandingan antara yang di perolehi Sabah yang diperuntukkan 4 jawatan menteri penuh serta 5 jawatan timbalan menteri. Jika kita imbas kembali pencapaian Sabah berbanding dengan Sarawak ketika pilihanraya umum yang ke-12 pada mac 2008 yang lalu, peratusan undi yang BN Sabah perolehi hanya 1.62% manakala BN Sarawak penyumbang 4.14%, UMNO 29.59%, MCA 10.21%, MIC 2.21%, Gerakan 1.99%. Berpandukan kepada semua angka yang tersebut itu, maka disitulah saya melihat kelebihan telah diberikan kepada Sabah.

Mengenai senarai nama-nama menteri dan juga timbalan menteri dari Sarawak yang telah dilantik, sepatutnya mereka yang terbukti telah menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan atau yang tidak cergas sama sekali pada sesi yang terdahulu haruslah digugurkan dan digantikan dengan calon-calon lain yang lebih berkeupayaan serta berwibawa tinggi. Semua itu kita boleh ikuti ketika mereka menjawab soalan-soalan tambahan atau lisan oleh ahli-ahli parlimen baik dari kerajaan sendiri ataupun dari pembangkang. Dari situ kita dapat mengukur serta menilai sejauh mana kemampuan mereka duduk dikementerian tertentu dalam memenuhi kehendak orang ramai dan menyelesai sesuatu masalah yang telah disuarakan.

Dari segi pembahagian jawatan menteri serta timbalan menteri dari Sarawak yang dilantik kita dapat melihat ada wakil dari kaum tertentu yang dibagi lebih, ada yang dibagi 1 jawatan, ada yang dapat 2 dan ada yang langsung tidak mempunyai wakil dalam kabinet baru Perdana Menteri. Dari Sarawak masyarakat Iban mendapat 1 menteri penuh dan 3 timbalan menteri, Melayu Sarawak 2 orang dilantik sebagai timbalan menteri, Melanau Australia 1 orang sebagai timbalan menteri Pelancongan, Cina Sarawak 1 orang menteri penuh manakala 2 orang timbalan menteri dan kaum minoriti Kenyah 1 orang diberi jawatan sebagai timbalan menteri. Kaum Bidayuh yang merupakan kaum keempat terbesar di Sarawak langsung tidak mendapat tempat dalam barisan kabinet baru kali ini. Lain-lain kaum peribumi di Sarawak tiada wakil dalam kabinet baru ini.

Jumaat, April 03, 2009

Perdana Menteri Malaysia ke-6, Syabas & Tahniah !

Pada hari ini tanggal 03hb. April 2009, Jumaat jam 10.00 pagi, sah lah sudah Y.A.B. Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, bagi menggantikan YABhg. Tun Haji Abdullah Ahmad Badawi yang telah melepaskan jawatan tersebut secara rasminya pada 02hb. April 2009 hari Khamis yang baru lalu. Setinggi-tinggi ucapan Tahniah dan Syabas kepada Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib.

Kini harapan seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada Y.A.B. Datuk Seri Mohd Najib untuk membawa kemajuan Malaysia kearah yang lebih tinggi dan hebat lagi, disamping itu juga ingin melihat kemampuan Y.A.B. Datuk Seri Najib membawa negara keluar dari kemelut ekonomi global yang turut dan sedang dihadapi Malaysia sekarang serta kekalutan politik di Negara ini yang seolah-olah tiada berpenghujung.

Bagi saya perlantikkan Y.A.B. Datuk Seri Mohd. Najib ini, sudah pasti akan dapat mengubah landskap politik tanah air daripada keadaan yang tidak stabil sekarang kepada yang akan kembali stabil seperti sebelum tahun 2004. Ini semua bergantung kepada apa "dasar" yang akan dibawa beliau nanti. Jika "dasar keterbukaan" dalam pentadbiran seperti yang mula diamalkan sejak awal tahun 2004 tidak ditarik balik, besar kemungkinan usaha untuk menstabilkan semula suasana politik yang sudah sedia bercelaru seperti sekarang akan gagal tetap ada. Apa yang sangat penting adalah, supaya setelah bergelar sebagai seorang Perdana Menteri..,beliau haruslah berani membuat keputusan yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa ada campur tangan daripada "orang-orang disekelilingnya" seperti apa yang telah berlaku didalam pentadbiran sebelum ini. Dalam hal ini beliau hendaklah merujuk cara bagaimana YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin negara ini ketika YABhg. Tun menjadi Perdana Menteri. Ini bukanlah bermaksud beliau harus menurut semua gaya kepimpinan YABhg. Tun, namun apa yang pasti adalah beliau harus menonjol sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia yang sama hebat seperti YABhg. Tun Dr Mahathir.

Mengenai calon-calon barisan Menteri Kabinet beliau nanti, maka sebagai rakyat biasa yang sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan, saya berharap supaya setiap Menteri yang akan dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar ataupun sekurang-kurangnya tahu serta faham tugas mereka masing-masing disetiap Kementerian dimana mereka diletakkan untuk memberi khidmat kepada rakyat. Disamping itu juga, mereka yang bakal dilantik sebagai Menteri Penuh atau juga sebagai Timbalan Menteri nanti, hendaklah terlebih dahulu tahu fungsi Kementerian yang mereka sedang duduki serta berpengetahuan luas mengenai semua bidang kuasa kementerian serta tahu sasarannya. Jika dilantik seseorang itu sebagai Menteri atau Timbalan Menteri hanya untuk memenuhi kouta setiap parti atau kaum yang telah diperuntukkan, maka usaha untuk memulihkan keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih selesa pada masa hadapan mungkin tidak akan tercapai.

Walau apapun, kepada Y.A.B. Datuk Seri Mohd Najib...,kita semua rakyat Malaysia bersandarkan harapan..harapan baru. Dan saya percaya secara peribadi, bahawa Y.A.B. Datuk Seri Najib telah bersedia sepenuhnya serta mampu untuk memenuhi harapan seluruh rakyat Malaysia agar suasana ekonomi serta keadaan politik semasa dapat ditangani dengan sebaik-baiknya. Y.A.B. Datuk Seri Mohd Najib mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam pentadbiran pusat serta negeri. Beliau telah berjaya mentadbir Negeri Pahang Darulmakmur dengan berkesan ketika memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang sewaktu usia yang begitu muda. Diperingkat pusat pula, beliau telah menerajui banyak kementerian serta berjaya memimpin setiap kementerian yang telah diamanahkan kepada beliau dengan begitu cermerlang sekali. Maka ini semua lah yang menjadi bekalan ataupun tiang pengukur kepada kejayaan Y.A.B. Datuk Seri Mohd. Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 nanti, segalanya telah terbukti beliau memang mampu serta berkebolehan tinggi...,walau apa-apapun tanggapan umum terutamanya pembangkang terhadap beliau sehingga tergamak menaburkan berbagai-bagai fitnah kepada beliau walaupun sehingga ke saat akhir bermulanya Majlis Angkat Sumpah sebagai Perdana Menteri di langsungkan, namun Tuhan Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui...,Y.A.B. Datuk Seri Mohd Najib kini sah sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah di Perkenankan Oleh KDYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kepada Y.A.B. Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak...Setinggi-tinggi ucapan SYABAS serta TAHNIAH saya kalungkan, semoga Datuk Seri berjaya dan terus berjaya membawa Malaysia ke puncak kejayaan walaupun mungkin dirintangi dengan berbagai halangan. Selamat Maju Jaya Datuk Seri Perdana Menteri yang baru, dan selamat bertugas.
Posted by Picasa

Arkib Blog