Apabila anda berkunjung sebagai pelancong untuk pertama kali ke negeri Sabah dan setelah itu pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu misalnya ataupun di Lapangan Terbang Sandakan dan turun dari pesawat lalu berjalan menuju ke balai ketibaan pasti anda akan di sambut dengan tarian tradisi kaum tertentu di Sabah.
Malangnya, beberapa tahun sejak kebelakangan ini apabila saya memerhati dengan penuh minat berkenaan dengan promosi yang dibuat oleh agensi pelancongan negeri Sabah, apa yang berlaku ialah tanpa mereka sedari bahawa secara perlahan-lahan pihak agensi yang bertanggungjawab didalam usaha memajukan industri pelancongan di Sabah telah melenyapkan identiti sebenar budaya kaum di Sabah dengan keghairahan mereka cuba untuk memperkenalkan identiti baru bagi memperkenalkan Sabah kepada pelancong luar.
Ini boleh anda lihat sendiri apabila sewaktu kehadiran anda dipintu utama Lapangan Terbang tertentu di Sabah pasti anda akan disambut oleh mereka yang bertindak dibarisan hadapan sebagai penyambut pelancong mengenakan pakaian tradisional yang menyerupai pakaian masyarakat Iban di Sarawak sepertimana gambar yang terdapat diatas. Pada hal, seingat saya sebelum inipun atau lebih kurang sepuluh tahun yang lalu bahawa pakaian tradisional seperti itu tiada pun wujud didalam galeri budaya ataupun arkib-arkib kebudayaan di Sabah. Tetapi mengapa kini ianya semakin menjadi suatu kebiasaan pula di Sabah.
Bagi saya, negeri Sabah yang sudah dikurniakan dengan alam semulajadi tercantik didunia dengan wujudnya pulau-pulau yang paling indah, Pusat menyelam terbaik di Malaysia, pantai yang bersih, Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara, Taman Hidupan Liar yang memiliki berjenis-jenis hidupan didalamnya baik haiwan ataupun tumbuh-tumbuhan dan sebagainya lagi sudah memadai untuk membuat para pelancong asing dan tempatan terpegun dan terpesona.
Oleh itu saya berpendapat adalah tidak perlu bagi Kementerian Pelancongan di Sabah untuk memberi kebenaran kepada agensi dibawahnya mempergunakan ciri-ciri budaya yang terdapat di negeri Sarawak untuk tujuan menjayakan industri pelancongan di Sabah. Di Sabah, penduduknya yang terdiri dari berbagai kaum sudah pasti ada budaya serta pakaian tradisional mereka sendiri maka adalah lebih baik kekalkan budaya yang mereka ada dan pamerkannya kepada para pelancong yang melawat Sabah tanpa perlu mengubah apa yang sudah ada.
Walaupun saya sedar bahawa di Sabah juga terdapat masyarakatnya terdiri dari kaum Iban, namun jumlahnya adalah kecil dan mereka adalah kaum minoriti di sana berbanding dengan di Sarawak mereka adalah kaum yang terbesar. Saya rasa jika perkara ini tidak diambil perhatian serius oleh Kementerian Pelancongan Sabah ataupun agensi berkaitan, adalah tidak mustahil suatu hari nanti apabila budaya baik tarian atau pakaian tradisi kaum yang ada di Sabah seperti kaum Kadazan, Bajau, Sulu, Tidong dan lain-lain lagi akan hilang akibat dari penyisihan terhadap budaya yang ada di Sabah sendiri.
Pihak Kementerian Pelancongan di Sabah harus peka dengan perkara ini kerana jika di sentuh dari segi pakaian sesuatu kaum itu, pakaian seperti mengenakan topi yang dihiasi dengan bulu burung ruai atau burung merak hutan, baju tradisional yang berwarna-warni dengan biji-biji manik adalah sinonim dengan kebudayaan yang ada di negeri Sarawak sejak dulu lagi tetapi ianya tidak terdapat di Sabah. Maka inilah yang mengelirukan, percayalah apabila pelancong asing disajikan dengan tarian ataupun disambut oleh penyambut pelancong yang memakai pakaian tradisi kaum serupa dengan yang ada di Sarawak tentu sekali mereka akan keliru berfikir, apakah saya berada di Sabah atau di Sarawak ?
Perkara ini tidak sihat sebenarnya untuk industri pelancongan di Sabah ataupun Sarawak kerana apa yang perlu ialah kedua-kedua negeri ini haruslah menawarkan sesuatu yang berbeza kepada para pelancong baik yang datang dari dalam Malaysia sendiri mahupun pelancong dari luar. Sarawak dan Sabah perlu memperlihatkan kepada pelancong serta masyarakat luar bahawa keduanya mempunyai kepelbagaian kaum serta budaya kerana jika tidak, pasti salah satu daripada dua negeri ini akan mengalami kemerosotan dari segi kedatangan pelancong dan yang pasti akan memberi kesan yang sangat tidak baik kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat yang bergantung kepada industri pelancongan sebagai sumber rezeki mereka.