Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Memaparkan catatan dengan label SUPP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUPP. Papar semua catatan

Selasa, Disember 13, 2011

Krisis SUPP: Richard Riot akan jadi pemimpin boneka dalam parti...

Memang ramai yang berasa terkejut dan gembira dengan perlantikan Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot sebagai Timbalan Presiden Parti SUPP yang baru bergandingan dengan Presiden yang juga baru dipilih Datuk Seri Peter Chin Fah Kui kerana inilah kali pertama dalam sejarah Parti Bersatu Rakyat Sarawak yang berasaskan kaum Cina itu apabila mereka sudi menerima seorang pemimpin dari kaum Bumiputera sebagai orang nombor dua di dalam parti.

Namun selepas ini mungkin akan ada lagi kejutan baru dilakukan oleh SUPP apabila parti berkenaan sedang merancang untuk meminda perlembagaan parti selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan. Antara cadangan pindaan adalah pada Seksyen 19(5) kepada "untuk memilih ahli Jawatankuasa Pusat" -presiden, dua timbalan presiden, setiausaha agung dan bendahari. Selain itu, Seksyen 21(1)(2) perkataan '1 Presiden' diganti kepada '2 Timbalan Presiden'.

Pindaan turut akan dibuat pada Seksyen 27(1)(a) iaitu terhadap Jawatankuasa Kerja Pusat yang akan merangkumi; Presiden, Timbalan Presiden I, Timbalan Presiden II, Bendahari, Timbalan Setiausaha Agung I, Timbalan Setiausaha Agung II, Setiausaha Kerja, Setiausaha Penerangan dan Publisiti, Empat Naib Presiden, Naib Presiden Pengerusi Sayap Pemuda Pusat, Naib Presiden Sayap Wanita Pusat, Penolong Bendahari, Penolong Setiausaha Kerja, Penolong Setiausaha Penerangan dan Publisiti, tiga Ahli Biasa Jawatankuasa Kerja Pusat dipilih daripada kalangan Ahli Jawatankuasa Kerja di cawangan bukan konstituensi dan tiga ahli biasa Jawatankuasa Kerja Pusat dilantik oleh presiden parti daripada kalangan ahli Jawatankuasa kerja - sumber Utusan Borneo 12 December 2011, Isnin.

Sekiranya cadangan pindaan tersebut mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) maka jawatan yang akan menjadi tumpuan selepas ini adalah jawatan Timbalan Presiden parti. Sebelum ini, belum pernah ada lagi bagi mana-mana parti di negara ini baik yang berada dalam komponen Barisan Nasional mahupun pembangkang yang mengamalkan sistem dua timbalan presiden untuk satu parti tetapi itulah yang akan berlaku dalam SUPP.

Apabila ini berlaku, sudah tentulah kedudukan Datuk Richard Riot sebagai Timbalan Presiden SUPP akan menimbulkan suatu tandatanya. Apakah beliau selepas pindaan terhadap beberapa Seksyen berkaitan berjaya dibuat nanti akan diletak sebagai Timbalan Presiden II dan untuk jawatan Timbalan Presiden I pula akan diberikan kepada salah seorang pemimpin dari masyarakat berketurunan Cina sebagaimana pada kelazimannya.

Kesimpulannya disini ialah, perlantikan Datuk Richard Riot sebagai seorang Timbalan Presiden SUPP sebenarnya tidak lebih hanyalah merupakan satu usaha oleh pihak tertentu di dalam parti bertujuan untuk mengambil hati semua ahli-ahli parti dari kaum Bumiputera khususnya kaum Dayak agar terus bersama dengan SUPP dan akhirnya peranan atau kuasa sebagai Timbalan Presiden parti tentu sekali akan diserahkan kepada seorang pemimpin bukan Bumiputera dan peranan Datuk Richard Riot sebagai Timbalan Presiden dalam parti akan jadi lebih kurang sama seperti sepohon bunga yang hanya untuk menghiasi sebuah taman.

Dan jika ini yang berlaku, maka itulah sebenarnya tujuan oleh pihak tertentu di dalam SUPP yang mahu agar pindaan dilakukan terhadap Perlembagaan dalam parti.

Isnin, Disember 12, 2011

Krisis SUPP: kaum Dayak terus berpecah berikutan pergolakan Wong-Chin

Pergolakkan yang berlaku di dalam Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bukan saja bakal menyaksikan berlakunya perpecahan bagi golongan masyarakat Cina di Sarawak tetapi juga akan menyaksikan bagaimana bertambah satu lagi perpecahan bagi kaum terbesar di Bumi Kenyalang ini iaitu orang Dayak.

Jika bagi kaum Cina di Sarawak, keretakan di kalangan komuniti berkenaan akibat dari pengaruh fahaman politik yang melampau tidaklah seteruk yang dialami oleh masyarakat Dayak yang kini sudahpun mengalami perpecahan kepada sepuluh dimana mereka sedang giat berusaha mengumpul sebanyak mungkin para penyokong untuk menegakkan perjuangan kumpulan masing-masing.

Dalam dunia politik, kaum Cina Sarawak hanya terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu SUPP, DAP serta PKR dan mereka tidak akan lari jauh dari ketiga-tiga parti berkenaan jika timbul sebarang perselisihan faham antara sesama mereka. Jika berlaku perbalahan yang tidak mampu diselamatkan contohnya dalam SUPP mereka akan lari ke dalam DAP atau PKR dan begitu juga jika berlaku sebarang pertikaian dalam DAP ataupun PKR mereka akan mencari SUPP.

Berlainan pula dengan masyarakat Dayak yang kini kaum mereka turut menganggotai semua parti yang terdapat di Sarawak selain menjadi pemimpin kepada beberapa buah parti politik utama di negeri ini. Dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ahli serta pemimpin dari keturunan Dayak telah membentuk satu kumpulan tersendiri dan begitu juga di dalam Parti PRS, Parti SPDP, Parti SNAP, Parti SUPP, Parti PKR, Parti DAP, Parti STAR, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim di mana kaum Dayak telah terbentuk kepada sepuluh kumpulan.

Sebagai kaum majoriti yang terbesar di Sarawak, masyarakat Dayak sebenarnya tidak menyedari bahawa semakin banyak kumpulan yang mereka sertai atau wujudkan demi untuk mendapat kuasa di Bumi Kenyalang maka semakin kecil pula sebenarnya kuasa yang mereka perolehi dan ini sudah tentu sekali tidak memungkinkan untuk mereka mendapat kuasa menjadi pemerintah di negeri ini.

Begitulah seterusnya dengan apa yang sedang berlaku ke atas Parti SUPP kini berikutan konfrontasi di antara kumpulan Datuk Sri Wong Soon Koh dengan kumpulan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui di mana ahli-ahli serta pemimpin SUPP berketurunan Dayak turut berada di dalam kedua-dua kem berkenaan serta mempertahankan ketua masing-masing dan ini sebenarnya telah menyumbang satu lagi perpecahan bagi Dayak di Sarawak dan menjadikan kaum tersebut kini sudahpun berpecah kepada sebelas kumpulan.

Ahad, Disember 11, 2011

Krisis SUPP: Kumpulan Wong mendapat restu daripada KM Sarawak

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Hj Mohd Najib Tun Razak telah merasmikan Persidangan Perwakilan Delegasi (TDC) SUPP kali yang ke-22 di Bandaraya Kuching tanpa kehadiran Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud dan juga sekumpulan pemimpin SUPP yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh.

Apa yang kita perlu beri perhatian adalah kumpulan SUPP yang dipimpin oleh Dato Sri Wong Soon Koh telah mendapat sokongan yang begitu padu daripada kalangan tokoh-tokoh perniagaan terkemuka di negeri Sarawak yang rata-rata mereka adalah pemilik kepada beberapa syarikat besar dan terkemuka di Bumi Kenyalang ini.

Manakala tokoh-tokoh pernigaan terkenal Sarawak yang sangat rapat dengan Pehin Sri Taib Mahmud seperti Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau, Datuk Wong Kie Nai dari WTK Group, Tan Sri Datuk Ling Chiong Hoe dari Shin Yang Group, Mr Lau Swee Ngoung dari Hua Seng Group, Tan Sri Hii Cham Pee dari Interhill Group, Tan Sri Datuk Yaw Teck Seng dari Samling Group dipercayai lebih cenderung untuk menyokong Dato Sri Wong Soon Koh sebagai Presiden SUPP yang baru kerana sebagai anak Cina Sibu mereka tentu sekali berpendapat bahawa parti berkenaan perlu diterajui semula oleh pemimpin Cina Foochow dari Sibu iaitu setelah beberapa tahun dipimpin oleh Cina Miri.

Tanpa kelibat Ketua Menteri Sarawak pada majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri yang Pengerusi Barisan Nasional pusat itu semalam telah menguatkan lagi beberapa andaian yang mengatakan bahawa Pehin Sri Taib secara berselindung lebih menyukai kepimpinan Dato Sri Wong Soon Koh untuk menerajui SUPP jika dibandingkan dengan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Dengan hanya mewakilkan Datuk Sri Abang Johari Tun Abang Openg bagi menggantikan dirinya pada majlis persidangan TDC itu, Pehin Sri Taib nampaknya lebih selesa untuk menghadiri majlis lain iaitu bermesyuarat dengan rakan sejawatannya dari negeri Kerala India, Oomen Chandy yang kalau dikira boleh diwakilinya kepada YB Datuk Sri Awang Tengah Awang Ali Hassan sebab sebagai Pengerusi BN Sarawak memang perlu bagi Ketua Menteri untuk hadir bersama pada majlis berkenaan bagi meniup semangat semua ahli-ahli SUPP yang hadir.

Untuk rekod juga, semua pemimpin yang menyebelahi Dato Sri Wong Soon Koh di dalam pertelagahan antaranya dengan Datuk Seri Peter Chin bagi merebut jawatan sebagai Presiden SUPP yang baru seperti Datuk Lee Kim Shin, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Tiong Thai King, YB Jerip Susil, YB Ranum Mina dan YB Dr Johnical Rayong adalah merupakan mereka yang disenangi oleh YAB Ketua Menteri Sarawak dan mereka itu juga turut memboikot majlis perasmian yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib semalam.

Ahad, Ogos 22, 2010

SUPP tidak mungkin akan keluar daripada Barisan Nasional !


Seingat saya tiada masalah yang terlalu besar sangat telah atau juga sedang dihadapi oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak atau SUPP dengan anggota-anggota lain didalam Gabungan Barisan Nasional terutamanya dengan rakan-rakan dalam BN Sarawak.

Apa yang berlaku sebelum ini hanyalah masalah dalaman SUPP sendiri termasuk krisis kepimpinan yang belum tahu lagi status penyelesaiannya samada mereka sudah berdamai atau mereka kini masih bermasam muka.

Dan antara pemimpin didalam SUPP yang ada membuat kenyataan seolah-olah cuba mengesahkan berita tersebut diperingkat orang ramai walaupun ianya tidak wajar dilakukan kerana tidak selari dengan semangat setiakawan dalam BN adalah Datuk Sim Kheng Hui.

Apa yang boleh ditafsirkan ialah, tindakan mendedahkan sesuatu perkara berkaitan dengan parti kepada media juga kepada umum seperti yang telah dilakukan oleh Datuk Sim Kheng Hui dilihat semata-mata percubaan beliau untuk mengheret SUPP bersama kedalam masalah yang sedang beliau serta rakan-rakan sehaluan dengan kumpulannya hadapi sekarang. Itulah mungkin boleh dikatakan sebagai usaha untuk menagih simpati semata-mata.

Jika dengan rakan-rakan komponen dalam BN Negeri, SUPP tidak banyak krisis seperti Parti Rakyat Sarawak(PRS) yang memang sering tidak sebulu dengan SUPP dalam soal pengagihan kerusi kerana masing-masing pemimpin kedua parti ini mempunyai pandangan yang tidak membina kearah perpaduan sesama parti, sesama pemimpin serta sesama rakyat dan mereka lebih suka memilih jalan bertelagah walaupun mereka sedar bahawa tindakan sedemikian tidak akan membawa sebarang makna kepada BN secara keseluruhannya.

Saya tidak nampak atas alasan apa perlu untuk SUPP mengundur diri daripada gabungan BN kerana jika dilihat dari cara bekerja SUPP Cawangan Miri dalam mendekati rakyat serta pengundi mereka boleh dikatakan hampir setiap masa kita lihat pemimpin SUPP Miri berkunjung serta meninjau kawasan-kawasan pilihan raya mereka dan inilah yang dituntut oleh Kepimpinan BN.

Namun bagi SUPP Cawangan Sibu usaha seperti itu sekarang tetap diteruskan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh bekas MP Sibu mendiang Robert Lau Hoi Chew sebelum meninggal dunia.

Dan kita boleh bertanya, bagaimana pulak dengan perjalanan SUPP dibahagian Kuching kawasan Datuk Sim Kheng Hui menabur bakti dan tidakkah mereka sama-sama turut berdengkur sehingga ada orang lain datang mengejutkan...

Isnin, April 12, 2010

PRK Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew calon yang dicadang untuk BN.

Walaupun tarikh untuk mengumumkan nama calon serta tarikh bagi penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bandar Sibu Sarawak belum ditentukan lagi, namun bagi Parti SUPP daripada Barisan Nasional, mereka telahpun ada satu nama yang memang tidak asing lagi bagi penduduk di Sibu khususnya dan sekitar Sarawak amnya.

Robert Lau Hui Yew 45, merupakan seorang peguam lulusan dari University of Hull, United Kingdom yang juga adalah seorang Pengarah bukan Ekskutif kepada sebuah syarikat perladangan sawit iaitu BLD Plantation Bhd.

Anak lelaki ketiga kepada seorang hartawan serta dermawan terkemuka di Sarawak, iaitu Pengarah Hua Seng Group & Company Encik Lau Swee Nguong.

Menurut Pengerusi SUPP Cawangan Sibu, YB Datuk Sri Dr. Wong Soon Koh, nama Robert Lau Hui Yew yang dicadangkan itu telahpun dikemukan kepada Presiden Parti YAB Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam bagi mendapatkan persetujuan.

Bagi saya, apabila nama Robert Lau Hui Yew disebut sebagai bakal calon BN untuk PRK Parlimen Bandar Sibu, maka saya sangat bersetuju dan pasti akan memberi sokongan 100%.

Ada banyak sebab mengapa saya menyatakan bahawa saya bersetuju dan akan menyokong jika beliau bakal dipilih sebagai calon pada PRK Parlimen Bandar Sibu itu nanti antaranya ialah kerana berdasarkan latar belakang keluarga beliau yang berasal dari keluarga yang susah pada mulanya namun berkat kegigihan dan ketabahan bapa beliau iaitu En. Lau Swee Nguong untuk mengubah nasib keluarga disamping membuka peluang kerja kepada penduduk tempatan dan kini mereka telah berada ditempat yang selayaknya namun keluarga ini tidak pernah lupa kepada pihak yang sangat memerlukan.

Selain itu, keluarga Robert terutama bapa beliau iaitu En. Lau Swee Nguong juga merupakan penyokong kuat kepada kerajaan Barisan Nasional sejak dari dulu lagi sehingga kini. Keluarga ini juga sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada semua perjuangan yang dilakukan oleh kerajaan BN dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat disekitar kawasan perusahaan mereka.

Sebagai salah seorang bekas pekerja diantara ribuan pekerja yang pernah berkhidmat dengan syarikat milik keluarga ini, saya berpendapat adalah tindakan tepat bagi SUPP jika mereka tetap memilih saudara Robert Lau Hui Yew sebagai calon mereka nanti untuk mewakili BN kerana sebagai rakyat biasa kita tetap mahukan seorang wakil rakyat yang rajin, senang didekati, mesra dengan semua kaum. Saya tahu bahawa ciri-ciri ini memang ada pada saudara Robert sebagaimana sifat yang ada pada ayah beliau yang suka dekat dengan masyarakat setempat.

Sabtu, April 11, 2009

Kabinet Baru: SUPP kecewa Datuk Richard Riot tidak disenaraikan.

Berikutan dengan rombakkan kabinet baru oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib dan pengumuman mengenainya telahpun dibuat pada Khamis, 09 April yang baru lalu serta majlis angkat sumpah memegang jawatan juga sudah dilangsungkan pada pagi Jumaat, 10 April 2009, maka banyak kita mendengar kalangan yang menyuarakan perasaan puashati dan setuju dengan perlantikkan yang telah diputuskan itu, namun dalam pada itu tentu masih ada lagi suara yang kedengaran menyatakan perasaan kecewa masing-masing berhubung dengan perlantikkan itu, lalu tampil dengan hujah-hujah tersendiri.

Oleh itu saya ingin berkongsi sedikit bahan dengan semua mengenai dengan ketidakpuasan hati Presiden SUPP, YAB Datuk Patinggi Dr George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak bila diminta mengulas tentang barisan kabinet baru itu sebagaimana yang telah disiarkan didalam akhbar Utusan Borneo(ruangan tempatan) muka surat 5 bertarikh Jumaat,10 April 2009. Kenyataan akhbar itu adalah seperti berikut;

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP)kecewa kerana Datuk Richard Riot Jaem tidak disenaraikan dalam rombakkan barisan kabinet pusat yang diumumkan semalam.

Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan meluahkan kekecewaannya semalam dan menegaskan perwakilan Sarawak dalam kabinet persekutuan tidak selaras dengan jumlah Ahli Parlimen(AP).

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, parti itu sudah lama menaruh harapan untuk meletakkan seorang wakil Bidayuh dalam kerajaan pusat.

"Dalam beberapa segi, saya gembira kerana SUPP mengekalkan beberapa jawatan, namun saya masih menaruh harapan kerana Riot telah menjalankan tugas yang sangat baik sebagai AP yang mewakili kawasan Bidayuh. "Beliau(Riot) seharusnya menduduki beberapa jawatan untuk membina hubungan baik dengan pihak persekutuan..,SUPP sangat kecewa," katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Chan memberi jawapan yang jujur dan positif bila ditanya samada nama Riot turut disyorkan oleh parti dalam rombakkan tersebut.

Bila ditanya mengenai jumlah nama yang dikemukakan, beliau berkata:"Kita hanya berharap agar kita dapat melihat kaum Bidayuh di Sarawak diwakili dalam kabinet pusat. "Perwakilan kita dalam kabinet pusat tidak selaras dengan jumlah AP(dari Sarawak)," ujarnya lagi.

Riot tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan semalam. Tiga AP dari SUPP dikekalkan di dalam kabinet pusat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinet baru selepas jam tiga petang semalam.

Mereka adalah Setiausaha penganjur Parti, Datuk Peter Chin yang dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dab Air, dan dua Naib Presiden Datuk Robert Lau(Timbalan Menteri Pengangkutan) dan Datuk Yong Khoon Seng(Timbalan Menteri Kerjaraya). Hanya Yong mengekalkan portfolio beliau sementara Chin sebelum ini menjadi Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi dan Lau sebagai Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan ditukar ke portfolio baru.

Pada pandangan saya, apa yang telah disuarakan oleh YAB Dr Chan seperti yang ada diatas sememangnya masih kurang jelas, sebab sebelum dia menghantar nama-nama bagi mewakili parti SUPP sebagai menteri dan timbalan menteri di pusat untuk diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, tentu sekali dia sudah faham mengenai jumlah kouta yang telah ditetapkan untuk sesebuah parti termasuk parti SUPP. Bagi saya sekiranya beliau betul-betul ingin melihat adanya wakil dari kalangan kaum Bidayuh berada di dalam kabinet pusat, maka beliau haruslah mengorbankan salah seorang daripada tiga menteri Cina SUPP itu agar ada laluan untuk Datuk Richard Riot dilantik ke jawatan tertentu didalam kabinet persekutuan. Dalam hal ini saya rasa walaupun keputusan ditangan Perdana Menteri tetapi pada hakikatnya memang Perdana Menteri akan menerima senarai nama menteri yang dicalonkan jika ianya hanya mencukupi kouta, misalnya seandainya kouta telah ditetapkan 3 orang untukSUPP dan nama yang diketengahkan juga 3 orang, maka Perdana Menteri akan menerima saja sebab tiada pilihan lain. Tetapi jika kouta diberi kepada SUPP 3, tapi Dr Chan syorkan 5 nama kepada Perdana Menteri untuk dibuat pertimbangan, maka tentu sekali ada pilihan..dan tentu sekali YAB Datuk Seri Najib akan meneliti semua latar belakang termasuk hal yang berkaitan dengan kepentingan kaum-kaum yang ada di Sarawak, sebelum memilih 3 orang daripada 5 orang itu tadi.

Itu adalah pendapat saya, jika anda setuju dan tidak setuju..komen anda bagaimana pula?

Arkib Blog