Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Ahad, April 18, 2010

MP 207 Igan, lantik 100 lepasan sekolah sebagai wakil rakyat melalui Facebook


DARO: Sabtu 17 April - Kira-kira 100 lepasan sekolah dari 18 buah kampung di kawasan Parlimen Igan hari ini berpeluang menjadi 'wakil rakyat' yang berperanan melaporkan aktiviti sekitar kampung mereka menerusi internet khususnya laman sosial Facebook.

Perkara ini dapat dilakukan menerusi 23 unit komputer riba lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar yang diberikan kepada mereka oleh Anggota Parlimen kawasan itu YB Datuk Wahab Haji Dollah.

"Banyak aktiviti dan masalah di kampung yang lambat sampai ke pengetahuan pihak berwajib dan melalui Facebook yang popular ketika ini kita yakin anak-anak ini boleh menjadi wakil kepada penduduk kampung untuk memaklumkan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui wartawan.

Beliau yang sebelum itu melancarkan Kelab Facebook P207 Igan berkata langkah memberikan komputer dengan kemudahan jalur lebar tersebut juga bertujuan mendedahkan generasi muda di kawasan luar bandar dengan internet.

YB Datuk Abdul Wahab juga merancang untuk menambah 100 lagi komputer riba kepada lepasan sekolah di kawasan Parlimennya menjelang akhir tahun ini.

"Sekiranya mendapat sambutan baik, kita akan tambah lagi jumlah yang sedia ada termasuk akan memberi kepada ketua masyarakat untuk setiap kampung," katanya menambah pemberian komputer riba itu melibatkan kos sebanyak RM50,000 dan merupakan sumbangan peribadinya. -Bernama dan sumber(via Mingguan Sarawak edisi Ahad 18 April 2010)

Komen;
...bertuahnya rakyat di kawasan Parlimen Igan kerana mempunyai seorang wakil rakyat yang begitu pemurah dan sentiasa bersedia menerima pembaharuan.
Parlimen Igan terletak diantara Parlimen Tanjung Manis dengan Parlimen Mukah di Sarawak dan berkedudukan di sepanjang pesisir pantai Laut China Selatan.

Majoriti penduduk di kawasan Parlimen Igan adalah kaum Melanau dan lebih 90%daripada mereka beragama Islam. Kegiatan ekonomi utama penduduk dikawasan Parlimen Igan sama juga seperti di Parlimen Tanjung Manis dan Mukah adalah sebagai nelayan dan juga petani.

Kepada rakyat di Parlimen Igan, anda sekalian sangat beruntung kerana tidak tersalah pilih sewaktu mengundi dengan terus memberi sokongan padu kepada YB Datuk Abdul Wahab Haji Dollah sebagai pemimpin anda semua.

Walaupun tidak menyerlah ketika berada didalam Dewan Rakyat, namun YB Datuk Abdul Wahab apabila balik ke kawasan Parlimennya beliau sentiasa turut padang serta sering mengunjungi rakyat dan rapat dengan mereka.

Dan inilah sikap yang harus ada pada setiap wakil rakyat BN di seluruh Sarawak dan sikap ini juga sudah ada pada diri bakal calon BN daripada SUPP untuk P212 Sibu iaitu Robert Lau Hui Yew, beliau serta hampir keseluruhan keluarga termasuk bapa dan kedua-dua abangnya memang dikenali oleh rakyat bukan setakat di Sibu saja malah hampir di seluruh Sarawak.

Salam Takziah - Achik Spin maut dalam kemalangan jalanraya


Penyanyi kumpulan Spin, Abdillah Murad Md Shari atau lebih dikenali dengan panggilan Achik 28 tahun, meninggal dunia setelah terlibat didalam nahas ngeri jalanraya di KM 14 Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn Bhd(Lekas) petang semalam.

Dalam tempoh sebulan dunia hiburan tanah air telah kehilangan dua daripada penggiat seni.

Dikesempatan ini saya sebagai salah seorang daripada jutaan penyokong senyap industri seni di negara ini ingin menyampaikan ucapan Takziah kepada semua ahli keluarga Achik, supaya mereka semua tabah dan sabar dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini, maka kita semua mendoakan semoga roh Allahyarham akan dicucuri dengan rahmat serta ditempatkan dikalangan mereka-mereka yang soleh. Amin.

Khamis, April 15, 2010

Letak saja calon UMNO di Hulu Selangor...


Lebih kurang empat jam dari sekarang iaitu pada jam 4 petang ini pengumuman nama calon akan berlangsung dan ianya akan diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional yang juga Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa yang sangat diharapkan ialah akan ada kejutan yang tak terduga dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin pada petang nanti ketika mengumumkan nama calon serta dari parti mana.

Sebagai pemerhati atas pagar, saya tetap mengharapkan agar calon dari UMNO akan diletakkan disitu sekiranya Barisan Nasional benar-benar sudah berubah serta betul-betul berhasrat untuk merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada tangan Pakatan Pembangkang.

Selasa, April 13, 2010

Dr Pornthip kalau takut boleh bersembunyi di Kedutaan Turki...



Bagi saya, apa juga alasan Pakar Patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand untuk tidak mahu datang ke Malaysia berhubung dengan perbicaraan kes kematian Teoh Beng Hock adalah alasan palsu dan sengaja direka-reka untuk mengelak kemampuan sebenar beliau sebagai seorang pakar patologi yang profesional tidak dipertikaikan.

Mudah saja, Dr Rojanasunand memang berbohong apabila beliau mengatakan keengganan beliau untuk datang ke Malaysia kerana bimbangkan keselamatan dirinya apabila mendakwa telah menerima tekanan daripada kerajaan Malaysia.

Apa dia ingat Malaysia ini sama seperti negara Thailand yang bergolak sepanjang masa..demonstrasi 24jam, rusuhan tanpa mengira waktu...pilih kerajaan buang kerajaan, tak sampai seminit dapat Perdana Menteri baru disuruh letak jawatan semula...bila lagi rakyat dapat bernafas hidup dalam negara seperti itu.

Lagi satu, kalau dia iaitu Dr Porthip yakin yang dakwaan beliau dulu bahawa 80% mendiang TBH mati dibunuh maka beliau memang harus datang untuk membuktikan dakwaan beliau itu tidak palsu.

Oleh itu, jika dia sudah berada dalam negara Malaysia dan sekiranya beliau mungkin merasakan keselamatan dirinya terancam maka beliau bolehlah ikut jejak seseorang yang pernah lari ke Pejabat Keduataan Turki kalau tak silap saya hujung bulan June 2008 dulu dan bersembunyi disitu selama dua hari bagi mengelak dari dikesan orang yang datang untuk menyerang serta membunuh...hehehehe

Isnin, April 12, 2010

PRK Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew calon yang dicadang untuk BN.

Walaupun tarikh untuk mengumumkan nama calon serta tarikh bagi penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bandar Sibu Sarawak belum ditentukan lagi, namun bagi Parti SUPP daripada Barisan Nasional, mereka telahpun ada satu nama yang memang tidak asing lagi bagi penduduk di Sibu khususnya dan sekitar Sarawak amnya.

Robert Lau Hui Yew 45, merupakan seorang peguam lulusan dari University of Hull, United Kingdom yang juga adalah seorang Pengarah bukan Ekskutif kepada sebuah syarikat perladangan sawit iaitu BLD Plantation Bhd.

Anak lelaki ketiga kepada seorang hartawan serta dermawan terkemuka di Sarawak, iaitu Pengarah Hua Seng Group & Company Encik Lau Swee Nguong.

Menurut Pengerusi SUPP Cawangan Sibu, YB Datuk Sri Dr. Wong Soon Koh, nama Robert Lau Hui Yew yang dicadangkan itu telahpun dikemukan kepada Presiden Parti YAB Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam bagi mendapatkan persetujuan.

Bagi saya, apabila nama Robert Lau Hui Yew disebut sebagai bakal calon BN untuk PRK Parlimen Bandar Sibu, maka saya sangat bersetuju dan pasti akan memberi sokongan 100%.

Ada banyak sebab mengapa saya menyatakan bahawa saya bersetuju dan akan menyokong jika beliau bakal dipilih sebagai calon pada PRK Parlimen Bandar Sibu itu nanti antaranya ialah kerana berdasarkan latar belakang keluarga beliau yang berasal dari keluarga yang susah pada mulanya namun berkat kegigihan dan ketabahan bapa beliau iaitu En. Lau Swee Nguong untuk mengubah nasib keluarga disamping membuka peluang kerja kepada penduduk tempatan dan kini mereka telah berada ditempat yang selayaknya namun keluarga ini tidak pernah lupa kepada pihak yang sangat memerlukan.

Selain itu, keluarga Robert terutama bapa beliau iaitu En. Lau Swee Nguong juga merupakan penyokong kuat kepada kerajaan Barisan Nasional sejak dari dulu lagi sehingga kini. Keluarga ini juga sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada semua perjuangan yang dilakukan oleh kerajaan BN dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat disekitar kawasan perusahaan mereka.

Sebagai salah seorang bekas pekerja diantara ribuan pekerja yang pernah berkhidmat dengan syarikat milik keluarga ini, saya berpendapat adalah tindakan tepat bagi SUPP jika mereka tetap memilih saudara Robert Lau Hui Yew sebagai calon mereka nanti untuk mewakili BN kerana sebagai rakyat biasa kita tetap mahukan seorang wakil rakyat yang rajin, senang didekati, mesra dengan semua kaum. Saya tahu bahawa ciri-ciri ini memang ada pada saudara Robert sebagaimana sifat yang ada pada ayah beliau yang suka dekat dengan masyarakat setempat.

Jumaat, April 09, 2010

YB Datuk Robert H.C. Lau dalam kenangan...

Berita kematian Anggota Parlimen Sibu, YB Datuk Robert Lau Hui Chiew yang telah meninggal dunia pada jam 11.10 pagi tadi di Kuala Lumpur pasti dirasai akan kehilangannya bukan sahaja oleh seluruh ahli keluarga mendiang malah akan tetap turut dirasai oleh seluruh para pengundi kawasan Parlimen Sibu dan juga rakyat Sarawak amnya.

Mendiang yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, pada pendapat saya adalah merupakan seorang wakil rakyat yang sangat mesra dengan rakyat, mudah didampingi dan sentiasa mencari ruang masa untuk berjumpa dengan rakyat apabila balik kekawasan yang diwakilinya walaupun sentiasa sibuk dengan tugas beliau sebagai salah seorang daripada anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Walaupun majoriti pengundi atau penduduk dikawasan Parlimen Sibu adalah terdiri daripada kaum Cina diikuti kumpulan minoriti seperti kaum Iban, Melanau dan Melayu namun mendiang Datuk Robert Lau tidak pernah mempamerkan sikap berat sebelah didalam semua pendekatannya apabila bersama dengan rakyat. Sebagaimana beliau membantu kaum Cina begitu juga layanan mendiang terhadap kaum Bumiputera.

Rakyat Sibu tanpa mengira kaum pasti akan sangat merindui kepimpinan mendiang apabila pemergian beliau disaat khidmatnya sentiasa diperlukan selaku pemimpin yang jujur, sangat rajin melawat kekawasannya tanpa menunggu waktu pilihan raya dan sering memberi perhatian tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dikawasan parlimen beliau namun kini semuanya pasti akan tinggal sebagai sebuah kenangan rakyat buat seorang pemimpin yang terbaik dikalangan mereka yang terbaik.

Buat seluruh ahli keluarga mendiang, diharap mereka bertenang dan bersabar selalu didalam menghadapi situasi sebegini yang semestinya akan dihadapi oleh semua orang tanpa boleh kita elakkan dan apa yang penting ialah hidup ini harus diteruskan.

Salam Takziah dari penulis... 'Glory be to the Father, and of the Son, and to the Holy Spirit. As it was in the beginning, is now and ever shall be world without end. Amen.'

Khamis, April 08, 2010

Dakwaan Anwar & Bush serupa, tiada asas tiada bukti...

Jika dulu Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush bermati-matian menuduh kerajaan Iraq pimpinan Saddam Hussein ada memiliki, menyembunyi serta menyimpan senjata pemusnah besar-besaran dan diakui pula oleh sebuah negara bekas penjajah dunia Britain.

Untuk membuktikan bahawa kononnya dakwaan itu benar, maka George Bush telah berpakat dengan Perdana Menteri Britain ketika itu, iaitu Tony Blair untuk menyerang kerajaan Saddam Hussein bagi membuktikan kepada dunia bahawa tuduhan mereka itu mempunyai asas walaupun jauh disudut hati beliau sendiri tahu bahawa Iraq sebenar tiada mempunyai senjata pemusnah sepertimana yang dikatakan namun itu hanyalah satu tipu muslihat Bush kerana beliau sedar bahawa tuduhan itu perlu dipertahankan bagi membolehkan Amerika Syarikat dan Britain menyerang dan seterusnya menakluki bumi Iraq.

Persoalannya sekarang ialah setelah perlembagaan, undang-undang, kedaulatan, keamanan, keharmonian, maruah bangsa dan negara Iraq sudahpun hancur musnah dipijak-pijak oleh tentera negara penceroboh, Presiden Saddam Hussein berjaya ditangkap, dibicarakan mengikut undang-undang kejam Amerika Syarikat dan menemui ajal ditali gantung apabila Almarhum dihukum gantung sampai mati namun sehingga kini kerajaan Amerika Syarikat tetap gagal mengemukakan sebarang bukti yang Iraq memiliki senjata pemusnah sebagaimana tuduhan yang mereka buat sebelum itu.

Begitu juga dengan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Pembangkang yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menyebut bahawa terdapat "perisik Israel" didalam perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia(PDRM).

Bagi saya, dakwaan yang telah dibuat oleh YB Datuk Seri Anwar itu adalah permainan kata-kata saja dan bukannya betulpun sebabnya jika dakwaan beliau itu memang benar sudah pasti dia akan tampilkan kenyataan itu dengan bukti-buktinya sekali. Dakwaan itu juga samalah seperti dakawaan beliau sebelum ini apabila dikatakan ada lebih 30 Ahli Parlimen BN akan melompat parti untuk menyertai Pakatan Pembangkang sebelum 16 September 2008 bagi menumbangkan kerajaan yang sedia ada.

Begitu juga dengan dakwaan beliau sebelum ini yang menyatakan bahawa keselamatannya terancam sehingga menyebabkan beliau bersembunyi di Pejabat Kedutaan Turki hujung bulan June 2008 dulu kononnya bagi mendapatkan perlindungan tetapi sehingga kini kita semua juga masih belum lagi mendapat tahu akan status sebenar berkenaan dengan dakwaan beliau itu samada ianya benar ataupun palsu.

Oleh itu, selagi masih ada dakwaan-dakwaan seperti itu ditimbulkan tanpa disertakan dengan bukti-buktinya sekali maka selama itulah ianya tetap akan menjadi satu tandatanya tak berkesudahan kepada kita semua.

Rabu, April 07, 2010

Dunia Artis ~ Ameng Springs pula direman 3 hari...

KUALA LUMPUR 7 April - Penyanyi kumpulan Springs, Ameng direman tiga hari bermula hari ini oleh Mahkamah Jalan Duta, dekat sini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah, Ahmad Shakib Ismail pada kira-kira pukul 11 pagi tadi - Utusan.

Komen;
...inilah, Benjy dan Badrul Muhayat masih lagi dalam tahanan reman kini Ameng pulak yang menyusul. Apalah nak jadi dengan artis-artis negara kita. Artis-artis ada persatuan tersendiri tetapi bagaimana semua ini boleh jatuh keatas mereka.

Ameng sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa beliau adalah seorang anggota serta vokalis kepada kumpulan rock Springs yang terkenal pada pertengahan tahun 1980-an dan 1990-an dengan lagu-lagu hits mereka seperti 'Butakah Cinta, Sejujur Mana Kata-kata, Sampai Hati, Pesanan Buat Kekasih, Cempaka Di Rembulan, Sepi Tanpa Cinta dan sebuah lagu top mereka yang paling lama bertahan dicarta teratas dalam rancangan lagu-lagu paling popular minggu ini di RTM pada tahun 1996 dan 1997 iaitu Kita Di Takdir Jatuh Cinta.'

Penahanan Ameng adalah difahamkan berkaitan dengan kes SMS yang dikatakan telah dikirim melalui telefon bimbit milik beliau kepada bekas isterinya yang kandungan SMS itu didakwa mempunyai unsur-unsur ugutan.

Sebagai salah seorang daripada ribuan peminat kepada kumpulan ini, saya harap agar kes-kes yang telah keatas mereka ini perlu dijadikan sebagai sempadan kepada rakan-rakan artis mereka yang lain supaya sentiasa menjaga nama baik dari terus tercemar hanya kerana isu-isu yang tidak sepatutnya dilalui oleh mereka.

Artis seperti mereka ini harus ingat selalu, walaupun mereka sudah kurang aktif lagi pada waktu ini sebagaimana pada zaman kemuncak mereka dulu, namun para peminat tidak pernah melupakan mereka dan nama serta lagu-lagu mereka akan tetap tersemat didalam ingatan dan oleh itulah maka wajarlah artis-artis ini turut untuk menghargai akan ingatan peminat terhadap mereka dengan menjauhkan diri daripada kegiatan-kegiatan yang tidak sihat.

Selasa, April 06, 2010

Penagih dadah dan arak tiada bezanya...

Jika selama ini masyarakat serta para pemimpin di negara hanya melihat mereka-mereka yang terlibat didalam penyalahgunaan dadah saja yang harus dibawa keluar dari amalan ketagihan tetapi tidak kepada penagih-penagih benda lain seperti rokok, alkohol, judi dan apa jua perkara yang boleh menjebakkan seseorang itu ke lembah kehancuran.

Disini saya ingin menimbulkan permasalahan berhubung dengan kegiatan banyak pihak selama seperti menyeludup, membekal, menjual atau membuka perniagaan seperti kedai minuman keras yang menyediakan minuman beralkohol dalam berbagai jenama seperti 'tiger', 'heineiken', 'guinness stout', 'pig eye', 'stella', 'orange jeboom', 'gordon drygin', 'martel', 'bacardi' serta minuman lain yang tiada had alkohol yang ditetapkan seperti 'cap apek~PG atau arak sum', 'tuak', 'langkau' dan semua jenis minuman yang diperbuat dari serbuk ragi yang memabukkan.

Di negeri Sarawak sendiri sebagai contoh yang paling baik untuk dijadikan sebagai kajian awal bagaimana masa hadapan generasi yang datang untuk dibawa dan dipandu jika ketagihan arak dikalangan para remaja dan belia di Bumi Kenyalang ini tidak dikawal dan dicegah dengan bersungguh-sungguh oleh pihak kerajaan dan juga pihak-pihak yang berwajib.

Terlalu banyak sudah masalah-masalah sosial yang timbul dalam masyarakat peribumi di Sarawak seperti mencuri, merompak, meragut, membunuh, merogol, perlakuan sumbang muhram, menipu, maut dilanggar kenderaan ketika berjalan kaki dalam keadaan terhuyung-hayang selepas selesai sessi minum minuman keras bersama rakan-rakan dan kebanyakkan kes seperti ini memang jelas berpunca dari tabiat ketagihan arak yang telah sebati pada diri penagih arak tegar itu sendiri yang memang sukar lagi untuk ditinggalkan dengan mudah.

Banyak juga sudah keluarga-keluarga termasuk anak, kedua ibubapa terutamanya di Sarawak yang hidup mereka saban hari berada didalam keadaan yang porak-puranda akibat daripada gaya hidup atau amalan yang begitu merugikan sekali apabila matlamat hidup mereka yang sebenarnya gagal untuk dicapai apabila sudah terjebak kedalam masalah ketagihan serta penyalahgunaan arak ini.

Oleh itu, adalah sangat diharapkan agar pihak kerajaan terutama sekali pihak Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita akan mengambil langkah pencegahan sebagai usaha bagi mencari jalan bagaimana untuk membendung perkara ini dari terus merosak masa hadapan generasi-generasi baru Bumi Kenyalang.

Cuma saya ada satu cadangan yang agak berat, iaitu harap kerajaan 1Malaysia haramkan terus segala premis perniagaan yang menjual minuman yang mengandungi alkohol tak kiralah premis-premis mereka menjual minuman beralkohol yang telah dilabelkan dengan peratusan alkohol yang telah ditetapkan sebabnya ialah jika kerajaan mahu membersihkan negara dari masalah-masalah sosial yang semakin teruk dikalangan masyarakat Malaysia hari ini maka usaha pembersihan dari gejala tersebut hendaklah dilakukan dengan tegas dan berani.

Awal tahun 2010 ~ malang bagi dunia hiburan tanah air...

Tirai tahun 2010 masehi telah dibuka oleh golongan artis-artis negara kita dengan cerita-cerita yang tidak membanggakan sama sekali.

Walaupun acara berprestij Anugerah Bintang Popular yang dianjurkan oleh kumpulan Berita Harian baru saja diadakan dan sudahpun berakhir dengan keputusan siapa yang menggondol hadiah-hadiah yang disediakan telah diketahui para peminat namun ianya tetap gagal untuk menutup isu hangat yang menghambat perjalanan anak seni di negara ini.

Sesuatu yang tak diduga, berita sedih, kemalangan, masalah moral dan sebagainya terus mewarnai kehidupan dunia artis kita. Mereka punya pengikut yang tersendiri tetapi malangnya mereka tidak tahu untuk menghargainya.

Lainlah kalau seseorang artis itu yang telah pergi menyahut panggilan illahi, peminat mereka pasti bersedih dan berdoa serta memohon berkat agar roh mereka akan dicucuri rahmat oleh Tuhan Yang Maha Esa dan ditempatkan bersama dikalangan roh-roh para soleh dan mereka yang beriman.

Tetapi apabila ada artis yang telah didapati bersalah dan terlibat didalam aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, mendera dan yang sama waktu dengannya maka ini akan pasti sangat mengecewakan peminat serta selain mencalar nama dan imej mereka sendiri sudah tentu perkara itu turut mencemar nama baik dunia seni tanah air secara keseluruhannya.

Penangkapan seorang pelakon oleh polis terhadap Benjy anak lelaki tunggal kepada Seniwati Azean Irdawati kerana terlibat didalam pemprosesan dadah dan yang terbaru penahanan yang dilakukan oleh pihak polis keatas seorang bekas model serta pelakon filem dan juga drama TV, Badrul Muhayat kerana masalah keluarga dengan isteri beliau.

Selain itu terdapat juga kes seorang penyanyi era tahun 70-an yang telah dijatuhi hukuman penjara setelah didapati bersalah kerana merogol anak gadis beliau sendiri sembilan tahun yang lalu apabila rayuan beliau terhadap hukuman sebelum itu telah ditolak oleh pihak mahkamah.

Isnin, April 05, 2010

PRK Hulu Selangor ~ 'Ditelan mati emak, diluah mati bapak'

Kalau tak silap saya, 15hb April 2010 iaitu hari Khamis telah disebut sebagai tarikh dan hari untuk mengumumkan nama calon daripada Barisan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil P94 Hulu Selangor dan ianya akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN serta Timbalan Presiden UMNO, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

Ini bermakna ianya akan dimumkan dua hari sebelum hari penamaan calon yang telah ditetapkan oleh SPR iaitu pada Sabtu 17hb April 2010 dan sepuluh hari sebelum tarikh pembuangan undi dijalankan pada 25hb April 2010 hari Ahad.

Cuma apa yang kita semua mahu lihat ialah, apakah perkara yang akan menjadi pertimbangan utama oleh pihak Barisan Nasional didalam menentukan calon yang akan diturunkan selepas keputusan muktamad dicapai iaitu setelah semua perkara diambil kira dari segala sudut.

Konsep 1Malaysia.Rakyat DiDahulukan.Pencapaian DiUtamakan. Saya sangat tertarik dengan gagasan ini serta turut menyokong sepenuhnya sejak mula tatkala ianya diperkenalkan oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd Najib sebaik saja beliau mengambilalih pentadbiran tampuk pemerintahan daripada YABhg Tun Haji Abdullah Ahmad Badawi.

Berbalik kepada PRK Hulu Selangor ini, persoalannya ialah sewaktu membuat keputusan demi untuk mencapai hasil yang terbaik kepada semua pihak sebelum berlangsungnya hari penamaan calon nanti...apakah yang akan dipertimbang dan diletakkan dihadapan sebagai perkara yang utama, disebelah kanan untuk perkara kedua, disebelah kiri untuk perkara ketiga serta disebelah belakang untuk perkara keempat, kelima dan seterusnya?

Apa yang difahamkan bahawa kerusi Parlimen Hulu Selangor pada asalnya adalah milik UMNO dan kemudiannya atas semangat setiakawan sesama anggota BN ianya telah diserahkan kepada MCA dan seterusnya diserahkan pula kepada MIC walaupun semua tahu bahawa majoriti pengundi disitu adalah terdiri daripada kaum Melayu namun oleh kerana parti-parti komponen BN dikatakan mengamalkan sikap permuafakatan serta setiakawan, maka semua itu dikira bukannya satu masalah sehinggalah pada tragedi Tsunami politik pada PRU-12 tahun 2008 apabila kerusi P94 telah terlepas dan jatuh kedalam genggaman PKR barulah ada pihak yang sedar bahawa ada suara-suara yang harus didengar iaitu suara-suara majoriti.

Tetapi dalam situasi ini, walau apa-apapun demi kelangsungan semangat setiakawan didalam gabungan Barisan Nasional maka siapakah yang harus berkorban? ...dan siapa pula yang harus terus berkorban?? ...dan siapa pula yang akan terus dikorbankan???

Jumaat, April 02, 2010

Din Beramboi meninggal dunia - Al Fatihah

Pelawak yang juga penyampai radio Era FM, Din Beramboi atau nama sebenar beliau Mior Ahmad Fuad Mior Badri 44, telah meninggal dunia pada jam 12:30 tengah malam semalam di Hospital Selayang setelah dimasukkan dalam wad ICU sejak beberapa hari yang lalu.

Salam Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Moga roh Allahyarham dicucuri dengan rahmat dan ditempatkan dalam golongan mereka-mereka yang beriman serta soleh. Al Fatihah.

Jumaat, Mac 26, 2010

Jika mahu menang PRK Hulu Selangor, BN harus letak calon dari UMNO.

Belumpun apa-apa, ...baru saja jenazah Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad iaitu wakil rakyat Parlimen Hulu Selangor dikebumikan, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu awal-awal lagi telahpun mengemukakan calon daripada partinya untuk bertanding disitu.

Apalah Datuk Seri Samy ni, langsung tiada perasaan simpati pada keluarga yang masih bersedih atas kehilangan orang tersayang. Kalau iya pun tunggulah esok lusa atau tulat untuk bersuara pasal calon yang akan bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor itu nanti.

Tetapi oleh kerana Datuk Seri S. Samy sudahpun mempromosikan calonnya terlebih awal dari masa yang sepatutnya, maka saya rasa adalah perlu juga untuk kita sebagai rakyat untuk turut menyatakan apa yang patut bagi Barisan Nasional lakukan jika tidak mahu mengulangi kegagalan demi kegagalan dalam setiap PRK sebagaimana sebelum ini.

Sebelum ini Barisan Nasional dah banyak kali dah kalah masa PRK diadakan apabila berlakunya Ahli-ahli Parlimen yang meninggal dunia atau meletak jawatan yang memaksa satu pilihanraya kecil mesti diadakan. Sebab-sebab kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Barisan Nasional ketika itu setelah dilakukan 'bedah-siasat' mengenainya walaupun ada yang diumumkan dan ada juga yang dirahsiakan namun sebagai rakyat kita juga tahu sebab kekalahan BN adalah sebahagiannya berpunca pemilihan calon serta parti yang tidak bersesuaian dengan keadaan sekeliling masyarakat setempat.

Setelah melihat kepada keputusan Pilihanraya terutamanya di kawasan Parlimen Hulu Selangor pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan keputusan pilihanraya pada tahun 2008 lalu, saya rasa Barisan Nasional tidak boleh terlalu bergantung kepada jumlah undi yang diperolehi oleh calon MIC iaitu Datuk G. Palanivel pada tahun 2004 lalu untuk menerima cadangan dari Datuk Samy itu agar Datuk G. Palanivel diletak semula disitu sebagai calon Barisan Nasional.

Parti-parti gabungan dalam Barisan Nasioanl baik UMNO, PBB, MCA, MIC, GERAKAN, PBS, UPKO, PBRS, PRS, SPDP, SUPP dan lain-lain lagi sekiranya ingin untuk melihat kelangsungan Barisan Nasional dapat terus memerintah negara ini dengan majoriti mudah di Parlimen, maka demi untuk semua itu adalah diharapkan agar setiap parti komponan dalam BN bersedia untuk melakukan satu pengorbanan dan sentiasa mengamalkan sikap tolenransi sesama anggota BN.

Ringkasnya, apabila melihat kepada peratusan pengundi mengikut pecahan kaum di kawasan Parlimen Hulu Selangor mengikuti statistik pada tahun 2008 kita dapati bahawa kaum Melayu adalah merupakan pengundi yang majoriti dengan 53.9%, Cina 26.7%, India hanya 19 % manakala 0.4% lain-lain kaum. Jika berdasarkan kepada peratusan tersebut, saya pasti sekiranya calon yang akan diletak untuk bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor itu nanti datangnya dari UMNO adalah tidak mustahil untuk Barisan Nasional dapat merampas kembali kerusi tersebut daripada Pakatan Pembangkang.

Tetapi sekiranya Barisan Nasional masih berhasrat untuk meletakkan calon daripada parti MIC untuk berdepan dengan calon daripada Pakatan Pembangkang pada PRK Parlimen Hulu Selangor sebagai tindakan untuk menjaga hati rakan komponan dalam BN, maka saya berpendapat bahawa sebenarnya Barisan Nasional telah menempah kekalahan sebelum bertarung.

Di kawasan Parlimen Hulu Selangor sebagaimana yang kita telah sedia maklum bahawa majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kaum Melayu dan tentu Islam. Jadi apabila tercetusnya sesuatu isu yang berkait langsung dengan hak-hak kepentingan mereka seperti hak keistimewaan kaum Melayu serta isu agama Islam akibat sering dimainkan oleh kaum-kaum tertentu di negara ini, saya rasa perkara ini akan tetap mempengaruhi keputusan para pengundi Melayu didalam memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat.

Oleh itu, jika Barisan Nasional masih mahu menawan semula kerusi Parlimen Hulu Selangor, mereka harus 'berani berubah' dari sikap yang terlalu untuk 'menjaga hati' rakan dalam BN walaupun pada akhirnya tindakan seumpama itu hanya akan merugikan Barisan Nasional sendiri dimana yang akan menjadi mangsa kepada 'sikap bertolak-ansur tidak bertempat' dalam BN ini adalah rakyat yang majoritinya iaitu golongan yang sebenar-benarnya untuk dijaga hati serta kebajikan mereka dan bukannya calon daripada parti yang pernah tewas pada PRU-12 dulu.

Ulang Tahun ke-29 YAB Pehin Sri Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Hari ini Jumaat, 26hb Mac 2010 maka genaplah kepimpinan YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud memasuki tahun yang ke 29. Perjalanan yang begitu jauh, perjalanan yang seorang pemimpin untuk membawa perubahan besar terhadap negeri Sarawak dan seterusnya perubahan untuk rakyat Sarawak secara keseluruhannya agar rakyatnya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat dari negeri-negeri lain di Malaysia ini.

Bermula dari tarikh 26hb Mac 1981 iaitu sepanjang masa 29 tahun itu juga rakyat Sarawak dapat menyaksikan sendiri akan semua perubahan yang dimulakan oleh Pehin Sri selaku Ketua Menteri dengan reaksi yang berbagai-bagai daripada segenap lapisan rakyat di Bumi Kenyalang termasuklah daripada para pemimpin negeri Sarawak sendiri.

Langkah awal Pehin Sri Taib bermula dengan lancar namun sebagaimana biasa dalam perjuangan untuk memperbetulkan apa jua keadaan di negeri Sarawak, kepimpinan Pehin Sri mula berdepan dengan liku-liku dan rintangan apabila terdapat pihak yang mula tidak senang dengan usaha Ketua Menteri untuk membersihkan Sarawak dari amalan yang tidak sihat seperti rasuah dan sebagainya cuba mula menentangnya.

Namun semuanya dapat diatasi dengan baik apabila niat yang baik disertai dengan tindakan yang bersesuaian dengannya juga maka pasti usaha murni untuk meneruskan khidmat kepada rakyat sukar untuk pihak yang berkepentingan mengganggugatnya dan kini rakyat Sarawak harus terus bersama Ketua Menteri Pehin Sri Taib melihat ke hadapan, melihat kepada kejayaan untuk Sarawak.

Selamat Ulang Tahun ke 29 sebagai Ketua Menteri Sarawak, semoga Pehin Sri sentiasa dianugerah dengan kesihatan yang baik.

Khamis, Mac 25, 2010

Peralihan kuasa di Sarawak bermula dengan teratur...

Kehadiran semula Ahli Dewan Undangan Negeri N.3 Tanjung Datu, YB Datuk Seri Haji Adenan bin Haji Satem kedalam Kabinet kerajaan negeri Sarawak maka ini bermakna menandakan bahawa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri kian semakin hampir.

Perlantikan YB Datuk Seri Adenan sebagai Penasihat Khas bertaraf menteri kepada Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang akan berkuatkuasa pada 04 April 2010 boleh dilihat sebagai pembayang kepada apa yang pernah dikaitkan dengan desas desus sebab pengguguran beliau dari dalam kabinet persekutuan dibawah Perdana Menteri ketika itu, YABhg. Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dimana ketika itu beliau adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kembali semula ke Bumi Kenyalang.

Sebelum dilantik ke kabinet persekutuan, Datuk Seri Adenan adalah bekas Menteri Kemajuan Tanah Sarawak dan beliau juga sebelum ini merupakan salah seorang Naib Presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan itu dengan memberi alasan yang kurang yang meyakin akan sebab mengapa beliau membuat keputusan yang dilihat agak kurang tepat. Datuk Seri Adenan juga adalah bekas suami kepada Datin Aishah Mahmud iaitu adik kepada Pehin Sri Taib.

Tugas baru yang menanti YB Datuk Seri Adenan setelah dilantik kejawatan tersebut adalah bertanggungjawab mengenai perhubungan awam, penyiaran dan penerangan. Walaupun ini dikatakan sebagai satu rombakan kecil, namun rakyat Sarawak tetap mengharap serta menaruh harapan yang tinggi agar corak kepimpinan yang sedia ada akan tetap diteruskan sebagaimana kepimpinan YAB Pehin Sri Taib yang sebelum ini telah terbukti membawa begitu banyak perubahan, kemajuan, kejayaan dan pembangunan kepada negeri dan juga kepada seluruh penduduk Sarawak tanpa mengira suku kaum yang ada di Bumi Kenyalang ini.

Kepada YB Datuk Seri Adenan Satem, diucapkan selamat bertugas dan berikanlah khidmat yang terbaik buat kami seluruh rakyat Bumi Kenyalang. Semoga berjaya !

Rabu, Mac 24, 2010

Selamat Hari Polis yang ke - 203

Kepada seluruh warga anggota Polis DiRaja Malaysia baik kepada mereka yang terdiri sebagai pegawai berpangkat rendah sehinggalah kepada mereka yang berpangkat sebagai Sarjan Mejar, Inspektor Polis, DSP, ASP, ACP, Pesuruhjaya Polis negeri-negeri, Timbalan Ketua Polis Negara serta Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, sebagai rakyat yang sangat menyanjungi tugas-tugas murni pihak polis dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara agar berterusan demi untuk keselesaan seluruh masyarakat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dengan ucapan Selamat Menyambut Hari Polis yang ke 203 tahun.

Kerajaan Sabah akan berdepan krisis kepercayaan anak negeri jika...

Apabila majoriti rakyat telah membuat sesuatu keputusan iaini setelah mereka yakin dengan pertimbangan yang dibuat adalah tepat dan benar maka mereka akan memilih seseorang calon dari parti tertentu semasa proses membuang undi dengan harapan semoga yang dipilih akan menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam sebuah kerajaan yang benar-benar untuk membela nasib rakyat khususnya kaum peribumi serta sentiasa memberi keutamaan kepada anak negeri terlebih dahulu selaras dengan 20 perkara yang digariskan dalam perjanjian yang telah dimaterai bersama sebelum persetujuan dicapai bagi menjayakan penubuhan negara Malaysia yang berdaulat iaitu diantara pihak British, barisan pemimpin dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Tetapi kini, setelah usia perjanjian itu hampir mencecah ke angka 47 tahun seiring dengan pembentukan persekutuan Malaysia dimana tarikh kemerdekaan rasmi negara peringkat kebangsaan juga telahpun menjangkau ke usia 53 tahun, Ordinance Anak Negeri atau Advocates Ordinance (Sabah Cap.2) iaitu yang telah diperuntukkan kepada Sabah bagi menjamin setiap hak-hak anak negeri sebagaimana yang disebut dalam perjanjian 20 perkara itu kini dilihat sudah mulai dicemari dengan tindakan kerajaan negeri Sabah sendiri apabila sanggup membelakangi kandungan perjanjian tersebut apabila telah melantik beberapa orang pegawai ke jawatan tinggi dan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri yang status kerakyatan mereka memang sangat diragui.

Contoh mereka yang bukan dari kalangan anak negeri Sabah walaupun taraf mereka turut diiktiraf sebagai rakyat Bumiputera seperti Pengarah Jabatan Tanah Sabah, Datuk Osman Jamal berketurunan Bugis yang datang dari Kepulauan Sulawesi Indonesia. Begitu juga dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Sukarti Wakiman yang berbangsa Jawa sudah pasti asal keturunan beliau adalah datang dari Kepulauan Jawa Indonesia manakala Pengarah Jabatan Hutan Sabah pula iaitu Datuk Sam Mannan berdarah atau berketurunan Sikh dan jelas bukannya anak negeri anak jati Sabah.

Dalam isu ini, sukalah kita untuk bertanya samada kerajaan Sabah yang diterajui oleh Ketua Menteri YAB Datuk Seri Musa Aman telah terlepas pandang atau sengaja melepaskan pandangan mengenai perkara ini ? Apakah Menteri Luar Malaysia YB Datuk Seri Anifah Aman yang juga adik kepada Ketua Menteri Sabah tidak menyedari telah berlakunya perlanggaran terhadap perjanjian 20 perkara itu yang menuntut setiap pemimpin terkini yang mewarisi kepimpinan yang terdahulu harus terus menjaga serta memelihara semua hak-hak serta segala sesuatu yang berkaitan dengan kepentingan anak negeri Sabah.

Saya percaya, seandainya isu ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin oleh kerajaan Sabah yang sedia ada, adalah tidak mustahil jika tidak hari ini, esok, lusa, tulat dan pada masa yang akan datang pasti kerajaan negeri akan berdepan dengan situasi yang mereka sama sekali tidak akan menduga apabila rakyat yang majoriti terutamanya dari kalangan anak negeri sendiri akan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap keupayaan kerajaan didalam menjaga kepentingan kaum peribumi iaitu penduduk asal di Sabah serta akan bangkit menuntut agar hak-hak mereka sebagai anak negeri dikembalikan atau kerajaan negeri akan terus berdepan dengan tekanan.

Selasa, Mac 23, 2010

Taraf kerakyatan SUK Negeri Sabah boleh dipertikai...

Pada 9hb February 2010 lepas, salah seorang blogger yang berasal dari Negeri Di Bawah Bayu, Sabah iaitu pemilik kepada sebuah blog yang dikenali sebagai Pipit Pekepa pernah menerbitkan sebuah artikel yang sangat mengejutkan saya apabila posting beliau pada tarikh tersebut telah mendedahkan apa yang sebenar berlaku di sebalik kesukaran rakyat Sabah untuk mendapatkan sebarang pekerjaan di negeri kelahiran mereka sendiri walaupun mempunyai kelayakan yang melebihi daripada pra-syarat yang telah ditentukan.

Pembaca semua boleh mengetahui selanjutnya tentang keluhan yang telah didedahkan oleh penulis blog tersebut mengenai masalah yang dihadapi oleh anak negeri Sabah yang boleh diibaratkan bagai mengemis pekerjaan di tanah tumpah darah mereka sendiri menerusi http://pipitpekepa.blogspot.com/2010/02/kaum-imigran-agih-agihkan-harta-dan-hak.html . Artikel beliau yang bertajuk "KAUM IMIGRAN AGIH-AGIHKAN HARTA DAN HAK RAKYAT SABAH."

Posting tersebut sangat menarik perhatian apabila ianya secara tidak langsung telah cuba untuk menyentuh mengenai hak-hak sebenar rakyat asal yang menduduki negeri Sabah sejak sebelum merdeka lagi dan seterusnya selepas pembetukan Persekutuan Malaysia berjaya direalisasikan kini seolah-olah cuba untuk dinafikan dan seakan-akan mula untuk dikawal oleh rakyat yang taraf kewarganegaraan mereka kurang jelas walaupun mereka ketika ini telah diberi kuasa untuk memegang sesuatu jawatan yang sepatutnya hanya boleh diberikan kepada anak watan atau peribumi.

Apabila Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Ybhg. Datuk Sukarti Wakiman yang pada waktu ini beliau sedang melakukan lawatan muhibah ke Negeri Sarawak untuk beberapa hari, ini telah mengingatkan saya semula kepada apa yang telah ditulis oleh Pipit Pekepa sebagaimana didalam blog beliau mengenai diri sebenar Datuk Sukarti Wakiman.

Jika diteliti dari apa yang telah ditulis oleh Pipit Pekepa itu, saya boleh memahami bahawa dari artikel tersebut terbukti ada sesuatu yang tidak kena diatas perlantikan Datuk Sukarti Wakiman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Apa yang boleh dikatakan disini ialah dimasa yang akan datang diharap agar setiap kerajaan negeri di Malaysia bukan hanya di Sabah apabila mengambil keputusan untuk melantik orang yang tertentu ke jawatan yang sangat penting dalam pentadbiran kerajaan negeri hendak berhati-hati dan lebih teliti terutamanya berkaitan dengan taraf kerakyatan mereka.

Tan Sri Dr Sulaiman Hj Daud meninggal dunia - Al Fatihah

Bekas Menteri Pertanian Malaysia, Tan Sri Dr Sulaiman bin Haji Daud telah meninggal dunia di Hospital Besal Kuala Lumpur (HBKL) pada jam 8.10 pagi tadi pada usia 77 tahun.

Allahyarham yang dilahirkan pada 04 Mac 1933 di Kuching selama bergiat aktif didalam bidang politik pernah menyandang beberapa jawatan penting didalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dengan jawatan beliau dalam parti tersebut ialah sebagai Naib Presiden PBB.

Mula melibatkan diri didalam kerja-kerja kemasyarakatan dan juga politik seawal tahun 1954, Allahyarham juga adalah merupakan bekas Ahli Parlimen Santubong sejak tahun 1974 hingga tahun 1999 menjadikannya kini telah dikenali sebagai Parlimen Petrajaya apabila persempadanan semula kawasan Parlimen seluruh Malaysia dilakukan dimana kawasan parlimen itu sekarang telah diwakili oleh YB Dr Fadillah Yusof yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ketika masih lagi berkhidmat sebagai seorang Anggota Parlimen, Allahyarham pernah dilantik diperingkat pusat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Menteri Pendidikan dan Menteri Pertanian Malaysia semasa era pentadbiran Perdana Menteri ke-3 Allahyarham Tun Hussein Onn dan juga semasa kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-4 YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Allahyarham juga adalah merupakan salah seorang di antara pemimpin Persatuan Pengakap Malaysia yang bergerak aktif serta juga merupakan Naib Yang DiPertua PERKIM iaitu sebuah pertubuhan kebajikan masyarakat Islam di Malaysia.

Sebagai salah seorang penduduk di Bumi Kenyalang walaupun agak kurang mengikuti perkembangan semasa perjalanan karier politik Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Haji Daud ini, namun jauh disudut hati saya menyatakan perasaan sangat kagum dengan sifat Allahyarham sebagai seorang ahli politik atau wakil rakyat yang baik, jujur serta sangat rajin bekerja iaitu lebih kepada kerja daripada berpolitik semata-mata.

Akhir kata, semoga roh Allahyarham dicucuri dengan rahmat serta ditempatkan dikalangan roh-roh mereka yang beriman dan soleh. Al Fatihah.

Isnin, Mac 22, 2010

Laporan Polis terhadap Anwar - tidakkah umpama mencurah air didaun keladi?

Tulisan ini tidak bermaksud untuk memperlekehkan laporan polis yang dibuat oleh berbagai pihak terhadap Penasihat PKR YB Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendedahan yang dibuat oleh MP Bayan Baru YB Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berhubung dengan usaha Anwar untuk merampas Putra Jaya dari kerajaan BN menerusi projek 16 September serta sanggup pula mengheret sama nama dua institusi tertinggi di negara ini didalam gerakannya demi mencapai impian untuk menjadi seorang Perdana Menteri.

Dan begitu juga bahawa tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan rasa tidak yakin dengan kebertanggungjawaban serta kemampuan pihak polis, pihak berkuasa dan pihak yang berwajib untuk membuat tindakan susulan setelah menerima sesuatu laporan yang dibuat oleh pihak-pihak yang telah membuat aduan di Balai Polis yang tertentu di negara ini.

Akan tetapi apa yang sering kita lihat ialah, apabila sesuatu laporan telah dibuat terhadap seseorang individu tertentu walaupun laporan polis itu dibuat atas nama untuk menjaga kedaulatan negara, maruah bangsa dan agama namun jika ianya melibatkan mereka yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan istimewa didalam masyarakat, maka tindakan agak liat untuk diambil dan apa yang lebih malang sekali ialah apabila setelah laporan dibuat pasti ianya hanya disusuli dengan 'amaran demi amaran' atau disedapkan lagi dengan tuturkata 'tidak akan teragak-agak' tanpa tindakan tegas sehingga masyarakatpun mula menjadi bosan maka lama-kelamaan isu itu akan dengan sendirinya menjadi sejuk dan akan hilang dari ingatan masyarakat sehingga timbul pula kes yang lain.

Namun sebaliknya, apabila laporan polis yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan dan ianya pula melibatkan rakyat kebanyakan atau rakyat biasa pasti tindakan akan segera menyusul walaupun dengan hanya satu laporan yang dibuat terhadapnya dan ini sangat berbeza dengan layanan orang-orang besar dalam masyarakat dapat walau berpuluh-puluh laporan polis telah dibuat terhadapnya belum tentu lagi tindakan akan diambil.

Contoh yang boleh kita lihat, bagaimana seorang bloggers Jeffry Damien dengan blog beliau Dimensi telah berdepan dengan keadaan sedemikian apabila hanya dengan satu laporan polis telah dibuat oleh Pemuda PAS Kelantan terhadap beliau kononnya laman blog Dimensi telah mengaibkan serta menjatuhkan ...maruah?...Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim dimata masyarakat, ceh!

Arkib Blog