Apakah kerajaan tidak belajar dari kesilapan masa lampau dalam membuat sebarang keputusan yang sangat penting berhubung dengan masa depan kaum Bumiputera di negara ini? Kes Singapura yang dikeluarkan dari Malaysia satu ketika dulu sudah cukup untuk mengingatkan kita semua betapa perlunya sesuatu keputusan itu dibuat dengan penuh teliti serta berhati-hati dengan mengambilkira kesannya pada generasi Bumiputera pada masa hadapan dan juga agar ianya kelak tidak akan dikesali oleh masyarakat atau kaum Bumiputera di negara ini.Berbalik kepada isu taraf Bumiputera serta bukan Bumiputera, kerajaan tidak sepatutnya bertindak dengan tergesa-gesa didalam menyelesaikan mana-mana tuntutan oleh pihak-pihak yang tertentu mengenai status kewarganegaraan mereka didalam negara ini terutamanya yang berkaitan dengan soal kahwin campur dikalangan masyarakat berbilang kaum di negeri Sarawak.
Kerajaan hendaklah membuat kajian serta penyelidikan yang lebih mendalam mengenai hal ini sebelum membuat sebarang keputusan. Jangan hanya kerana bimbang dengan beberapa desakan daripada pihak pembangkang maka masa hadapan kaum Bumiputera di negeri Sarawak akan turut digadai serta di pertaruhkan. Saya sangat bimbang berkenaan dengan keputusan yang telah diambil apabila kerajaan dengan begitu cepat mengiktiraf golongan yang kononnya teraniaya terus diberi status mereka sebagai kaum Bumiputera.