Penghulu Kawasan Ba'Kelalan George Sigar Sultan berkata, masyarakat Ba'Kelalan tidak pernah membantah pelaksanaan projek tersebut yang disifatkan mampu melancarkan sistem perhubungan jalan raya selain memudahkan mereka berhubung sesama keluarga.
"Kebanyakan masyarakat Ba'Kelalan tidak senang dengan laporan menyatakan majoriti penduduk Ba'Kelalan tidak menyetujui pembinaan projek Jalan Ba'Kelalan-Bario seperti yang disiarkan melalui akhbar tempatan sebelum ini.
"Laporan tersebut tidak berasas kerana menyatakan 2,000 penduduk Ba'Kelalan membantah projek itu sedangkan penduduk asal Ba'Kelalan tidak sampai jumlah yang dinyatakan," katanya.
Sigar berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan antara ketua masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ba'Kelalan dan penduduk Kampung Puneng Ba'Kelalan di Pejabat Residen Limbang semalam.
Hadir sama Penasihat JKKK Ba'Kelalan Tagal Paren, Ketua Kampung (KK) Puneng Kelalan Ngilo Sigar, KK Buduk Bui, Padan, KK Long Kumap Tadam Asi, KK Long Rusu Berauk Tadam, KK Kampung Baru Mission Ating Rupan, Kaunselor Agung Taie, Pengerusi Belia Ba'Kelalan Tadum Arun dan ahli JKKK Ba'Kelalan.
Sigar menjelaskan dalam laporan sama sebelum ini dinyatakan bahawa bahagian Sungai Kumap yang merupakan sumber keperluan penduduk terjejas akibat projek itu, sedangkan projek tersebut dijalankan di Sungai Muda.
"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan, Baruk Bian yang membuat laporan akhbar sebelum ini tidak pernah berbincang dengan masyarakat Ba'Kelalan secara keseluruhannya mengenai projek tersebut.
"Beliau hanya mendengar pendapat Pengerusi Cawangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Ba'Kelalan, Paren Padan sebagai saluran maklumat mengenai pendapat penduduk Ba'Kelalan," ujarnya.
Menurutnya, sekatan jalan bagi menghalang kerja-kerja pelaksanaan projek sudah berulangkali dilakukan oleh Paren di kawasan tanah bukan miliknya sedangkan pemilik tanah laluan projek tersebut sangat menyokong projek kerajaan ini.
Katanya, laporan polis sudah dibuat bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Projek pembinaan Jalan Ba'Kelalan-Bario sepanjang 42 kilometer bernilai RM42 juta dan kerja-kerja pembinaan sudah dimulakan sejak 1 Oktober lalu dan dijangka siap September 2014.
Sementara itu, Bernama dalamlaporannya pada September lalu memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, Rejimen Kejuruteraan ATM bersama jentera-jentera berat sudah berada di Ba'Kelalan untuk memulakan projek tersebut.
Beliau menambah, projek di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan itu adalah kesinambungan projek Jiwa Murni menaik taraf jalan sepanjang 75 kilometer yang menghubungkan Long Luping dengan Ba'Kelalan yang sudah siap September tahun lalu.
Sigar menjelaskan, penduduk Ba'Kelalan amat memerlukan jalan tersebut kerana ia dapat memudahkan mereka berhubung dengan keluarga lain melalui jalan sama jika dibandingkan berjalan kaki sehingga dua hingga tiga hari.
"Dengan adanya jalan itu nanti, anak-anak dapat terus melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah di kawasan Bario berbanding ke Lawas, Trusan dan Merapok.
"Adalah agak selamat jika anak-anak pada usia masih muda menuntut di kawasan kampung sehinggalah umur meningkat dan mereka boleh melanjutkan pelajaran di kawasan bandar," jelasnya.
Sigar berkata, penduduk turut menaruh keyakinan jalan terbabit dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk untuk memasarkan hasil pertanian, kraftangan dan produk pelancongan.
Projek Jalan Ba'Kelalan-Bario juga dapat mendorong perkembangan usaha ekonomi berterusan seperti pertanian organik dan pelancongan berasaskan masyarakat selain membentuk jaringan perdagangan global.
"Sokongan penduduk terhadap projek ini berikutan kejayaan kerajaan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi beberapa tahun dahulu melibatkan perjalanan sebelum ini,"
"Dengan adanya jalan Lawas-Ba'Kelalan, penduduk hanya perlu mengambil masa empat jam perjalanan berbanding kesukaran lebih 14 jam perjalanan sebelum ini," katanya.
Sebelum mengadakan pertemuan dengan Pejabat Residen Limbang semalam, mereka turut mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan Pejabat Daerah Lawas kelmarin - Utusan Borneo 12 Disember 2012.
1 ulasan:
Salam...mohon link blog saya
http://bahteramerdeka53.blogspot.com
Blog tuan sudah dilink..tq
Catat Ulasan