
Apalah Datuk Seri Samy ni, langsung tiada perasaan simpati pada keluarga yang masih bersedih atas kehilangan orang tersayang. Kalau iya pun tunggulah esok lusa atau tulat untuk bersuara pasal calon yang akan bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor itu nanti.
Tetapi oleh kerana Datuk Seri S. Samy sudahpun mempromosikan calonnya terlebih awal dari masa yang sepatutnya, maka saya rasa adalah perlu juga untuk kita sebagai rakyat untuk turut menyatakan apa yang patut bagi Barisan Nasional lakukan jika tidak mahu mengulangi kegagalan demi kegagalan dalam setiap PRK sebagaimana sebelum ini.
Sebelum ini Barisan Nasional dah banyak kali dah kalah masa PRK diadakan apabila berlakunya Ahli-ahli Parlimen yang meninggal dunia atau meletak jawatan yang memaksa satu pilihanraya kecil mesti diadakan. Sebab-sebab kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Barisan Nasional ketika itu setelah dilakukan 'bedah-siasat' mengenainya walaupun ada yang diumumkan dan ada juga yang dirahsiakan namun sebagai rakyat kita juga tahu sebab kekalahan BN adalah sebahagiannya berpunca pemilihan calon serta parti yang tidak bersesuaian dengan keadaan sekeliling masyarakat setempat.
Setelah melihat kepada keputusan Pilihanraya terutamanya di kawasan Parlimen Hulu Selangor pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan keputusan pilihanraya pada tahun 2008 lalu, saya rasa Barisan Nasional tidak boleh terlalu bergantung kepada jumlah undi yang diperolehi oleh calon MIC iaitu Datuk G. Palanivel pada tahun 2004 lalu untuk menerima cadangan dari Datuk Samy itu agar Datuk G. Palanivel diletak semula disitu sebagai calon Barisan Nasional.
Parti-parti gabungan dalam Barisan Nasioanl baik UMNO, PBB, MCA, MIC, GERAKAN, PBS, UPKO, PBRS, PRS, SPDP, SUPP dan lain-lain lagi sekiranya ingin untuk melihat kelangsungan Barisan Nasional dapat terus memerintah negara ini dengan majoriti mudah di Parlimen, maka demi untuk semua itu adalah diharapkan agar setiap parti komponan dalam BN bersedia untuk melakukan satu pengorbanan dan sentiasa mengamalkan sikap tolenransi sesama anggota BN.
Ringkasnya, apabila melihat kepada peratusan pengundi mengikut pecahan kaum di kawasan Parlimen Hulu Selangor mengikuti statistik pada tahun 2008 kita dapati bahawa kaum Melayu adalah merupakan pengundi yang majoriti dengan 53.9%, Cina 26.7%, India hanya 19 % manakala 0.4% lain-lain kaum. Jika berdasarkan kepada peratusan tersebut, saya pasti sekiranya calon yang akan diletak untuk bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor itu nanti datangnya dari UMNO adalah tidak mustahil untuk Barisan Nasional dapat merampas kembali kerusi tersebut daripada Pakatan Pembangkang.
Tetapi sekiranya Barisan Nasional masih berhasrat untuk meletakkan calon daripada parti MIC untuk berdepan dengan calon daripada Pakatan Pembangkang pada PRK Parlimen Hulu Selangor sebagai tindakan untuk menjaga hati rakan komponan dalam BN, maka saya berpendapat bahawa sebenarnya Barisan Nasional telah menempah kekalahan sebelum bertarung.
Di kawasan Parlimen Hulu Selangor sebagaimana yang kita telah sedia maklum bahawa majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kaum Melayu dan tentu Islam. Jadi apabila tercetusnya sesuatu isu yang berkait langsung dengan hak-hak kepentingan mereka seperti hak keistimewaan kaum Melayu serta isu agama Islam akibat sering dimainkan oleh kaum-kaum tertentu di negara ini, saya rasa perkara ini akan tetap mempengaruhi keputusan para pengundi Melayu didalam memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat.
Oleh itu, jika Barisan Nasional masih mahu menawan semula kerusi Parlimen Hulu Selangor, mereka harus 'berani berubah' dari sikap yang terlalu untuk 'menjaga hati' rakan dalam BN walaupun pada akhirnya tindakan seumpama itu hanya akan merugikan Barisan Nasional sendiri dimana yang akan menjadi mangsa kepada 'sikap bertolak-ansur tidak bertempat' dalam BN ini adalah rakyat yang majoritinya iaitu golongan yang sebenar-benarnya untuk dijaga hati serta kebajikan mereka dan bukannya calon daripada parti yang pernah tewas pada PRU-12 dulu.