Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Jumaat, Julai 24, 2009

Ada Dua Golongan Dalam Parti: Yang Setia Kepada Parti & Yang Setia Kepada Pemimpin.

Didalam mana-mana parti politik tidak kira ianya sebuah parti politik daripada pihak pemerintah ataupun parti politik daripada pihak pembangkang terdapat didalamnya dua golongan yang berbeza. Kemungkinan ada juga yang sedar ataupun tidak tentang perkara ini, namun jika ianya diperhalusi atau dibincangkan secara mendalam, maka memang itulah hakikatnya.

Mari kita fokus kepada perkara ini dan bahagikan penyokong sesebuah parti itu kepada dua kumpulan yang berbeza pendapat. Bukan mereka berbeza ideologi, tetapi cuma mereka berbeza pandangan. Kita ambil satu parti untuk dijadikan sebagai contoh iaitu Parti Islam SeMalaysia ataupun PAS. Didalam PAS sendiri kita telah dapat melihat bagaimana para pengikutnya gagal memahami peranan sebenar mereka terhadap parti PAS. Mereka masing-masing tidak tahu akan kedudukan serta tanggungjawab mereka sebagai ahli parti didalam PAS.

Oleh itu kita kena lihat perkara ini dari satu sudut dimana letaknya pengikut yang dikategori sebagai pengikut setia. Pengikut setia ataupun penyokong tidak bermakna dia telah meletakkan secara keseluruhan dirinya didalam satu kumpulan yang akan menyokong kepada apa sahaja tindakan ataupun keputusan yang dibuat oleh pemimpin atasan.

Pengikut setia parti bermakna dia juga adalah pejuang kepada dasar-dasar asal parti yang dianggotainya. Sebagai pejuang parti individu itu tidak harus terikat kepada suatu kelaziman didalam berpolitik iaitu tidak semesti setia kepada pemimpin atasannya, seperti Presiden Parti, Timbalan Presiden Parti, Naib Presiden Parti dan sebagainya lagi.

Maknanya ialah, apabila Presiden Parti, Timbalannya ataupun Naibnya ada melakukan kesilapan misalnya melanggar etika parti seperti membuat keputusan yang bertentangan dengan dasar parti, cuba membawa pemikiran ahli-ahli partinya yang lain kepada perkara yang boleh merosakkan masa depan dan sebagainya, maka ahli-ahli parti itu sendiri yang masih lagi waras hendaklah membantah dan menegur tanpa melihat akan kedudukannya sebagai Presiden atau jawatan yang tinggi didalam parti.

Sekiranya ada diantara daripada ahli-ahli parti yang sanggup mengenepikan perasaan lebih mementingkan pemimpin-pemimpin parti daripada parti itu sendiri, maka ahli-ahli parti yang sedemikianlah boleh dianggap sebagai ahli parti yang sejati dan pengikut parti yang setia. Sebabnya ialah, demi menjaga parti daripada dirosak oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab, maka ahli-ahli parti ini sanggup untuk berdepan dengan berbagai risiko.

Manakala bagi ahli-ahli parti yang hanya sanggup untuk menjadi tukang angguk kepada apa sahaja perkara yang dibentangkan oleh pemimpin mereka tanpa ada sedikitpun suara untuk mempersoalkannya, maka sewajarnya ahli-ahli parti seperti itu patut diletakkan didalam golongan yang setia hanya kepada pemimpin saja dan bukannya kepada parti.

Berbalik kita semula kepada Parti PAS. Jika kita terus-menerus mengikuti tentang perkembangan yang telah berlaku didalam parti itu sejak dari dahulu lagi, sudah pasti kita akan mendapat lebih banyak bahan yang boleh dijadikan sebagai ukuran untuk kita membezakan dasar perjuangannya dengan parti-parti lain dinegara ini.

Apabila kita bercakap tentang dasar yang diperjuangkan oleh PAS pada mulanya, ianya dilihat seperti tidak banyak beza dengan dasar perjuangan UMNO. Tetapi dasar itu kini semuanya telah lenyap sama sekali dari perjuangan PAS sejak wujudnya kerjasama diantara PAS/DAP/PKR. Jadi yang malangnya ialah para pengikut setia parti PAS yang telah keliru. Mereka telah terkeliru akan kedudukan sebenar mereka didalam parti PAS. Mereka bingung. Namun yang untung dalam hal ini ialah para ahli parti yang hanya setia kepada pemimpin mereka dan bukannya setia kepada parti.

Kumpulan yang setia hanya kepada pemimpin mereka ialah, mereka akan menurut sahaja apa juga yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka tanpa menimbulkan sebarang persoalan walaupun jelas kelihatan perbuatan pemimpin mereka sangat bercanggah dengan amalan serta ajaran yang dituntut didalam Islam.

Sementara bagi golongan yang boleh disifatkan sebagai penyokong setia kepada Parti, walaupun telah timbul kesedaran untuk menentang tindakan cara pemimpin mereka membawa haluan parti, namun mungkin oleh kerana kesedaran dikalangan mereka yang tergolong sebagai ahli-ahli yang setia kepada parti masih berada ditahap yang rendah tentang perkara ini, justeru untuk mereka bertindak telah memaksa mereka untuk berfikir banyak kali dan jalan yang diambil ialah berdiam diri.

Inilah dilema yang sedang dihadapi oleh ahli-ahli parti khususnya bagi parti-parti yang pada asalnya ditubuhkan untuk tujuan yang murni namun setelah sekian lama selepas itu berubah kepada perjuangan untuk memenuhi kepentingan politik orang tertentu semata. Yang rugi tentu sekali adalah ahli-ahli parti biasa, rakyat, bangsa yang tiada sebarang jawatan apa-apapun didalam parti.

Arkib Blog