Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Rabu, Oktober 21, 2009

2 jawapan menarik di Parlimen oleh Perdana Menteri

Semasa sessi hari pertama Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal kedua dan Parlimen Kedua Belas pada hari Isnin lalu, saya sangat tertarik dengan satu jawapan yang diberikan oleh YAB Datuk Seri Najib terhadap satu soalan tambahan yang telah dikemukakan oleh Anggota Parlimen Putatan(BN) YB Datuk Dr. Marcus Mojingoh yang bertanya mengenai identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand.

Datuk Seri Najib telah menjawab dengan berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.
"Kalau kita sorot kembali asas pembinaan negara Malaysia, dari awal kita pilih jalan integrasi dan tidak seperti negara Indonesia, Filipina dan Thailand yang memilih jalan asimilasi. Ini menunjukkan pimpinan kita dari awal lagi bersikap amat terbuka. Kita lihat dari mula itu jalan terbaik iaitu apabila kita dapat menampilkan satu kekuatan berdasarkan perpaduan dan kepelbagaian... tiada negara lain seperti Malaysia," katanya.

Kepada soalan asal yang telah diajukan oleh Ahli Parlimen Kepong(DAP) YB Dr. Tan Seng Giaw yang ingin tahu mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi membendung peningkatan defisit tambahan negara yang kini mencapai 7.6 peratus, Datuk Seri Najib telah menghuraikan jawapan beliau sehinggalah kepada perkara-perkara yang menyentuh mengenai usaha oleh negara-negara kumpulan G20.

Antara lain Datuk Seri Najib berkata "Sebenarnya Malaysia telah mendahului langkah yang diambil oleh masyarakat antarabangsa semasa kita menangani krisis kewangan Asia 1997-1998 melalui beberapa dasar menangani kemelesetan ekonomi yang tidak konvensional. Pada masa ini pendekatan Malaysia untuk keluar dari kemelut ekonomi akhir tahun 90-an telah dijadikan pendekatan Kumpulan G20 itu".

Dalam pada itu, Najib berkata Malaysia menyeru Sidang Kemuncak G-20 untuk membendung krisis ekonomi dan kewangan global, menstabilkan sektor kewangan antarabangsa serta mengembalikan pertumbuhan ekonomi dunia dengan segera.

Kumpulan G-20 adalah sebuah kumpulan tidak rasmi beberapa buah negara, termasuk negara maju dan membangun secara sistematik, ditubuhkan sebagai respons kepada krisis ekonomi yang melanda dunia lewat 90-an untuk membincangkan kestabilan ekonomi dan penstrukturan isu-isu kewangan global.

Sebelumnya menurut Datuk Seri Najib lagi, isu-isu ekonomi hanya dibincangkan di peringkat Kumpulan G-7 negara-negara maju - sumber utama dari Bernama.

Coretan saya: Dua jawapan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Mohd. Najib itu bagi saya sangat istimewa dan membawa makna-makna yang berguna disebaliknya bagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara yang tertentu. Ianya sangat berguna dan bernilai untuk dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Arkib Blog