Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Jumaat, Mac 26, 2010

Jika mahu menang PRK Hulu Selangor, BN harus letak calon dari UMNO.

Belumpun apa-apa, ...baru saja jenazah Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad iaitu wakil rakyat Parlimen Hulu Selangor dikebumikan, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu awal-awal lagi telahpun mengemukakan calon daripada partinya untuk bertanding disitu.

Apalah Datuk Seri Samy ni, langsung tiada perasaan simpati pada keluarga yang masih bersedih atas kehilangan orang tersayang. Kalau iya pun tunggulah esok lusa atau tulat untuk bersuara pasal calon yang akan bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor itu nanti.

Tetapi oleh kerana Datuk Seri S. Samy sudahpun mempromosikan calonnya terlebih awal dari masa yang sepatutnya, maka saya rasa adalah perlu juga untuk kita sebagai rakyat untuk turut menyatakan apa yang patut bagi Barisan Nasional lakukan jika tidak mahu mengulangi kegagalan demi kegagalan dalam setiap PRK sebagaimana sebelum ini.

Sebelum ini Barisan Nasional dah banyak kali dah kalah masa PRK diadakan apabila berlakunya Ahli-ahli Parlimen yang meninggal dunia atau meletak jawatan yang memaksa satu pilihanraya kecil mesti diadakan. Sebab-sebab kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Barisan Nasional ketika itu setelah dilakukan 'bedah-siasat' mengenainya walaupun ada yang diumumkan dan ada juga yang dirahsiakan namun sebagai rakyat kita juga tahu sebab kekalahan BN adalah sebahagiannya berpunca pemilihan calon serta parti yang tidak bersesuaian dengan keadaan sekeliling masyarakat setempat.

Setelah melihat kepada keputusan Pilihanraya terutamanya di kawasan Parlimen Hulu Selangor pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan keputusan pilihanraya pada tahun 2008 lalu, saya rasa Barisan Nasional tidak boleh terlalu bergantung kepada jumlah undi yang diperolehi oleh calon MIC iaitu Datuk G. Palanivel pada tahun 2004 lalu untuk menerima cadangan dari Datuk Samy itu agar Datuk G. Palanivel diletak semula disitu sebagai calon Barisan Nasional.

Parti-parti gabungan dalam Barisan Nasioanl baik UMNO, PBB, MCA, MIC, GERAKAN, PBS, UPKO, PBRS, PRS, SPDP, SUPP dan lain-lain lagi sekiranya ingin untuk melihat kelangsungan Barisan Nasional dapat terus memerintah negara ini dengan majoriti mudah di Parlimen, maka demi untuk semua itu adalah diharapkan agar setiap parti komponan dalam BN bersedia untuk melakukan satu pengorbanan dan sentiasa mengamalkan sikap tolenransi sesama anggota BN.

Ringkasnya, apabila melihat kepada peratusan pengundi mengikut pecahan kaum di kawasan Parlimen Hulu Selangor mengikuti statistik pada tahun 2008 kita dapati bahawa kaum Melayu adalah merupakan pengundi yang majoriti dengan 53.9%, Cina 26.7%, India hanya 19 % manakala 0.4% lain-lain kaum. Jika berdasarkan kepada peratusan tersebut, saya pasti sekiranya calon yang akan diletak untuk bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor itu nanti datangnya dari UMNO adalah tidak mustahil untuk Barisan Nasional dapat merampas kembali kerusi tersebut daripada Pakatan Pembangkang.

Tetapi sekiranya Barisan Nasional masih berhasrat untuk meletakkan calon daripada parti MIC untuk berdepan dengan calon daripada Pakatan Pembangkang pada PRK Parlimen Hulu Selangor sebagai tindakan untuk menjaga hati rakan komponan dalam BN, maka saya berpendapat bahawa sebenarnya Barisan Nasional telah menempah kekalahan sebelum bertarung.

Di kawasan Parlimen Hulu Selangor sebagaimana yang kita telah sedia maklum bahawa majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kaum Melayu dan tentu Islam. Jadi apabila tercetusnya sesuatu isu yang berkait langsung dengan hak-hak kepentingan mereka seperti hak keistimewaan kaum Melayu serta isu agama Islam akibat sering dimainkan oleh kaum-kaum tertentu di negara ini, saya rasa perkara ini akan tetap mempengaruhi keputusan para pengundi Melayu didalam memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat.

Oleh itu, jika Barisan Nasional masih mahu menawan semula kerusi Parlimen Hulu Selangor, mereka harus 'berani berubah' dari sikap yang terlalu untuk 'menjaga hati' rakan dalam BN walaupun pada akhirnya tindakan seumpama itu hanya akan merugikan Barisan Nasional sendiri dimana yang akan menjadi mangsa kepada 'sikap bertolak-ansur tidak bertempat' dalam BN ini adalah rakyat yang majoritinya iaitu golongan yang sebenar-benarnya untuk dijaga hati serta kebajikan mereka dan bukannya calon daripada parti yang pernah tewas pada PRU-12 dulu.

Ulang Tahun ke-29 YAB Pehin Sri Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Hari ini Jumaat, 26hb Mac 2010 maka genaplah kepimpinan YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud memasuki tahun yang ke 29. Perjalanan yang begitu jauh, perjalanan yang seorang pemimpin untuk membawa perubahan besar terhadap negeri Sarawak dan seterusnya perubahan untuk rakyat Sarawak secara keseluruhannya agar rakyatnya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat dari negeri-negeri lain di Malaysia ini.

Bermula dari tarikh 26hb Mac 1981 iaitu sepanjang masa 29 tahun itu juga rakyat Sarawak dapat menyaksikan sendiri akan semua perubahan yang dimulakan oleh Pehin Sri selaku Ketua Menteri dengan reaksi yang berbagai-bagai daripada segenap lapisan rakyat di Bumi Kenyalang termasuklah daripada para pemimpin negeri Sarawak sendiri.

Langkah awal Pehin Sri Taib bermula dengan lancar namun sebagaimana biasa dalam perjuangan untuk memperbetulkan apa jua keadaan di negeri Sarawak, kepimpinan Pehin Sri mula berdepan dengan liku-liku dan rintangan apabila terdapat pihak yang mula tidak senang dengan usaha Ketua Menteri untuk membersihkan Sarawak dari amalan yang tidak sihat seperti rasuah dan sebagainya cuba mula menentangnya.

Namun semuanya dapat diatasi dengan baik apabila niat yang baik disertai dengan tindakan yang bersesuaian dengannya juga maka pasti usaha murni untuk meneruskan khidmat kepada rakyat sukar untuk pihak yang berkepentingan mengganggugatnya dan kini rakyat Sarawak harus terus bersama Ketua Menteri Pehin Sri Taib melihat ke hadapan, melihat kepada kejayaan untuk Sarawak.

Selamat Ulang Tahun ke 29 sebagai Ketua Menteri Sarawak, semoga Pehin Sri sentiasa dianugerah dengan kesihatan yang baik.

Arkib Blog