Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Selasa, Februari 15, 2011

Abang Jo layak mengganti Pehin Sri Taib sebagai KM Sarawak

Jika sebelum ini Datuk Seri Dr Mohd Effendi Norwawi bekas ADUN Dalat yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Rejang telah disebut-sebut layak untuk menggantikan tempat YAB Pehin Sri Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru.namun sejak pengunduran beliau dari kancah politik Sarawak beberapa tahun yang lepas telah menyaksikan bahawa negeri ini seolah-olah ketandusan seorang pemimpin yang berkemampuan untuk meneruskan dasar politik pembangunan yang diperjuangkan oleh Pehin Sri Taib Mahmud selama ini.

Tetapi dalam soal untuk mendapatkan seorang pemimpin yang berkelayakkan serta bersesuaian dari segi pengalaman, pendidikan, kewibawaan serta kesetiaan kepada parti dan sebagainya bagi menerajui kepimpinan kerajaan negeri bagi saya bukanlah masalah utama sebab BN Sarawak sebenarnya memang mempunyai banyak bakat-bakat pemimpin sepertimana yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak cuma masalahnya mereka ini tidak pernah diketengahkan atau dididik kepada cara-cara bagaimana untuk mengepalai juga mengurus kerajaan negeri yang struktur kabinetnya mengandungi jumlah menteri yang ramai dan seterusnya ke arah mana rakyat serta negeri ini hendak dibawa.

Dalam kabinet negeri Sarawak sekarang ini kita boleh fokus kepada Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) YB Dato Sri Abang Haji Johari bin Tun Abang Haji Openg sebagai satu pemimpin yang sepatutnya telah lama dibimbing dan beri tunjuk ajar kepada cara-cara menguruskan pembangunan serta ekonomi Sarawak dengan lebih cekap dan berkesan dan semua itu haruslah dilakukan bagi menjamin kesinambungan kerajaan Barisan Nasional di Bumi Kenyalang ini.

Lahir pada tanggal 4hb Ogos 1950, DS Abang Johari juga merupakan anak kepada bekas TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pertama adalah seorang pemimpin dalam PBB yang paling kanan dan begitu juga dalam kabinet negeri selain daripada Timbalan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Alfred Jabu. Kesetiaan DS Abang Johari yang sentiasa teguh terhadap perjuangan PBB dan juga terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Taib sejak dulu memang tidak perlu dipertikaikan lagi walaupun pernah beberapa ketika PBB berdepan dengan krisis dalaman yang kecil.

Mengambilkira sebahagian daripada apa yang telah tertulis di atas mengenai DS Abang Johari, maka tiada sebab sebenarnya untuk mengatakan bahawa Sarawak belum ada lagi pemimpin yang paling layak untuk menggantikan Ketua Menteri yang sedia ada sekarang ini cuma itulah masalahnya samada DS Abang Johari belum bersedia untuk mengambilalih pucuk pimpinan negeri ataupun memang tiada laluan diberikan kepada beliau untuk mewarisi teraju pentadbiran negeri.

Walaupun agak terlambat nampaknya bagi Barisan Nasional untuk menamakan pengganti kepada Pehin Sri Taib memandangkan tempoh mandat yang diberikan oleh rakyat akan berakhir pada bulan Julai ini namun pihak Kerajaan Negeri tidak boleh membiarkan semua itu akan terus berlaku yang mana akhirnya akan membuka ruang dan menjadi satu peluang pula kepada pihak Pakatan Pembangkang untuk dijadikan modal kempen dan memudahkan mereka memasang berbagai strategi untuk mempengaruhi rakyat.

Bila berbicara mengenai perkara-perkara seperti ini juga adalah diharap sangat agar Barisan Nasional Negeri jangan terlalu leka dengan anggapan selama ini bahawa 'Sarawak kubu kuat BN' untuk tidak melihat kepada sudut lain yang mungkin boleh mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap BN Sarawak dan oleh itu BN Negeri tidak wajar untuk terus mengabaikan pandangan daripada sesetengah pihak dalam hal yang berkaitan kerana walaupun tampak kecil namun ianya tetap mempunyai nilai-nilai yang boleh mempengaruhi.

Arkib Blog