Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Sabtu, November 21, 2009

SPRM Suruhanjaya bebas kenapa tidak bebas ?

Selain daripada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam(SPA) serta Suruhanjaya Kehakiman dan lain-lain lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) merupakan satu badan bebas yang telah dibentuk, diluluskan oleh Parlimen serta telahpun diperkenankan oleh KBDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk bergerak tanpa adanya campur tangan ataupun halangan daripada mana-mana pihak sesuailah dengan kedudukannya sebagai Suruhanjaya Bebas.

Tetapi apa yang sangat menghairankan ialah berhubung dengan tindakan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang telah memutuskan bahawa penahanan yang telah dibuat oleh pihak SPRM terhadap Ahli Majlis Perbandaran Kajang(MPKj) iaitu Tan Boon Wah sebagai salah dan tidak mengikut prosedur sebagaimana yang telah diperuntukkan atau ditetapkan. Hakim Mahkamah Tinggi itu yang juga bekas pemimpin PAS turut menjelaskan mengenai keputusan "pelik" yang dibuat oleh beliau adalah berdasarkan kepada masa yang digunakan oleh pihak SPRM untuk menyoal-siasat suspek kerana tidak menggunakan waktu pejabat.

Cuba kita lihat waktu pejabat yang dimaksudkan yang akan bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 11.00 pagi dan rehat lagi 2 hingga 3 jam sehingga waktu kerja bermula pada sebelah petang dari jam 2.00 sampai jam 4.00 petang. Belum termasuk lagi setiap hari Sabtu yang waktu kerjanya hanya setengah hari dan hari Ahad satu hari. Pada musim perayaan bagaimana? Hakim itu juga harus tahu bahawa negara Malaysia ini banyak sangat hari cutinya, bermacam-macam lagi hari kebesaran yang kesemuanya menuntut kerajaan untuk memperuntukkan cuti khas bagi setiap perayaan.

Jadi apa yang saya lihat dari keputusan Mahkamah itu adalah tidak adil untuk SPRM. Kita semua tahu bahawa pegawai serta anggota SPRM bertugas 24 jam sehari sama juga seperti anggota polis, anggota tentera serta kakitangan atau pegawai kesihatan. Mereka mencurahkan bakti tanpa mengira masa dan tempat berbeza dengan kakitangan serta pegawai-pegawai di Mahkamah yang biasa kita lihat mereka akan masuk diperkarangan Mahkamah pada waktu pejabat, kadangkala lewat sampai dimahkamah dan apa yang pasti ialah kakitangan serta para pegawai Mahkamah termasuk Hakimnya tidak bekerja pada waktu malam.

Pada pandangan saya selaku orang awam, adalah lebih baik sekiranya SPRM sebagai satu badan bebas yang telah diiktirafkan hendak dibiarkan menjalankan tugas mereka tanpa halangan dan arahan daripada mana-mana pihak. Biarkan SPRM menjalankan kerja mereka secara bebas, biarkan mereka menentukan sendiri bentuk cara bagaimana harus mereka untuk bertindak. Soal waktu bila mereka patut menyoal-siasat seseorang suspek itu terserahlah kepada kebijaksanaan pihak SPRM itu sendiri untuk menentukannya dan tidak masuk akal sama sekali jika hal yang remeh-temeh seperti itu juga ada pihak lain pula yang menyibuk hendak menentukanya.

Apa maknanya SPRM ditubuhkan jika terdapat tindakan yang mereka telah ambil seringkali dijadikan bahan pertikaian sehingga melarat ke Mahkamah? Sebagai sebuah badan bebas, kita mahu melihat SPRM benar-benar berfungsi secara bebas tanpa cuba dikawal oleh mana-mana pihak selaras dengan kewujudannya sebagai Suruhanjaya Bebas.

Kepada pihak Kerajaan juga kita harap mereka dapat berbuat sesuatu agar isu "waktu menyoal siasat" suspek tidak akan terus menjadi masalah pula kepada pihak SPRM semasa mereka menjalankan tugas. Kerajaan boleh melihat kepada Polis yang menjalankan kewajipan mereka tanpa mengira waktu, begitu juga dengan anggota Bomba dan anggota Tentera yang 24 jam bersilih ganti yang bertugas di perbatasan dan begitu juga dengan para doktor, jururawat di Hospital dan di Klilnik yang akan memberi rawatan kepada para pesakit mereka tanpa menunggu "waktu pejabat" untuk memberikan rawatan.

Kita boleh bayangkan sendiri jika ada berlaku kes kemalangan kereta lebih kurang jam 2.30 pagi misalnya, dan selepas itu mangsa telah dihantarkan ke Hospital atau Klinik yang tertentu, namun doktor atau jururawat perlu menunggu jam 8.00 pagi baru lah boleh memberikan rawatan. Cuba kita bayangkan jika situasi seperti ini berlaku, tentu sekali akan huru-hara suasana di Hospital. Bayangkan juga jika ada kebakaran rumah ditempat yang tertentu, apakah pihak Bomba akan menunggu "waktu pejabat" untuk bergerak ? ...tentu tidak kan.

Oleh itu, pihak SPRM juga harus diberikan hak yang sama sebagaimana yang pihak Polis, Tentera, Bomba, Kastam, Imigresen, Doktor, Jururawat perolehi. Jangan tentukan masa atau waktu untuk mereka menyoal-siasat pesalah. Bebaskan SPRM dari sebarang halangan bagi memudahkan mereka untuk menyiasat, menyoal-siasat orang yang terlibat dengan rasuah pada bila-bila masa demi untuk membenteras gejala rasuah di negara ini.

Arkib Blog