Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Selasa, Mei 27, 2014

Hudud PAS akhirnya tenggelam di Teluk Intan !

Demi untuk menjaga hubungannya dengan DAP agar tidak tergugat, PAS nampaknya seolah-olah tiada pilihan lain lagi selain dari terus meminggirkan perjuangan Islam mereka serta menurut apa saja kehendak DAP yang terang-terang menentang segala bentuk usaha PAS yang bercita-cita hendak mendirikan undang-undang Islam di negara ini termasuklah kerjasamanya dengan UMNO.

Pilihan Raya Kecil Teluk Intan di Perak menjadi bukti dan saksi kepada penentuan soal hudud ini samada PAS hendak meneruskan agenda mereka itu ataupun mereka harus menyerah kalah kepada DAP dan seperti yang telah diduga, PAS melalui Presidennya Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang telah memberi isyarat awal bahawa PAS sudah tidak lagi berminat hendak bercakap pasal hukum hudud sebab keutamaan mereka kini adalah untuk menang pilihan raya bersama DAP dan PKR.

Maknanya kini ialah, hukum hudud sudah tidak lagi wujud dalam kamus perjuangan PAS dan mereka sudah menggantung undang-undang berkenaan kerana telah menganggap ianya tidaklah penting lagi seperti 10 tahun yang lalu..

Jumaat, Mei 23, 2014

Jika kuasa imuniti Raja & Sultan boleh dikurangkan, kenapa tidak kekebalan anggota dewan??

Sebagaimana yang kita rakyat Malaysia semua sudah sedia maklum bahawa kuasa imuniti atau kuasa kekebalan raja-raja serta Sultan telahpun dikurangkan selepas usul mengenainya diluluskan oleh dewan rakyat selepas mendapat perkenan daripada raja-raja Melayu iaitu sewaktu kerajaan di bawah pentadbiran YABhg. Tun Dr. Mahathir dan juga gandingan mantap beliau ketika itu Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba.

Tujuan kerajaan dan niat ianya dipinda adalah jelas untuk mengelak raja-raja serta sultan menyalahgunakan hak keistimewaan yang ada pada mereka di samping untuk menghindari rakyat menjadi hilang rasa taat setia di mana akhirnya rakyat dibimbangi akan bangkit menentang raja serta sultan hingga menyebabkan instituti berkenaan terancam dan terjejas, justeru itu kerajaan berpendapat sesuatu perlu dilakukan demi menyelamatkan instituti dan ianya telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional ketika.

Begitu jugalah yang kita harapkan dari apa yang berlaku dalam insiden membabitkan ADUN Sri Delima R.S.N. Rayer dengan pihak UMNO, supaya sesuatu dapat dilakukan oleh mereka yang berwajib agar rasa hormat dan percaya rakyat terhadap Ahli Yang Berhormat tidak lebur gara-gara tindakan liar oleh segelintir wakil rakyat yang sengaja menimbulkan keadaan huru-hara di dalam masyarakat. Kita tidak mahu satu hari nanti kemuliaan dewan terus tercemar angkara perbuatan yang langsung tidak bertanggungjawab oleh anggota dewan.

PR salahguna kuasa imuniti dewan untuk cetus ketegangan kaum di Malaysia !

Melihat kepada kejadian di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bermula dua hari yang lalu akibat kenyataan angkuh dan biadap ADUN daripada DAP yang mencela dan mengutuk UMNO dan orang Melayu dengan perkataan yang sungguh kesat, maka di sini kita dapat melihat bagaimana wakil rakyat Pakatan Haram Pembangkang baik yang di dewan undangan negeri mahupun parlimen mereka sesuka hati menggunakan kuasa kekebalan dewan untuk mengeluarkan kata-kata yang jelas menyinggung pihak lain tanpa memikir risikonya terhadap hubungan kaum di negara ini.

Sehubungan dengannitu, sudah tiba masanya untuk pihak yang berkaitan agar melihat perkara itu iaitu 'imuniti atau kekebalan kuasa di dalam dewan' dikaji semula mana yang melibatkan ahli dewan supaya mereka tidak lagi dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tersebut untuk menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat majmuk di negara ini biarpun sekiranya ianya diucapkan oleh mereka ketika berada di dalam dewan sedangkan setiap apa yang mereka lakukan sedang diikuti oleh rakyat dari luar.

Perkara ini perlu dipinda demi mengelak berlakunya penyalahgunaan yang berterusan oleh mana-mana wakil rakyat ketika di dalam dewan yang jika tidak diperbetulkan dengan lebih awal kita khuatir ianya akan mendatangkan keadaan lebih buruk dalam negara kita di kemudian hari. Mereka yang dipilih untuk berada di dalam dewan sebagai wakil rakyat harus faham mengapa mereka berada di situ dan bukannya mensia-siakan amanah yang diberi oleh rakyat kepada mereka untuk mencipta perkara yang hanya merugikan masyarakat dan negara.

Selasa, Mei 20, 2014

Belum apa-apa lagi, TERAS sudah mula bergolak !

Kita tidak tahu samada amaran yang terkandung di dalam risalah tertentu terhadap pemimpin Cina yang menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) datang dari dalam kalangan parti atau oleh pihak luar apabila menyebut bahawa penyertaan mereka tidak dialu-alukan ke dalam parti baru itu kerana menurut sumber berkenaan TERAS adalah sebuah parti yang berteraskan kepada perjuangan kaum Dayak di Sarawak sama seperti parti yang terdahulu misalnya SNAP, PBDS, STAR, PRS, SPDP dan lain-lain lagi.

Namun apa yang lebih menarik lagi ialah perang dingin antara bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan dengan Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing yang mengambil tempat dalam perkembangan politik semasa Sarawak apabila Tan Sri James Jemut seolah-olah menyalahkan Tan Sri William berikutan tindakan ADUN Pelagus YB George Lagong keluar dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang dipimpin oleh Larry S'ng dan turut menyertai TERAS.

Namun Tan Sri William menafikannya malah beliau menyatakan rasa kecewa terhadap Tan Sri James Jemut yang berubah sikap dari aman sebelum ini kepada provokatif dan suka bersangka buruk. Untuk rekod, DUN Pelagus memang telah diperuntukkan oleh BN kepada PRS tetapi calonnya tewas kepada calon Bebas George Lagong pada PRN Sarawak ke-10 tahun 2011 yang mana George Lagong kemudiannya menyertai SWP namun keluar semula baru-baru ini.

Persoalan mengapa YB George Lagong tidak menyertai PRS tetapi memilih untuk bersama dengan bekas Presiden SPDP dalam TERAS dan tandatanya ini patut dijawab oleh Tan Sri James Jemut mengapa ADUN Pelagus itu tidak mahu bersama beliau dalam PRS?

Isnin, Mei 19, 2014

PRK Teluk Intan: Dyana Sofea, terperangkap dalam Krisis Identiti

Kalau diikut dari sejarah latar belakang keluarganya, calon DAP bagi PRK Teluk Intan di Perak, Dyana Sofea sememangnya dari keluarga yang menyokong perjuangan UMNO malah Dyana sendiri juga turut menimba ilmu dari pusat pengajian yang berteraskan kaum Bumiputera iaitu UiTM.

Tetapi tidak sangka pula sesudah mendapat sedikit ilmu, Dyana mula lupa diri malah terpukau dengan kuasa dan pangkat sehingga sanggup pula mempersoalkan tentang terma & syarat kemasukan ke UiTM sebaik saja dinamakan sebagai calon DAP pada Pilihan Raya Kecil berkenaan.

Calon Muda ! BN juga lebih dulu pernah ketengahkan pemimpin muda

Apabila DAP mencalonkan seorang gadis muda Dyana Sofea sebagai calon parti itu pada PRK Parlimen Teluk Intan Perak, maka ramailah pihak yang cuba mencemuh Barisan Nasional konon tak seberani parti lawan dari Pakatan Haram Pembangkang dalam mempertaruhkan nasib masa depan parti itu.

Tapi sebenarnya kita lupa bahawa sebelum inipun Barisan Nasional pernah memulakannya tapi tidak diwar-warkan kerana bagi pihak BN mungkin perkara itu hanya biasa-biasa saja tetapi apabila DAP melakukannya maka tetiba saja orang ramai buka mata macamlah DAP tu bagus sangat.

Cuba kita imbas kembali pada zaman awal kerajaan Barisan Nasional dulunya Perikatan yang diketuai UMNO, bekas Ketua Menteri Sarawak yang kini TYT Sarawak Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud telah memulakan karier politiknya seawal usia 25 tahun semasa menyertai kabinet Sarawak dan Pusat. Datuk Seri Najib menjadi MB Pahang ketika umur beliau 22 tahun. Datuk Seri Dr. Khir Toyo dilantik menjadi Menteri Besar Selangor pada umur 33 tahun. YB Khairy Jamaluddin menjadi calon BN di Parlimen Rembau pada usia 27 tahun.

Itu antara contoh-contohnya malah masih ramai lagi nama-nama pemimpin BN yang mula dibawa untuk bergiat dalam politik pada usia mereka yang masih muda tetapi tiada yang kisahpun namun apabila DAP buat lalu riuh pula satu dunia. Ada satu lagi, Lim Kit Siang, jika beliau adalah dari BN sudah pasti kena kutuk bagai kerana sudah berabad-abad dalam parti tetapi tak reti-reti nak berundur tetapi oleh kerana beliau dalam DAP maka semuanya menjadi okay..

Sabtu, Mei 17, 2014

PKR sudah menuai hasil yang ditanam !

Jangan pula kita fikir bahawa beberapa insiden seperti pergaduhan, baling kerusi, tendang peti undi dan berbagai lagi yang telah mewarnai suasana pemilihan jawatan dalam parti PKR baik pada pemilihan sebelum ini mahupun pada pemilihan tahun 2014 sebagai satu kebetulan atau satu perkara biasa kerana sesungguhnya apabila seseorang petani itu memilih benih apa yang dia mahu tanam maka akhirnya nanti setelah tiba musim menuai maka itulah juga hasil yang akan dia tuai dan petik dari kebunnya.

Senang cerita, kalau dia tanam pisang maka nanti dia akan dapat hasil pisang juga takkanlah dia akan pungut hasil buah nenas dan begitu juga jika dia tanam buah koko takkan jadi kopi. Kalau dah Anwar Ibrahim dan PKR sendiri mengajar rakyat harus berani menentang kerajaan, melawan pihak berwajib malah menentang siapa saja yang mereka tidak suka maka jangan hairanlah atau terperanjat jika kini sudah muncul pula mereka-mereka dari kalangan PKR lantang mencabar pemimpin mereka seperti yang telah berlaku di Selangor semalam malahan berlaku di hadapan Anwar Ibrahim sendiri yang kelihatan beberapa kali cuba menenangkan ahlinya namun suasana bertambah kecoh.

Jumaat, Mei 16, 2014

Kenapa pula presiden SPDP ikut melompat sama ??

Sangat aneh bagi saya apabila seorang presiden bagi sesebuah parti politik bertindak terjun bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin lain keluar parti dan masuk parti lain seperti yang telah dilakukan oleh bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom.

Lebih mengejutkan lagi ialah apabila Tan Sri William Mawan bertindak sedemikian bersama dengan kumpulan 5 yang pernah menentang beliau sebelum ini seperti ADUN Tasek Biru YB Datuk Peter Nansian, ADUN Bekenu YB Hjh Rosey Yunus, ADUN Marudi YB Datuk Sylvester Entrie Muran, ADUN Batu Danau dan juga bekas Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr. Tiki Lafe setelah mereka cuba disisih dari parti oleh kepimpinan parti.

Kalau betullah DS Anwar kemalangan, mana gambar kereta dia ya?

Baru beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan berita di media sosial facebook jam 10 malam menyebut bahawa ketua pembangkang DS Anwar Ibrahim telah terlibat kemalangan jalanraya di Damansara ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama dengan isterinya DS Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tapi sehingga kini kita belum lagi nampak atau ditunjukkan dengan gambar kereta beliau yang terlibat dalam kemalangan tersebut sebab jika benar berlaku tentulah ada disertakan dengan gambar keretanya sekali seperti yang berlaku ke atas YB Tian Chua, mendiang Karpal Singh, Menteri Kesihatan DS S. Subramaniam dan beberapa orang mereka yang lain lagi sebelum ini...tapi gambar kereta Anwar mana hoooo???

Khamis, Mei 15, 2014

Kerajaan BN Sarawak perlu bijak baca taktik pembangkang !

Kerajaan negeri Sarawak yang baru di bawah teraju YAB Tan Sri Hj. Adenan Hj. Satem dilihat mula mengambil langkah yang lebih terbuka dan berlembut dengan pihak pembangkang, ini berdasarkan kepada perkembangan terkini keadaan politik semasa di negeri ini di mana pihak kerajaan dan pembangkang kelihatan sedang berusaha menjalinkan hubungan mesra sesama mereka dan ini ternyata berbeza dengan cara dan juga corak kepimpinan sebelum ini yang agak tegas serta lebih berprinsip selaras dengan kedudukkannya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah.

Namun dalam suasana yang sedemikian rupa, pihak kerajaan negeri diharap tidak menaruh keyakinan terlalu tinggi bahawa pembangkang akan mengubah pendirian mereka terhadap dasar kerajaan dari membangkang sebelum ini kepada menyokong kerana kita perlu sedar dan sentiasa ingat bahawa matlamat asal pembangkang yang bergabung di dalam Pakatan DAP, PKR dan PAS adalah untuk menawan Bumi Kenyalang serta merampas kerajaan negeri Sarawak daripada Barisan Nasional.

Justeru itu, pemimpin kerajaan BN negeri diharaplah agar sedar bahawa prinsip perjuangan pembangkang ialah "matlamat menghalalkan cara." Mereka sanggup lakukan apa saja demi untuk mendapatkan kuasa memerintah negeri Sarawak. Jadi pemimpin BN Sarawak janganlah mudah leka dan terbuai dengan muslihat tersembunyi disebalik pujian misteri mereka ke atas kepimpinan baru kerajaan negeri Sarawak.

Sebagai rakyat Sarawak yang sayangkan Malaysia ini, kita tidak mahulah melihat kerajaan BN negeri seolah-olah mula cuba hendak menekan kerajaan BN Pusat dengan menggunakan berbagai modal yang sebelum ini sememangnya kita tahu telah menjadi alat kepada pembangkang untuk meracuni pemikiran rakyat Sarawak agar bangkit membenci kerajaan persekutuan.

Bagi saya, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya kerajaan negeri hendak menuntut perkara-perkara tertentu daripada kerajaan pusat tentang apa yang patut dan wajar bagi negeri dan rakyat Sarawak tetapi biarlah ianya dibuat atau dilakukan atas kehendak kerajaan negeri itu sendiri demi rakyat tanpa dilihat terlalu bergantung di atas desakan pihak pembangkang.

Rabu, Mei 14, 2014

Tuhan beri peluang untuk berpatah balik dari keterlanjuran

Tuhan itu Maha Adil dan Maha Bijak Sana. Tuhan telah memberi beberapa petunjuk kepada orang-orang tertentu yang dikehendakiNya agar mereka ini segera insaf dari perbuatan salah yang telah mereka lakukan serta berubah kepada kebaikan.

Apa yang telah terjadi ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr. WAWI semalam bolehlah dianggap sebagai peringatan daripada Tuhan supaya kedua mereka perbetulkan balik apa jua kesilapan yang telah mereka lakukan dalam perjuangan mereka selama ini hingga menimbulkan begitu banyak masalah di kalangan masyarakat serta mewujudkan suasana gelisah di dalam negara.

Apa-apapun kita doakan keselamatan dan kesihatan untuk kedua-duanya malah kita berharap agar peristiwa itu mampu menjadi ikhtibar bahawa setiap apa yang kita lakukan jika ianya bertentangan dengan apa yang menjadi pegangan dalam hidup kita pasti Tuhan tidak akan pernah merestuinya.

Selasa, Mei 13, 2014

PAS hantar Mohd Nabi ke Bukit Gelugor untuk melangkah mayat

Nampaknya dalam diam PAS telah menyahut cabaran yang pernah disuarakan oleh bekas Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga bekas anggota Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh kepada PAS sebelum ini iaitu sekiranya parti yang menggunakan nama Islam itu berhajat benar hendak melaksanakan hukum Hudud di Malaysia maka hendaklah mereka melangkah mayat beliau terlebih dahulu baru boleh tubuhkan negara Islam di negara ini.

Bertanding atas tiket Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abdul Sathar, 63, tanpa berselindung mengaku bahawa beliau adalah ahli parti PAS dan berhasrat mahu menang di Bukit Gelugor agar membolehkan beliau membantu PAS melaksanakan undang-undang Hudud di negeri Pulau Pinang. Visi sukar tapi tak mustahil untuk tidak berjaya..

Khabar dari Terengganu sebuah berita buruk bagi Barisan Nasional !

Siapa sangka keadaan politik di negeri Terengganu boleh bergolak sampai ke tahap keluar parti apatah lagi apabila ianya melibatkan bekas Menteri Besarnya sendiri Datuk Seri Ahmad Said yang terkenal dengan sikap tegas, berani serta lantang bersuara tentang perkara-perkara yang menjadi perhatian kepada rakyat.

Dua penggal menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said atau lebih mesra dengan nama panggilan Mat Said kerapkali menunjukkan sikap bertanggungjawab beliau terhadap parti, bangsa, agama, negeri serta negara tetapi malang sekali kerana rupa-rupanya sikap sedemikian tidak disenangi oleh ramai pemimpin di dalam UMNO sedangkan pemimpin atasan berkehendakkan pemimpin pada peringkat yang lebih bawah bersikap tunduk kepala dan sentiasa menjadi Pak Turut dalam semua perkara selagi mereka berkhidmat dengan parti dan kerajaan.

Harap apa yang sedang berlaku di Terengganu akan menjadi pengajaran berguna kepada Barisan Nasional selepas ini dan jangan ambil mudah dengan suara-suara kerdil yang berbunyi di sisi-sisi jalan..DENGARLAH DENYUT NADI RAKYAT :)

Isnin, Mei 12, 2014

PR turut menjadi batu api kepada kaum Cina di Sarawak

Kenyataan terbuka oleh beberapa pemimpin parti dari DAP yang dibuat ketika bersidang di dalam DUN dan juga semasa sidang media yang secara terang-terangan telah menyentuh isu berkaitan dengan hal ehwal kaum di Sarawak sesungguhnya tidak akan membantu menstabilkan keharmonian kaum di negeri ini melainkan mereka hendak memulakan satu keadaan di mana hendak menjerumuskan semula masyarakat di Bumi Kenyalang ke dalam situasi perebutan kuasa, wilayah yang kemudiannya menjurus kepada perbalahan antara kaum sepertimana yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Brunei dahulukala.

Kita di Sarawak tidak mahu keadaan itu berulang sekali lagi di negeri ini selepas kita merasai nikmat kemakmuran setelah bersama dengan Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah membina Persekutuan Malaysia yang nyata lebih terjamin perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaumnya. Apabila terdapat beberapa pemimpin dan wakil-wakil rakyat dari DAP cuba membangkitkan isu berkaitan kaum, maka kita mahu kerajaan negeri lebih berani untuk mengingatkan mereka ini agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dengan apa yang mereka nyatakan agar ianya kelak tidak akan menjadi punca berlakunya keadaan yang tidak terkawal di Sarawak ini.

Kita merayu kepada pemimpin politik dari kaum Cina di Sarawak khususnya dari DAP agar mereka jangan sesekali mengungkit keadaan hidup kaum mereka dengan bentuk bagaimana kerajaan Barisan Nasional melayan kaum mereka berbanding kaum Bumiputera di Sarawak yang mereka dakwa tidak adil tetapi adakah mereka membuka mata untuk melihat bagaimana pula keadaan hidup kaum Bumiputera yang tinggal di bandar-bandar besar seluruh Sarawak yang hidup mereka umpama melukut di tepi gantang ?

Kami rakyat dari kaum Bumiputera di Sarawak tidak pernah melihat dasar kerajaan BN selama ini yang dituduh oleh pemimpin DAP ini sebagai telah menekan kaum Cina di Sarawak namun sebaliknya kami merasa dasar kerajaan BN lebih mengutamakan kaum Cina jika dibandingkan dengan apa yang kaum Bumiputera dapat. Hak rakyat pendalaman malah ada sesetengah tanah-tanah yang telah diusahakan oleh penduduk kampung kaum Bumiputera yang telah beralih hak kepada pihak yang tak sepatutnya.

Ahad, Mei 11, 2014

Tuduhan liar dan tidak berasas Anwar & PKR terhadap SPR kini memakan diri sendiri

Entah apa yang akan menimpa parti PKR yang dikawal oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini semuanya belum pasti lagi. Namun apa yang mereka sedang hadapi ketika ini iaitu di saat pemilihan berbagai jawatan dalam parti pada peringkat bahagian sedang berlangsung, suasana kecoh dengan isu penipuan serta penyelewengan bukan saja berlaku di satu tempat tetapi telah berlaku hampir di semua bahagian seluruh negara.

Apa yang lebih menarik dari situasi kacau bilau semasa proses pemilihan jawatan PKR sedang berlangsung sekarang ini akibat dari beberapa insiden penipuan dan penyalahgunaan kuasa memilih calon ialah perkara itulah yang selama ini yang selalu dikaitkan oleh para pemimpin PKR juga pengikut mereka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mereka sesuka hati dan tanpa rasa bersalah melemparkan dakwaan tanpa asas kepada suruhanjaya berkenaan kononnya melakukan penipuan ketika PRU mahupun ketika PRK semata-mata untuk memenangkan Barisan Nasional.

Kini, segala apa yang pernah mereka tuduh terhadap pihak SPR sebelum ini nampaknya sedang berlaku dengan pantas di dalam PKR sendiri apabila semasa proses pemilihan sedang berlangsung kejadian pergaduhan sesama ahli parti seakan-akan menjadi asam garam pula dalam PKR, harus berlaku perkelahian dan pergaduhan untuk merebut jawatan dalam parti.

Segelintir rakyat Malaysia telah hilang nilai-nilai murni dalam hidup

Keputusan terdesak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memansuhkan Akta ISA serta Ordinand Darurat nampaknya tidak mampu membendung sikap melampau, biadap dan kurang ajar sesetengah daripada rakyat di negara ini.

Mereka malah tidak pernah berterima kasih atas semua pengorbanan yang telah kerajaan buat semata-mata kerana mahu memenuhi desakan daripada pihak pembangkang, namun apa yang lebih mengecewakan lagi ialah apabila ada di antara mereka berterusan cuba menyerang pemimpin negara tanpa rasa segan silu biarpun hanya menggunakan sekeping gambar.

Perbuatan kurang ajar seperti itu hendaklah disekat dari terus menjadi ikutan generasi yang akan datang.

Salam 1Malaysia

Arkib Blog