Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Sabtu, Mac 13, 2010

Anugerah 'Datuk' kepada para pelakon satu penghormatan dan mesti dihormati.

Kali ini saya ingin memandu arah dari selalu menyentuh isu-isu politik menuju arah untuk melihat kepada isu-isu yang tidak kurang juga hebatnya di negara ini iaitu dunia seni. Disebalik gesaan beberapa pihak yang menyeru agar ditarik balik anugerah atau pingat kebesaran yang membawa berbagai-bagai gelaran daripada penerima tertentu dengan alasan atas sebab-sebab yang tertentu juga, namun saban tahun juga kita melihat semakin ramai juga yang terus menerimanya setelah jasa-jasa mereka didalam bidang serta kerjaya masing-masing turut diiktiraf oleh pihak Kerajaan.

Penggiat seni seperti penyanyi, pelakon drama dan filem, pelawak, pencipta, penggubah, penulis lirik lagu, penulis skrip drama dan filem, pengarah serta penerbit drama juga filem, jurukamera dan semua mereka yang terlibat secara langsung didalam industri hiburan tanah air juga tidak terkecuali mendapat pengiktirafan yang sedemikian rupa daripada pihak kerajaan serta seluruh para peminat di negara ini.

Contohnya seperti Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Biduan Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarhamah Datuk Saadiah, Allahyarham Datuk Mahmud June, Allahyarham Datuk S. Roomai Nor, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Aziz Sattar, Datuk Aziz Singah, Datuk S. Kusdiwanata, Datuk Mustapha Maarof, Biduan Negara Datuk Sharifah Aini, Datuk M. Daud Kilau, Datuk D. J. Dave, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Michele Yeoh, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk Seri Jefferydin, Datuk Yusof Haslam, Tan Sri Datuk S. M. Salim, Allahyarham Datuk S. Jibeng, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Kassim Masdor, Datuk Kathijah Ibrahim, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali dan lain-lain lagi.

Sebagai peminat kepada mereka ini, kita tentunya pasti merasa amat gembira apabila artis-artis baik penyanyi maupun pelakon yang kita minati telah mendapat anugerah yang tertentu daripada para pembesar negara berdasarkan sumbangan mereka kepada masyarakat negara ini melalui karier mereka masing-masing. Sudah tentu apabila penyanyi atau pelakon yang menjadi pujaan telah menerima pengiktirafan yang selayaknya daripada pihak pemerintah maka sebagai peminat, kita juga sangat mengharapkan agar mereka ini tahu bagaimana cara untuk menghargai kurniaan darjah yang telah diberi dan bagaimana untuk menentukan pembawaan diri baik ketika didunia layar ataupun ketika diluar penggambaran supaya selepas itu penampilan dikhalayak ramai bersesuaian dengan anugerah yang ada pada diri.

Disini saya cuma hendak menyentuh berkenaan dengan dua personaliti terkenal saja, kerana kalau hendak menilai kesemua mereka yang lainnya pasti akan mengambil masa dan ruang yang sangat panjang. Kedua selebriti ini sangat terkenal, lihat gambar diatas semua rakyat Malaysia kenal, dari orang tua, muda dan anak-anak kecilpun tahu siapa mereka ini. Datuk Jalaluddin Hassan pelakon drama tv terkenal dengan jolokan Richard Gere Malaysia, adik kepada Ketua Polis Negara YBhg Tan Sri Musa Hassan dan seorang lagi Datuk Rahim Razali pengarah, penerbit serta pelakon filem, pelakon drama tv dan beliau juga merupakan seorang pengulas sukan khususnya sukan bolasepak. Kempen Piala Dunia semakin rancak dan sepak mula untuk perlawanan pertama Piala Dunia di Afrika Selatan tidak lama lagi dan ini tentunya akan membuat Datuk Rahim Razali menjadi semakin sibuk dengan jadual ketat beliau.

Saya sengaja memilih dua insan seni ini sebagai mengisi ruang kepada tajuk artikel yang saya letakkan diatas sebab keduanya dilihat sentiasa laris dan hangat dipasaran baik untuk drama di TV1, TV2, TV3 dan juga di Channel tertentu di ASTRO. Apa yang cuba untuk saya ketengahkan disini ialah berkenaan dengan watak-watak yang dilakonkan oleh kedua-dua mereka ini dalam drama-drama terbaru iaitu selepas mereka di anugerahkan dengan pingat yang membawa gelaran 'Datuk.' Jika sebelum kedua mereka ber'title' sebagai Datuk, apapun watak yang dipegang mereka dalam mana-mana drama atau filem memanglah kita tidak ambik kisahpun tetapi kini apabila situasinya berbeza dan keduanya telahpun berstatus sebagai Datuk, jadi adalah sangat tidak elok untuk mereka diberi watak yang dirasa memang tidak sesuai lagi untuk dilakon oleh keduanya memandangkan gelaran sebagai Datuk harus dihormati supaya institusi yang memberikannnya tidak merasa terkilan.

Didalam drama-drama terbaru lakonan kedua mereka ini, bagaimana kita boleh melihat aksi mereka dengan watak-watak yang tidak sepatutnya diterima atau diberikan kepada mereka untuk menjayakannya. Dalam satu drama yang ditayangkan dalam salah satu saluran tv baru-baru ini, dimana Datuk Rahim memegang watak sebagai seorang tua yang kaya-raya, berbudi-pekerti yang tinggi, sentiasa berselindung dibalik sifat pemurahnya kepada penduduk kampung namun dalam diam-diam telah menyalahgunakan kekayaan serta harta-benda yang dimiliki untuk memenuhi semua tuntutan nafsu serakah dengan menodai kesucian gadis-gadis kampung, manakala dibabak akhir dalam drama itu beliau telah ditangkap, diheret oleh orang ramai keliling kampung. Sesuaikah watak begini untuk dilakonkan oleh mereka yang telah bergelar sebagai "Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan sebagainya?"...

Datuk Jalaluddin Hassan pula akan tampil dikaca TV3 tidak lama lagi dengan lakonan terbaru beliau, watak yang diberikan kepada beliau juga saya lihat memang tidak sesuai sama sekali bagi beliau yang telah bergelar sebagai Datuk. Ada masyarakat yang tidak tahu untuk membezakan antara dunia lakonan atau fantasi dengan realiti. Tetapi itu juga adalah antara masalahnya, dan apa yang saya mahu melihat ialah apakah memang tiada pelakon lain selain daripada mereka-mereka yang telah bergelar sebagai Datuk untuk diberikan watak sedemikian ? Adalah wajar bagi mana-mana pelakon yang sudah bergelar sebagai Datuk diberikan watak yang sesuai dengan perkembangan semasa mereka dan jika ditawar juga oleh mana-mana pengarah drama atau filem dengan watak sedemikian, mereka wajar untuk menolaknya sebagai menghormati kurniaan pingat yang telah mereka terima.

Tiada ulasan:

Arkib Blog