Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Selasa, Mac 13, 2012

PAS Sarawak bernafsu macam ular sawa mahu telan Bandaraya Miri

Jofri Jaraiee - Timb. Pesuruhjaya PAS Sarawak
Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Tuan Haji Jofri Jaraiee berkata, beliau berkeyakinan besar bahawa parti itu memang mampu untuk menumbangkan calon daripada parti Barisan Nasional di Parlimen Miri pada PRU-13 akan datang.

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang tidak dinyatakan, beliau optimis bahawa PAS mengatasi DAP serta PKR dari segi sokongan dan juga penerimaan rakyat setempat maka adalah bukan mustahil baginya jika pada PRU-13 nanti Pakatan Haram Pembangkang akan memenangi kerusi Parlimen berkenaan andai diletak calon daripada parti PAS dan bukannya daripada DAP mahupun PKR.

Dalam kawasan Parlimen Miri ada tiga kawasan DUN iaitu N63 Piasau, N64 Pujut dan N65 Senadin. Jika mengikut pada jumlah pengundi yang mendaftar sebagai pemilih sepertimana yang digunakan oleh SPR pada PRN Sarawak ke-10 tahun lepas, bagi kawasan DUN Piasau ada 16,600 pengundi layak, DUN Pujut ada 22,577 orang pengundi dan DUN Senadin ada 22,432 orang pemilih.

Dan ini bermakna pengundi untuk Parlimen Miri adalah berjumlah lebih kurang 61,609 orang tidak termasuk mereka yang baru mendaftar sebagai pengundi dan belum lagi ditolak dari jumlah yang meninggal dunia selepas pilihanraya negeri yang lalu.

Dari kesemua jumlah pengundi bagi kawasan DUN Piasau yang mengundi calon BN Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam pada PRN-10 lepas adalah 4,408 orang manakala 5.998 pengundi berpihak kepada calon DAP YB Ling Sie Kiong dan undi rosak 73. YB Ling Sie Kiong mendapat undi majoriti sebanyak 1,590 undi.

Bagi DUN Pujut pula, seramai 5.271 pengundi yang setia kepada BN tidak mampu memenangkan calon mereka Andy Chia Chu Fatt apabila 9,120 merupakan jumlah pengundi yang jauh lebih ramai telah memberi undi mereka kepada calon daripada DAP YB Fong Pau Teck yang menang dengan majoriti mudah 3,849 undi. Undi rosak hanya 67.

Sementara di DUN Senadin pula, calon BN YB Datuk Lee Kim Shin hampir tewas apabila hanya mampu menang dengan majoriti tipis 58 undi setelah melalui kiraan undi berulangkali kerana mendapat tekanan hebat dari pihak PKR yang tidak berpuashati apabila calon mereka Dr. Micheal Teo Yu Kheng dipilih 7,276 pengundi kalah di tangan YB Datuk Lee yang mendapat undi sebanyak 7,334.

Tidak seperti DUN Senadin, DUN Piasau serta DUN Pujut majoriti pengundinya adalah terdiri daripada masyarakat Cina dan pengundi daripada kaum Bumiputera bukan Islam adalah yang kedua terbesar untuk kedua-dua kerusi DUN tersebut manakala pengundi dari kaum Bumiputera Islam seperti Melayu/Melanau dan Kedayan merupakan yang ketiga terbesar.

Kalau bagi DUN Senadin, masyarakat Cina bukanlah pengundi besar bagi kawasan ini kerana kawasan Senadin didiami oleh kebanyakannya terdiri daripada kaum Iban serta Bumiputera lainnya seperti Melayu, Melanau, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Orang Ulu dan mereka inilah yang telah memberi undi kemenangan kepada YB Datuk Lee Kim Shin pada PRN Sarawak ke-10 lalu.

Tetapi, sekiranya benar PAS Sarawak memang berhajat untuk meletakkan calon mereka di Parlimen Miri pada PRU-13 bagi mewakili Pakatan Haram pembangkang, saya rasa parti ini bukan saja enggan membaiki kesilapan lalu tetapi akan sekali lagi mengulangi kesilapan yang pernah mereka lakukan sebelum ini. Bertanding pada PRN Sarawak yang ke-10 dengan meletak calon mereka di lima kawasan DUN dan tewas kesemuanya.

Di DUN kawasan N03 Tanjung Datu, PAS menurunkan calonnya Nani Sahari namun hanya mampu meraih 1,002 undi berbanding calon BN daripada PBB YB Tan Sri Adenan Hj Satem yang mendapat sokongan padu daripada 4,218 pengundi berbagai kaum di Tanjung Datu yang memberi kelebihan 3,216 undi majoriti kepada Barisan Nasional.

Sepertimana di Tanjung Datu, PAS Sarawak juga mempertaruhkan seorang lagi calon wanitanya, Noraini Hamzah bagi mewakilinya untuk menentang calon daripada Barisan Nasional iaitu adik kepada Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Seri Mohd. Ali Mahmud. Calon BN daripada PBB menang dengan majoriti besar 7,843 undi apabila seramai 11, 039 memilih untuk memberi undi kepada calon Barisan Nasional sementara calon PAS hanya mampu mendapat 3,196 undi.

Di kawasan DUN N20 Sadong Jaya, PAS meletak calon lelaki iaitu Abang Eddy Ellyanny Abang Fauzi untuk menentang calon daripada PBB/BN YB Aidel Lariwo yang akhirnya menang dengan majoriti yang agak membanggakan iaitu sebanyak 2,934 undi. Calon BN berjaya mendapat 4,008 undi manakala calon PAS pula hanya mampu memungut 1,074 undi.

Untuk kawasan N22 Sebuyau, PAS yang turut tewas kepada calon PBB/BN apabila dijarakkan dengan majoriti 2,276 undi berikutan kemenangan calon Barisan Nasional YB Julaihi Narawi yang berjaya menambat hati 4,045 pengundi untuk mengundi beliau berbanding dengan calon dari PAS Adam Ahid yang hanya mampu menerima simpati daripada 1,769 pengundi.

Namun walaupun menang agak tipis di N24 Beting Maro dengan hanya mendapat 391 undi majoriti tetapi sebahagian besar rakyat Beting Maro tetap setia dengan BN apabila 3, 069 pengundi terus memberi kepercayaan kepada YB Razaili Gapor iaitu calon PBB/BN berbanding calon PAS Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang mendapat sokongan 2,678 pengundi. Ini adalah kali kedua Abang Ahmad Kerdee bertanding atas tiket PAS menentang calon BN di kerusi berkenaan.

Pada PRN Sarawak ke-9 tahun 2006, BN hanya menang dengan kelebihan 895 undi majoriti di kawasan ini dan nyata Abang Ahmad Kerdee mempunyai pengaruh agak kuat di DUN Beting Maro apabila terus berjaya mengurangkan majoriti yang dimiliki BN sebelum ini daripada 895 undi turun kepada 391 undi saja. Di mana silap PBB/BN dalam mengekalkan prestasinya selama 5 tahun selepas berjaya mengekalkan kerusi disana dan di mana juga silapnya PAS kerana masih gagal menewaskan calon BN apabila sekadar hanya mampu mengurangkan undi majoriti?

Yang peliknya sekarang adalah, bagaimana PAS boleh menyimpan angan-angan untuk meletak bulan mereka di kawasan yang majoriti pengundinya bukan orang Islam? Tidak terpikirkah orang-orang mahupun para pemimpin PAS seandainya memang mereka beriya-iya mahukan kerusi Parlimen Miri menaruh calon disitu menentang calon BN daripada parti SUPP mereka apsti akan kalah besar kerana walaupun pada PRN Sarawak ke-10 lalu ramai pengundi di tiga kawasan DUN dalam Parlimen Miri menolak calon Barisan Nasional tetapi adalah bukanlah sesuatu yang mustahil juga untuk mereka kembali menyokong Datuk Seri Peter Chin Fah Kui kerana pandangan pengundi dibandar berkenaan dengan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan adalah dua perkara yang berbeza.

Tentu mereka berpendapat bahawa Datuk Seri Peter Chin mewakili kerajaan pusat yang ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Razak dan bagi pengundi di Miri adalah perlu untuk mereka menyokong dasar yang dibawa oleh Datuk Seri Najib dengan mengundi Datuk Seri Peter Chin. Slogan seperti "Undi BN undi Taib" telah banyak mempengaruhi undi rakyat dan bagi mereka yang telah terpengaruh dengan slogan itu akhirnya memilih untuk menolak dasar yang dibawa oleh kerajaan BN negeri pimpinan Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud.

Cara Datuk Seri Mohd. Najib mendekati rakyat semakin mudah diterima oleh masyarakat di Sarawak. Jika banyak tempat di pendalaman yang belum pernah dikunjungi oleh Pehin Sri Taib Mahmud namun Datuk Seri Mohd. Najib tidak memikirkan darjatnya sebagai pemimpin nombor satu negara sanggup meredah hutan belantara menemui rakyat sehingga yang tinggal di hulu-hulu sungai. Begitu juga dengan timbalan beliau YAB Tan Sri Muhyiddn Yassin sentiasa bekerja keras untuk memastikan agar tiada satupun rakyat di negara ini tersisih dari sebarang kemajuan termasuklah di Sarawak amnya dan di pendalaman khususnya.

Maka itulah juga yang dipertimbangkan oleh para pengundi di daerah Miri. Kelebihan lain yang dipikir pengundi di Parlimen Miri ialah apabila timbul isu di mana akhbar sering memainkan isu hubungan tidak mesra antara Pehin Sri Taib dengan Datuk Seri Peter Chin. Ini telah memberi kelebihan tanpa disedari kepada Ahli Parlimen Miri itu yang juga Presiden SUPP. Umum telah mengetahui bahawa kebanyakan masyarakat Cina kelas pertengahan dan bawahan sudah tidak lagi menyenangi kepimpinan YAB Pehin Sri Taib Mahmud dan mereka kini sedang tercari-cari seorang pemimpin yang tidak senang untuk ditundukkan kepalanya oleh Pengerusi Barisan Nasional Sarawak itu.

Dan mereka nampak apa yang mereka mahu ada pada diri Datuk Seri Peter Chin. Ada yang berpendapat Menteri Tenaga dan Teknologi Hijau seringkali membelakangi Pehin Sri Taib dalam membuat sesuatu keputusan yang berkaitan dengan kepentingan bersama dalam komponen Barisan Nasional dan tidak kurang juga yang mendakwa Ketua Menteri Sarawak makan hati berulam jantung ekoran tindak-tanduk yang penuh muslihat Datuk Seri Peter Chin itu. Itu yang dikatakan sebagai punca dinginnya hubungan antara kedua pemimpin tersebut.

Selain itu banyak lagi perkara lain yang perlu PAS selidiki terlebih dahulu dengan teliti sekiranya benar mereka mahu calon mereka bertanding di kawasan Parlimen Miri pada PRU-13 nanti. Kalau hanya bersandarkan kepada sokongan daripada sayap DHPP atau Dewan Himpunan Pemuda PAS sebagai jaminan kepada kemenangan di kawasan yang majoritinya kaum Cina serta Bumiputera bukan Islam adalah tindakan yang tergesa-gesa tanpa usul periksa oleh pihak PAS dalam usaha untuk menawan sesebuah kawasan dan jika ini yang mereka terus amalkan maka memang sesuailah parti PAS mendapat gelaran sebagai "Parti Asyik Serabut" oleh Perdana Menteri baru-baru ini dan rakyat Sarawak seluruhnya perlu tolak parti yang sebegini.

Arkib Blog