Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Isnin, Julai 27, 2009

Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada hari ini dengan satu tarikh keramat dan paling bersejarah iaitu hari Isnin 27 Julai 2009 telah tercatat satu lagi lakaran sejarah bagi negeri Sarawak khasnya untuk rakyat Bumi Kenyalang apabila KBDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berkenan untuk menyempurnakan perasmian Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru yang terletak di atas sebuah bukit berhampiran dengan di tepi sungai Sarawak.

Upacara perasmian Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak yang mempunyai ketinggian setinggi sembilan tingkat itu telah selamat disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong lebih kurang jam 11.25 minit pagi 27hb Julai 2009 dengan disaksikan oleh Sultan-sultan serta para wakil-wakil dari negeri Perlis Indera Kayangan, Perak Darul Ridzuan, Kedah Darul Aman, Kelantan Darul Naim, Terengganu Darul Iman, Negeri Sembilan Darul Khusus, Pahang Darul Makmur, Selangor Darul Ehsan dan Johor Darul Takzim serta juga Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri dari Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Yang Di Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob, Yang Di Pertua Negeri Sabah Tun Ahmad Shah Abdullah dan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Haji Muhammad Sallahuddin bin Abang Barieng.


Sumber berita dari Utusan Borneo :
Oleh - Sandy Mark Luna (23.07.2009)
-----------------------------------------------
KUCHING: Sejarah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula pada 8 September 1867 apabila Majlis Umum (General Council) mengadakan mesyuarat pertama mereka di sebuah pondok di Bintulu.

Badan Perundangan Negeri, mula-mula dikenali sebagai Majlis Umum sehingga tahun 1903. Selepas itu ia dinamakan Majlis Negeri sehingga tahun 1976 dan seterusnya dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri sehingga kini.

Majlis Umum mengadakan mesyuarat kedua mereka di Fort Brooke, Sibu pada 15 June 1868. Mesyuarat itu merupakan mesyuarat yang terakhir diadakan di daerah kecil apabila mesyuarat ketiga diadakan di Astana Kuching pada 11 Oktober 1870.

Seterusnya, pada 22 Julai 1918, Majlis Umum telah mengadakan mesyuarat di tempat keempat iaitu di Mahkamah Lama Kuching.

Majlis Negeri mengadakan mesyuarat yang ke-106 di lokasi kelima iaitu di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak pada 28 Disember 1973.

Tiga tahun kemudian, Kompleks Majlis Negeri tiga tingkat telah dirasmikan oleh Yang Di Pertuan Agong Tuaku Yahya Petra pada 17 Ogos 1976. DUN yang bertapak di tanah seluas 90 ekar yang indah dengan lanskap dan taman siap sepenuhnya pada tahun yang sama.

Majlis Negeri telah mengadakan mesyuarat di bangunan baru tersebut untuk julung kalinya pada 16 dan 17 Disember 1976 dan menjurus kepada penukaran nama kepada DUN dengan keahlian yang meningkat kepada 48 orang.

Persidangan-persidangan DUN yang diadakan sejak 33 tahun, telah banyak menyumbang kepada pembangunan Sarawak. Selepas tiga dekad kompleks yang memuatkan 48 ahli itu dibina, keahlian DUN telah bertambah kepada 71. Hal ini menyebabkan DUN kini semakin sesak kerana tidak mampu menampung kapasiti yang semakin bertambah.

Menurut bekas setiausaha DUN Lim Kian Hock, kompleks ini menjalani pengubahan yang besar pada tahun 1992.

Kompleks DUN baru, setinggi sembilan tingkat dan tersergam indah di atas bukit di tebingan Sungai Sarawak mampu menampung 108 ahli DUN dan turut mempunyai kemudahan pejabat persendirian.

Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Sri Asfia Awang Nassar berkata kos pembinaan seni bina agung yang menggabungkan elemen kebudayaan dan warisan Sarawak dengan sistem automatik terkini, kemudahan komunikasi media dan bercirikan mesra alam adalah berjumlah RM296.5 juta.

"Ia juga memberi ciri seni kontemporari yang indah dengan latar belakang Malaysia kepada reka bentuk terakhirnya. Ia turut dilengkapi dengan Dewan Santapan yang memuatkan 1,000 orang, tempat letak kereta untuk 315 kenderaan dan padang kawad seluas 172 ekar di tebing Sungai Sarawak," katanya dalam sidang media.

Di tingkat satu, terdapat dewan yang direka dengan 160 tempat duduk dan galeri untuk 224 orang. Pejabat DUN juga berada di tingkat yang sama. Tingkat atas menempatkan Dewan Santapan, dewan seluas 75 kaki kali 120 kaki merangkumi galeri awam, bilik penterjemah dan radio.

Di sekitar dewan adalah pejabat untuk speaker, kerani DUN, bilik rehat untuk ahli dan perpustakaan. Pejabat-pejabat untuk Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, menteri-menteri lain, bilik mesyuarat dan persidangan, pusat media, kafeteria dan pejabat DUN terletak di tingkat dua. Di sebelah anjung barat tingkat dua pula adalah galeri gambar.

Dinding dalaman, lantai dan siling kebanyakkanya diperbuat daripada kayu tempatan manakala dewannya dilengkapi dengan sistem bunyi dan sistem kelui yang canggih. Manakala kemasan luarannya pula kebanyakannya adalah daripada jubin kaca pada dinding dan bumbung.

...demikianlah serba sedikit penjelasan ringkas mengenai sejarah bagaimana bermulanya DUN Sarawak dan juga gambaran ringkas tentang reka bentuk, struktur dalam dan luar Kompleks DUN baru negeri Sarawak sebagaimana yang telah ditulis oleh Sandy Mark Luna - wartawan Utusan Borneo.
Posted by Picasa

Arkib Blog