
Cuma saya mahu berkongsi pandangan dengan rakan-rakan mengenai tiga kawasan DUN iaitu DUN N.36 Semop, DUN N.38 Jemoreng dan juga DUN N.54 Pelagus. Tiga kawasan DUN ini sebenarnya sedang berdepan dengan krisis kepimpinan dan masalah kepimpinan yang dihadapi oleh ketiga-tiga kawasan DUN ini pula berbeza diantara satu dengan yang lain.
N.36 Semop misalnya, masalah yang membelenggu rakyat disana selama berada dibawah penguasaan kerajaan BN adalah sama saja dengan masalah yang dihadapi oleh sesetengah rakyat dari kawasan DUN yang lain di negeri ini tetapi soal pokoknya ialah wakil rakyat yang mewakili rakyat di kawasan DUN Semop itu.
Selama berpenggal-penggal rakyat di kawasan DUN Semop terpaksa memilih YB DS Mohd Asfia Awang Nassar sebagai wakil mereka disitu demi untuk memastikan agar Barisan Nasional dapat terus bertapak di kawasan tersebut namun kesabaran penduduk di kawasan DUN Semop semakin hari semakin hilang apabila YB DS Mohd Asfia ternyata telah gagal membawa sebarang pembangunan untuk rakyat dikawasan Semop walaupun pada setiap kempen beliau dalam beberapa pilihanraya sebelumnya beliau pernah berjanji itu dan ini untuk rakyat tetapi sesudah itu keadaan tetap juga tidak berubah.
DS Mohd Asfia adalah orang dari luar kawasan dan beliau bukannya anak jati di kawasan DUN Semop itu, jadi menjelang pilihanraya negeri Sarawak ke-10 ini, semakin ramai penduduk di kawasan Semop turut menyuarakan rintihan mereka kepada pemimpin atasan parti PBB yang mahu supaya kerajaan Barisan Nasional mempertimbangkan seorang calon dari kalangan anak tempatan Semop diletak bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Semop dari dirampas oleh calon daripada pihak lawan.
Tapi malangnya segala rintihan rakyat di Semop seolah-olah tidak didengari dan buktinya ialah pada hari ini apabila calon yang dipertaruhkan oleh BN untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Semop iaitu Abdullah Sidon menyaksikan penduduk-penduduk di DUN Semop sekali lagi diwakili oleh seorang wakil rakyat yang bukannya anak tempatan kerana beliau berasal dari daerah lain. Akan tetapi sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti sekiranya beliau menang, apakah dia juga sama dua kali lima dengan DS Mohd Asfia.
N.38 Jemoreng pula, masalah yang dihadapi oleh para pengundi atau rakyat di DUN berkenaan juga hampir serupa dengan DUN Semop cuma bezanya wakil rakyat DUN Jemoreng dari BN iaitu YB Abu Seman Jahwie memang tidak dinafikan memang beliau kerap turun ke kawasan untuk berjumpa dengan rakyat tetapi soalnya ialah beliau sudah lima tahun atau sudah sepenggal menjadi wakil rakyat disitu namun rakyat sentiasa tercari-cari dimana kemajuan yang Abu Seman sudah bawa untuk DUN kawasan Jemoreng?
Keadaan ini sudah tidak menyenangkan Ahli Parlimen Igan iaitu YB Datuk Abdul Wahab Hj Dollah dimana DUN Jemoreng juga termasuk didalam kawasan P.107 Igan yang diwakilinya, jadi mahu tidak mahu YB Datuk Wahab terpaksa bersuara juga mengenainya dan harapan beliau mahu pada plihanraya Sarawak ke-10 ini Abu Seman diganti dengan muka baru yang lebih cergas dan cekap mengatasi masalah rakyat atau YB Dauk Abd Wahab sendiri akan membuat satu kejutan yang Barisan Nasional tidak pernah menduga sama sekali boleh terjadi. Tetapi nampaknya Abu Seman masih dikekalkan, jadi adakah Datuk Abd Wahab boleh menerimanya....sama-samalah kita tunggu dan lihat.
Manakala di DUN N.54 Pelagus pula dimana rakyat dikawasan berkenaan seringkali tampil menyuarakan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap ADUN N.54 Pelagus iaitu YB Larry S'ng untuk terus kekal sebagai wakil mereka dikawasan tersebut walaupun mereka sedar yang YB Larry S'ng tidak mewakili mana-mana parti dalam Barisan Nasional tetapi oleh kerana khidmat beliau sebagai seorang rakyat disana ternyata berkesan maka ini telah menyebabkan rakyat Pelagus sangat sukar untuk melepaskan YB Larry S'ng malah beberapa hari yang sudah mereka melalui Tuai Rumah masing-masing yang seramai lebih 153 daripada 172 orang Tuai Rumah esemuanya yang terdapat dalam kawasan DUN Pelagus telah menyediakan satu memo yang mengandungi tandatangan setiap seorang Tuai Rumah terbabit sebagai bukti sokongan mereka terhadap YB Larry dan kemudian dihantar kepada pengerusi BN Negeri untuk pertimbangan.
Tetapi dalam perkara ini nampaknya BN sekali lagi telah membuat keputusan hanya dengan kuasa mereka dan secara tidak langsung BN telah mengenepikan suara dari akar umbi iaitu suara rakyat bawahan apabila BN terpaksa tunduk dan akur terhadap tekanan daripada Presiden PRS Datuk James Jemut Masing yang bertegas mahu supaya BN menyingkir YB Larry S'ng dari kawasan DUN Pelagus untuk membolehkan pihaknya yaini PRS meletak calon baru mereka dikawasan tersebut iaitu Dennis Unja bagi menggantikan tempat YB Larry S'ng.