Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Rabu, September 24, 2008

Bertanding Sebagai Wakil Rakyat - Untuk apa ?

Kita di Malaysia ini telah banyak kali melalui proses demokrasi iaitu pilihanraya. Ini adalah bertujuan untuk memilih wakil-wakil rakyat yang akan menjadi ahli Parlimen diperingkat pusat atau diperingkat negeri ianya disebut sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Semasa tempoh Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan, ada banyak proses yang mesti dilalui, misalnya menetapkan tarikh penamaan calon dan selepas itu menetapkan tarikh pembuangan undi, ini adalah diurus oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Manakala bagi parti-parti politik yang akan turut serta didalam pilihanraya, mereka juga akan akan berdepan dengan banyak proses misalnya memilih calon-calon yang sesuai, yang berkelayakkan dan boleh dipercayai untuk bertanding didalam pilihanraya. Untuk tempoh tersebut juga, para pemimpin parti politik masing-masing akan menyediakan berbagai-bagai janji didalam manifesto pilihanraya bertujuan untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi kelak. Itu adalah serba sedikit tentang perjalanan salah satu daripada sistem demokrasi yang ada di Negara kita. Namun sejak akhir-akhir ini kita telah merasakan ada sesuatu yang tidak kena telah muncul apabila sesuatu pilihanraya itu berakhir. Sepatutnya, apabila setiap pilihanraya itu sudah selesai, maka sesiapa yang telah menang atau parti mana yang sudah menang, bermakna mereka itulah yang telah menjadi wakil rakyat untuk penduduk disitu dan patut serta semestinya menunaikan janji seperti apa yang telah telah dilafazkan kepada pengundi semasa berkempen dan juga sepertimana yang terkandung didalam manifesto pilihanraya dulu. Tetapi apa yang jelas kelihatan sekarang ialah, kita secara sedar atau tidak, undi yang telah diberikan oleh rakyat untuk memenangkan mereka pada pilihanraya tidak digunakan sebaik-baiknya, malah ada sesetengahnya seolah-olah telah menyalahgunakan kuasa yang telah diberikan oleh rakyat. Sesetengah rakyat memilih mereka adalah dengan harapan supaya wakil yang dipilih mampu untuk memberi perkhidmatan yang sangat-sangat diharapkan penduduk setempat, seperti untuk menaiktaraf sosio ekonomi, memberi banyak peluang pekerjaan serta dapat menyelesaikan banyak masalah. Tetapi perkara yang sebaliknya telah berlaku, ada sesetengah wakil-wakil rakyat yang mana bila sudah bergelar "Yang Berhormat"{ YB } perjuangan mereka seperti telah menyimpang jauh dan tersasar dari matlamat asal iaitu untuk membela rakyat. Ada juga yang dilihat setelah mendapat kuasa sebagai wakil rakyat hanya memperjuangkan kepentingan diri sendiri, rakan-rakan dan keluarga masing-masing yang tiada kaitan langsung dengan tujuan asal mereka bertanding didalam pilihanraya. Masalah rakyat mudah dilupakan, janji entah kemana.

Perpaduan Kaum : Sukar Untuk DiRealisasi

Kebanyakkan rakyat diseluruh Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum inginkan perpaduan dikalangan sesama mereka, namun apa yang menjadi halangan besar ke arah itu adalah sikap kaum-kaum itu sendiri. Antara sikap-sikap yang saya maksudkan ialah, apabila ada individu yang datang dari kaum yang lain menegur individu yang dari golongan kaum yang tertentu, maka teguran itu sering sahaja dilihat sebagai menyentuh atau mencampuri hak-hak kaum tersebut walaupun ianya hanya bersifat peribadi. Ini lebih parah lagi jika ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi itu dan terus menggembar-gemburknya sehingga ianya menjadi isu perkauman yang besar. Ini menunjukkan sikap mementingkan kaum sendiri masih tebal dikalangan rakyat Malaysia. Yang seterusnya sikap tidak memperdulikan orang sekeliling atau dengan istilah "tidak menjaga tepi kain orang lain". Ini terutamanya memang berlaku di bandar-bandar kecil juga di bandar-bandar besar. Jiran-jiran sebelah-menyebelah rumah tidak pernah kenal dengan jiran tetangga walaupun sudah berjiran berpuluh-puluh tahun. Tambahan lagi rumah-rumah di bandar kesemuanya di pisah ataupun di hadang dengan pagar, tembok batu dan simen, depan rumah berpagar, bila nak keluar barulah pintu pagar dibuka, bila sudah keluar pintu pagar ditutup semula, dikunci. Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan lagi usaha kerajaan untuk melihat rakyat dia bersatupadu, kenal antara satu dengan yang lain, malah perpaduan yang hendak diwujudkan mungkin akan menyimpang lebih jauh lagi dari matlamat asal. Perpaduan kaum yang sebenar adalah yang lahir dari hati sanubari dan jiwa yang ikhlas tanpa dipaksa-paksa. Lahir dari perasaan yang saling memahami, hormat-menghormati antara kaum. Ianya wujud secara semulajadi, oleh itu jika adapun usaha ke arah perpaduan, andaikata dianya berhasil mungkin juga ia kekal lama mungkin juga tidak.

I.S.A adalah Penawar Bagi Keselamatan Negara

Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) yang sejak akhir-akhir ini sering dipertikaikan oleh sesetengah pihak, ada diantaranya mengsyorkan supaya pindaan dibuat, ada juga yang mencadangkan supaya akta tersebut dikaji semula dan tidak ketinggalan juga ada yang mahu atau mendesak supaya akta itu dimansuhkan sepenuhnya. Tetapi apabila kita melihat keadaan yang tidak menentu didalam negara pada masa ini, maka kita melihat harus ada satu undang-undang yang khusus untuk membendung masalah-masalah seperti itu dari terus-menerus berlaku. Namun kita bertuah kerana telahpun mempunyai akta yang sedemikian. Apa yang penting sekarang, ialah kita harus mempertahankan supaya akta itu terus kekal demi menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan Negara. Walaupun bagi sesetengah pihak ianya patut dihapuskan, tetapi bagi mereka yang sangat memahami betapa pentingnya akta itu digunapakai, ianya boleh diibaratkan seumpama 'UBAT atau PENAWAR", inya sangat berkesan sekali didalam usaha mencegah sebarang tindakkan yang melanggar undang-undang Negara. ISA adalah ubat yang harus ditelan, biarpun pahit tetapi ia mampu untuk menyembuhkan penyakit dari terus menyerang dan mengganggu kehidupan.

Arkib Blog