Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Rabu, Mei 08, 2013

MP Sarawak: jangan ghairah idam jawatan jika belum bersedia pikul tanggungjawab !

PRU13 baru saja berlalu dan keputusannya semua rakyat Malaysia sudahpun sedia maklum. Barisan Nasional kekal sebagai kerajaan manakala Pakatan Pembangkang yang sebelum ini begitu yakin mereka akan berjaya menggulingkan BN ternyata gagal apabila hanya menang 89 daripada 222 kerusi parlimen.

Setiap negeri dalam Malaysia telah menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional di mana Sarawak menambah dengan jumlah 25 kerusi Parlimen yang dianggap sebagai terbesar di kalangan semua negeri dan diikuti negeri Sabah dengan 22 kerusi Parlimen dan seterusnya negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Keadaan yang mengambil tempat ketika ini iaitu selepas selesainya proses pilihan raya umum ke-13 lalu ialah mereka yang menang di peringkat parlimen sedang mengintai peluang dan sudah tentu sudah ada yang menaruh harapan tinggi untuk dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib ke jawatan tertentu dalam Kabinet baru tidak terkecuali ahli-ahli parlimen dari Sarawak yang menyedari mereka perlu diberi perhatian berdasarkan jumlah kerusi yang diperolehi BN negeri.

Tetapi perlu juga diingat bahawa tugas mereka sebagai Ahli Parlimen di kawasan-kawasan yang mereka menangi tidak kurang juga pentingnya dan seelok-elok sebelum mereka mengharap untuk dilantik sebagai menteri pada peringkat persekutuan maka mereka terlebih dulu hendaklah pastikan rakyat di kawasan tidak terabai sekiranya tugas bertambah luas apabila kelak diberi jawatan sebagai menteri.

Untuk melantik seseorang ahli parlimen dari Sarawak ke jawatan sebagai menteri kerajaan pusat hendaklah diteliti terlebih dahulu dari berbagai sudut termasuk prestasi dan keupayaan mereka dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar bersandarkan kepada rekod mereka sebelum ini sebagai wakil rakyat tanpa jawatan dalam kerajaan kerana terdapat seorang dua ahli parlimen BN di Sarawak yang amat susah hendak ditemui rakyat setiap kali selepas berakhirnya pilihan raya.

Apa-apapun bagi saya, sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib hendak melantik mana-mana Ahli Parlimen dari Bumi Kenyalang maka pilihlah di kalangan mereka yang dilihat benar-benar memiliki keupayaan yang tinggi untuk memikul tanggungjawab sebagai menteri yang sudah semestinya menuntut khidmat lebih luas daripada mereka serta cekap menjawab setiap soalan yang diajukan oleh ahli-ahli parlimen baik yang dari kerajaan mahupun mereka dari pembangkang semasa sidang parlimen bersidang.

Anwar Ibrahim perlu ada asas kepimpinan terpuji jika masih berhasrat untuk jadi PM Malaysia.

Keputusan majoriti rakyat Malaysia terutama kaum Bumiputera yang terus memberi sokongan kuat kepada Barisan Nasional dalam PRU13 pada 5 Mei lalu untuk kekal memerintah negara sepatutnya diterima dengan hati yang terbuka oleh pihak Pakatan Pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga seharusnya menyeru semua penyokong Pakatan untuk menghormati kemahuan dan kehendak sebahagian besar pengundi yang masih mahu Datuk Seri Mohd. Najib kekal menerajui kepimpinan negara.

Namun tindakan terdesak Anwar Ibrahim yang mahu agar rakyat keluar beramai-ramai menyokong perhimpunan haram yang dikatakan akan berlangsung pada hari ini bagi membantah keputusan pilihan raya yang baru lalu amatlah bertentangan dengan ikrar mereka sendiri sebelum ini yang mana mereka juga mahu supaya pihak BN terima apa juga keputusan dari pilihan raya itu dengan hati yang lapang dan tidak melatah.

Tetapi dalam usahanya untuk mengejar kuasa hendak memerintah Malaysia, Anwar Ibrahim lupa tentang perkara asas yang harus ada pada diri seseorang yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin negara. Antara perkara asas seperti penekanan terhadap aspek keamanan dan keselamatan awam. Perkara ini adalah amat penting dalam menjamin kestabilan politik bagi sesebuah negara namun seringkali diketepikan oleh Anwar Ibrahim yang lebih mementingkan cara tidak bertamdun untuk mendapatkan kuasa mentadbir negara.

Anwar Ibrahim dilihat lebih berminat untuk mengambil budaya negatif dari luar seperti rusuhan jalanan, demonstrasi, perhimpunan haram dan sebagainya bagi memenuhi hajat ke arah itu sedangkan rakyat yang hendak dipimpin beliau majoritinya lebih suka kepada kerajaan yang berkuasa menerusi cara yang teratur dalam pilihan raya bebas tanpa mendatangkan sebarang kerosakan ke atas harta benda awam serta tidak mewujudkan suasana kacau bilau sepertimana yang pernah berlaku semasa perhimpunan haram anjuran Bersih 3.0 seketika dulu.

Untuk mendakwa memang wujud kes penipuan dalam PRU13 baru lalu sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak Pakatan hingga pihak mereka gagal untuk menawan Putrajaya, jadi bagaimana pula dengan pihak BN yang terpaksa berdepan dengan isu penolakan secara besar-besaran pengundi Cina terhadap Barisan Nasional yang menyaksikan BN gagal di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor malah lebih malang lagi apabila semakin banyak pula kerusi-kerusi DUN dan juga Parlimen yang sebelum ini dimiliki oleh BN terlepas ke tangan PR?

Di setiap negeri yang diperintah BN sebenarnya banyak kerusi-kerusi DUN dan juga terdapat kerusi-kerusi Parlimennya yang dapat dirampas oleh pihak PR pada 5 Mei lalu tetapi Barisan Nasional akur dengan keputusan rakyat tanpa menyalahkan pihak SPR dan tanpa meletakkan kesalahan ke atas bahu kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Arkib Blog