
Tetapi sebelum itu, saya ada satu cadangan yang agak pelik tapi benar, khas untuk Kementerian Pelajaran Malaysia itupun jika difikirkan boleh masuk akal.
Apa kata jika sebelum sessi persekolahan yang akan bermula pada 04hb January 2010 nanti, pihak Kementerian Pelajaran cubalah idea ini untuk dijadikan sebagai salah satu aktiviti wajip ketika waktu pembelajaran setiap hari terutama untuk sekolah peringkat rendah iaitu "latihan berenang."
Bagi saya, 'latihan berenang' haruslah juga diperkenalkan kepada semua jenis sekolah rendah tanpa mengira samada ianya dibandar, diluar bandar, dikota ataupun juga didesa. Jika pihak sekolah turut diperuntukkan dengan sebidang tanah khusus untuk kegiatan sukan seperti bolasepak, sepak takraw, bola jaring, badminton, tenis dan lain-lain lagi maka sepatutnya pihak sekolah rendah juga harus disediakan dengan satu tapak tanah khas untuk dibina kolam renang bagi tujuan melatih murid-murid tahun pertama berenang sehinggalah mereka mahir serta pandai untuk berenang sendiri.
Cadangan ini terbit setelah saya selalu melihat banyak sangat kejadian yang melibatkan kanak-kanak yang tidak tahu berenang telah menjadi mangsa lemas di sungai, ditali air, di tasek-tasek serta juga di tepi laut. Jika kita melihat dari segi umur mereka yang ada di antaranya berusia 6 sehingga mencecah ke 12 tahun, namun mereka langsung tidak mengerti untuk menyelamatkan diri apabila terperangkap didalam sesuatu insiden seperti perahu karam, ditarik ombak, terjatuh ke dalam tanah yang jerlus dan sebagainya hanya kerana mereka tidak tahu berenang.
Banyak sangat sudah kejadian yang membabit pelajar-pelajar sekolah peringkat rendah mati lemas di negara kita tetapi sehingga kini kita belum ada lagi makluman dari pihak kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pelajaran mengenai perkara ini terutama bagaimana untuk mengatasinya. Cuma ada satu persoalan disini, apakah nyawa kanak-kanak tidak bernilai sebab mereka belum ada sumbangan apa-apa kepada negara ?
Contoh kejadian yang baru berlaku iaitu di Sungai Lebaan, Batang Rejang dalam Bahagian Sibu di Sarawak, dimana empat adik beradik telah mati lemas setelah terjatuh kedalam tanah yang dipercayai jerlus ketika mengikut ibu mereka mencari siput disekitar tebing Sungai Rejang. Adalah difahamkan bahawa keempat-empat mereka tidak tahu berenang.
Walaupun azalinya kita percaya bahawa segala sesuatu yang terjadi adalah takdir Yang Maha Esa, namun jika ada langkah awal pencegahan dibuat pasti kita akan boleh melihat bahawa sesuatu kejadian yang buruk mungkin mampu dielakkan dari menimpa jika ada usaha yang mengutamakan keselamatan dilakukan. Kata orang dulu-dulu, 'beringat sebelum kena' dan semua orang harus waspada dengan sebarang kemungkinan.