Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Selasa, Oktober 06, 2009

"BENDERA" Indonesia hendak serang Borneo Malaysia ?

Ini berita yang melucukan. Sedikit seram tapi kurang mencemaskan. Pelik tapi benar. Apa yang benarnya ? Yang benarnya ialah mereka benar-benar berhajat nak serang Negeri Sarawak dan Sabah di Pulau Borneo. Mereka mendakwa semua rancangan serta strategi telah siap disusun untuk menawan dan menakluki bandar-bandar utama di Sarawak dan Sabah.

Siapa mereka itu ? Mereka ialah 1500 orang ahli yang menyokong pergerakkan yang diberi nama Benteng Demokrasi Rakyat atau nama singkatnya BENDERA. Darpada 1500 orang itu, 300 orang daripada mereka itu dikatakan mempunyai ilmu kebal, maknanya lut senjata atau seperti jam tangan jenis yang kalis air. Mereka telah menetapkan tarikh untuk bergerak iaitu pada 08 Oktober 2009 ini untuk menggempur Sarawak dan Sabah melalui Pontianak dan juga dari Pulau Nunukan di utara Kalimantan.

Namun adalah difahamkan bahawa pergerakkan itu sebenarnya adalah satu pergerakkan yang diharamkan oleh kerajaan Indonesia, begitulah menurut Konsulat Indonesia di Kuching Rafail Walangitan.Sumber berita dari akhbar tempatan "Utusan Borneo" di Sarawak saya perolehi. Berita dibahagian depan akhbar Utusan Borneo hari ini 06-10-2009, Selasa.

"Tidak perlu gusar ancaman BENDERA 'serang dan takluk' Sarawak, Sabah."
*****************************************************************************
KUCHING: Orang ramai di sini tidak perlu berasa gusar dengan ancaman Benteng Demokrasi Rakyat(BENDERA) yang dilaporkan akan 'menyerang dan menakluk' beberapa bandar di Borneo, merangkumi Kuching dan Tawau di Sabah pada 8 Oktober ini.

Konsul Indonesia di Sarawak Rafail Walangitan berkata, aktiviti yang digerakkan kumpulan itu tidak diiktiraf oleh kerajaan Indonesia dan justeru, ia tidak menggambarkan perasaan keseluruhan rakyat negara Republik berkenaan.

"Kumpulan itu tidak sah dari segi undang-undang Indonesia. Demonstrasi yang dijalankan (8 September 2009) adalah tidak sah kerana ia tidak mendapat kebenaran (daripada pihak berkuasa). Polis bertindak menangkap ahli-ahli kumpulan ketika mengadakan bantahan dan sekatan jalan raya (di Jakarta). Ini menunjukkan mereka bertindak bercanggah dengan undang-undang," katanya ketika dihubungi semalam.

Sambil menyifatkan BENDERA sebagai kumpulan pencetus masalah, beliau berkata polis Indonesia memantau rapi pergerakkan ahli-ahlinya dan telah mengenal pasti ketua mereka.

Beliau berkata, sentimen anti-Malaysia tidak sepatutnya wujud antara warga dua negara itu memandangkan sudah terjalin hubungan akrab umpama keluarga sejak sekian lama.

Laporan sebuah akhbar menyebut pada Khamis ini, kira-kira 300 orang ahli BENDERA yang memiliki ilmu kebal akan 'menyerang dan menakluki' beberapa bandar di Malaysia, khususnya di Borneo.

Sedikit ulasan saya;
Berita tentang perkara ini telah tersebar didalam beberapa blog sejak dari semalam. Ada yang memaklumkan bahawa pergerakkan BENDERA akan mulai berangkat pada 8 Oktober ini iaitu hari Khamis melalui pelabuhan di Surabaya, Indonesia. Dan dikatakan juga telah ada 10 orang daripada ahli itu berjaya meloloskan diri menyusup kedalam negara ini sejak kelmarin untuk menubuhkan "network" dikalangan para pekerja Indonesia yang bekerja dalam berbagai sektor di Malaysia.

BENDERA juga menegaskan bahawa mereka telah berjaya menghubungi dan akan merekrutkan 1.45 juta pekerja Indonesia di negara ini. Pekerja Indonesia yang telah berjaya dipengeruhi oleh BENDERA itu nanti akan dikehendaki untuk membakar semua tempat seperti asrama-asrama pekerja, kilang-kilang, pejabat-pejabat, setor-setor dan sebagainya yang terdapat ditempat mereka bekerja.

Cuma apa yang kita harapkan ialah, agar Kerajaan Malaysia serta pihak-pihak berkuasa janganlah memandang ringan tentang ancaman seumpama itu. Kerajaan tidak boleh meletakkan sangat keyakinan terhadap jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan Indonesia tentang perkara ini. Kita tidak boleh terlalu berharap dan bergantung sangat kepada sebarang jaminan yang dibuat oleh kerajaan Indonesia dalam sebarang masalah yang cuba ditimbulkan oleh warga mereka di Malaysia ini.

Pihak-pihak berkuasa terutamanya polis haruslah meningkatkan pemantauan terhadap setiap pergerakan warga Indonesia di negara ini. Kerajaan harus mengawasi pergerakan mereka dari masa ke semasa. Kita tidak boleh lagi meletakkan persepsi kita terhadap mereka sepertimana tanggapan kita tentang mereka sebelum ini.

Pandangan kita tentang mereka haruslah berubah. Jika dulu kita anggap mereka sebagai saudara serumpun, apakah salah jika selepas ini kita akan anggap mereka sama saja tarafnya dengan rakyat dari negara jiran kita yang lain seperti Thailand, Filipina, Vietnam, Kemboja dan lain-lainnya. Tidak harus ada lagi keistimewaan buat mereka.

Tiada ulasan:

Arkib Blog