Negarawan Terulung

Negarawan Terulung
YABhg Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, 88 tahun

Terima Kasih atas sokongan anda semua !

Khamis, Oktober 20, 2011

PRU-13: harap PM tidak letak tunggul kayu jadi calon BN di P.213 Mukah...

Datuk Seri Mohd Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional Pusat telah beberapa kali mengingatkan semua pihak yang ada dalam BN tidak kiralah samada mereka itu berjawatan dalam parti mahupun yang hanya bertindak sebagai penyokong kepada BN agar semuanya patuh kepada calon yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan serta menerima mereka yang telah dipilih sebagai calon wakil rakyat pada PRU-13 nanti tanpa rasa keraguan atau dalam bahasa mudahnya tidak mempertikai calon pilihan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib selepas dicadangkan oleh Pengerusi BN negeri-negeri.

Bagi memastikan agar pihak-pihak ini akur ataupun perlu menuruti peringatan berbentuk arahan itu, maka Perdana Menteri telah meminta mereka ini untuk mengemukakan satu pengakuan menerusi suatu borang khas atau mirip kepada 'surat akujanji' bahawa mereka-mereka ini akan taat serta menerima sesiapa saja yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan BN serta akan turut menyokong individu-individu yang telah dipilih sebagai calon untuk mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Namun bagi saya, rakyat tidak bolehlah dipaksa untuk menerima sesiapa saja calon pilihan yang diputuskan oleh pihak atasan dalam parti semata-mata untuk memenuhi selera pengerusi BN negeri-negeri sebab seringkali berlaku di sesetengah kawasan baik pada peringkat DUN ataupun pada peringkat Parlimen terdapat wakil-wakil rakyat BN yang pemalas, bengap sehingga ada yang langsung tidak pernah melawat kawasan yang diwakili dan cuma akan muncul apabila tarikh pilihan raya sudah semakin dekat. Dalam tempoh lima tahun haram rakyat dapat berjumpa kelibat YB kawasan untuk turun menjenguk rakyat bawahan.

Bagi kawasan Parlimen P.213 Mukah telah 7 penggal YB Datuk Sri Dr Muhammad Leo Toyad berdiri sebagai calon BN di situ dan selama itu jugalah beliau telah diberi kepercayaan oleh sebahagian besar rakyat di kawasan Mukah untuk menjadi wakil kepada mereka di Dewan Rakyat namun apa yang mampu beliau bawa kepada rakyat Mukah yang diwakilinya dalam tempoh berkenaan ? Tiada. Apa yang orang luar lihat tentang pembangunan yang ada pada hari ini berlaku di kawasan Parlimen Mukah adalah hasil kejayaan yang dibawa oleh ADUN Balingian YAB Pehin Sri Taib Mahmud yang berpindah dari kawasan DUN lamanya di Asajaya Kota Samarahan pada awal tahun 2001 dulu.

Dan begitu juga dengan pembangunan yang dapat disaksikan yang telah banyak mengubah wajah DUN Dalat juga terletak di dalam Parlimen Mukah, semuanya adalah hasil usaha gigih ADUNnya YB Datuk Fatimah Abdullah dan mungkin ada dikalangan rakyat di kedua-dua DUN berkenaan yang keliru dengan keadaan ini apabila ada yang fikir bahawa itu semua pembangunan yang dibawa oleh Dr Muhammad Leo Toyad. Tidak banyak projek kerajaan Persekutuan yang dibawa oleh Dr Muhammad Leo Toyad untuk menfaat rakyat di kawasan yang diwakilinya selama 7 penggal beliau sebagai anggota Parlimen di situ.

Apabila ada desas desus yang menyebut bahawa kemungkinan besar anak sulung Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Seri Mahmud Abu Bekir akan bertanding sebagai calon BN bagi menggantikan tempat Dr Muhammad Leo Toyad di Parlimen Mukah pada PRU-13 nanti, maka saya percaya bahawa itu merupakan satu berita buruk buat rakyat di kawasan Parlimen Mukah kerana Dr Muhammad Leo Toyad yang selama ini ternyata gagal untuk membawa sebarang pembangunan di Mukah apatah lagi Datuk Seri Mahmud yang terbukti gagal sebagai seorang suami dan nyata gagal sebagai ketua keluarga sehingga gagal untuk menyelamatkan perkahwinan beliau dengan isteri pertamanya.

Saya berpendapat sedemikian sebab setiap kepimpinan yang baik semuanya harus bermula dari rumah juga harus bermula daripada diri sendiri barulah kemudiannya boleh membuka langkah untuk menjadi pemimpin kepada orang lain. Jika dalam keluarga sendiri tidak terurus dengan sempurna, jadi bagaimana pula untuk menjadi pemimpin kepada rakyat yang bukan sedikit jumlahnya. Saya tidak tahu bagaimana para pengundi khususnya rakyat di kawasan tertentu di Mukah boleh terpesona aura keturunan Pehin Sri Taib sehingga ada yang taksub lalu merayu menjemput anak beliau untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Mukah.

Saya tidak bermaksud untuk menafikan kehebatan Pehin Sri Taib Mahmud dalam mentadbir kerajaan Sarawak sehingga negeri ini telah berada pada kedudukan sepertimana yang kita semua dapat lihat pada hari ini tetapi rakyat Mukah juga perlu sedar bahawa keturunan yang hebat tidak semestinya dapat menjaminkan yang generasinya kelak apabila dipilih sebagai pemimpin mereka juga akan sama seperti orang tua mereka kerana semangat perjuangan yang ada dalam diri Pehin Sri Taib tidak mungkin dapat diwairisi kepada anaknya dan begitu juga dengan anak beliau tidak mungkin mampu untuk mewarisi semangat perjuangan tulen yang ada dalam jiwa Pehin Sri Taib.

Sudah cukuplah rakyat di Parlimen Mukah mempunyai seorang wakil yang langsung tiada keupayaan sebagai seorang Anggota Palrimen dan sekarang adalah masanya rakyat di Mukah untuk mendapat seorang wakil rakyat yang baru yang benar-benar berkebolehan, berwibawa, rajin turun padang bertemu dengan rakyat, berani menyuarakan masalah rakyat serta rajin mengemukan pertanyaan ketika Sidang Dewan Rakyat berlangsung. Rakyat Mukah harus melupakan wakil rakyat yang hanya menjadi tunggul dikawasan mereka dan marilah kita semua bersepakat memohon agar Datuk Seri Najib selaku Pengerusi BN Pusat bersedia untuk memberi ruang kepada rakyat bawahan di Parlimen Mukah menyatakan kepada beliau siapa yang terbaik untuk menjadi wakil kita semua di kawasan Mukah pada PRU-13 nanti.

Pilihan pertama kita tetap ada dan saya telah lama mengintai akan kebolehan ADUN Dalat YB Datuk Fatimah Abdullah untuk mengisi tempat Datuk Sri Dr Muhammad Leo sekiranya beliau berundur dan berdasar kepada semangat serta kesungguhan Datuk Fatimah sebagai seorang pemimpin di DUN Dalat serta keupayaan beliau sebagai seorang Menteri Kabinet Negeri Sarawak, maka saya dapati beliaulah individu yang paling layak untuk dicalonkan sebagai Ahli Parlimen P.213 Mukah pada PRU-13 kelak.

Tiada ulasan:

Arkib Blog